Pelaburan terbaik yang mampu dibuat oleh sesuatu tamadun ialah dalam generasi mudanya. Malah kegagalan memberi perhatian serius kepada generasi muda akan mendatangkan kesan yang sangat negatif, malah mungkin memusnahkan, di masa hadapan.
Pembangunan generasi muda adalah tugas serius yang perlu dilaksanakan dengan tekun dan penuh bertanggungjawab oleh mana-mana pemerintah.
Di Malaysia kita semakin bimbang apabila pendedahan demi pendedahan dibuat mengenai masalah yang melibatkan generasi muda. Kita tidak lagi bercakap mengenai sebahagian kecil anak-anak muda yang terjerumus dalam kancah dadah dan sebagainya.
Kita berbicara mengenai puluhan ribu anak muda yang tidak menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima. Kita digemparkan dengan berita ribuan pelajar dibuang sekolah saban tahun. Apa yang akhirnya terjadi kepada mereka jika mereka tidak menamatkan persekolahan.
Masalah sekolah-sekolah yang menghadapi kekurangan kemudahan asas sudah dibicarakan sejak sekian lama. Sekolah tanpa bekalan elektrik adalah berita lama yang sehingga kini tidak diberikan perhatian sewajarnya untuk diselesaikan.
Saya kira sudah tiba masanya kerajaan bertindak dengan memberatkan mengenai pembangunan generasi muda khususnya dalam soal pendidikan, kesihatan dan gaya hidup sihat.
Begitu banyak usaha (meski tidak sempurna) telah dilakukan di seluruh dunia untuk memastikan generasi muda dapat membangun dengan sebaiknya. Kesediaan merangka program sebegini adalah langkah pertama yang seharusnya diambil.
Antaranya ialah Sure Start di Britain, No Child Left Behind Act di Amerika Syarikat. (Penjelasan lanjut di Jabatan Pendidikan AS). Di Brazil terdapat usaha kerajaan menggalakkan pendidikan dan penjagaan kesihatan anak-anak dengan menawarkan ganjaran kewangan kepada keluarga yang memastikan anak-anak mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara tetap dan menghadiri persekolahan.
Masalah buruh bawah umur sebenarnya berlaku di Malaysia apabila ibu bapa yang mempunyai banyak anak merasakan adalah lebih baik anak mereka bekerja (di kedai makan misalnya) dan memperolehi pendapatan tunai harian daripada mereka bersekolah yang akan melibatkan perbelanjaan. Ini adalah tindakan mengaut keuntungan jangka pendek dengan mengabaikan masa depan.
Oleh yang demikian kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan segera memastikan keadaan ini tidak berterusan. Antara usaha yang sedang dilakukan untuk membasmi buruh kanak-kanak ialah di Brazil.
Selain itu terdapat begitu banyak usaha bukan kerajaan untuk memastikan anak-anak gelandangan mendapat pembelaan sewajarnya dan diletakkan pada jalan yang memberi harapan untuk mereka beroleh kejayaan. Antaranya ialah Children At Risk Foundation di Brazil.
Usaha-usaha ini adalah tugas besar yang mesti digerakkan segera. Pemerintah harus memulakannya dan pada masa yang sama mendapatkan penglibatan aktif organisasi-organisasi rakyat khususnya di peringkat yang paling kecil seperti kampung dan taman perumahan.
Kewujudan komuniti yang prihatin akan mampu membina harapan di dalam diri anak-anak dan pada masa yang sama menyedarkan ibu bapa mengenai kepentingan untuk melabur demi masa depan.
Thursday, August 17, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Sila beri definisi generasi muda dan jangan generalisedkan generasi muda yang bermasalah ini. Jika diklasifikasikan dan dibuat kajian lebih lanjut, generasi muda yang penulis kata bermasalah ini, kebanyakkannya, bukan semua, tetapi peratusan yang besarnya datang dari keluarga yang miskin.
Sekali lagi the vicious circle effect yang dibincangkan berpuluh-puluh tahun mengambil alih keadaan. Tidak ada sapa pernah ambil kisah.
7000 bukan satu jumlah yang kecil. 7000 ini akan menghasilkan beribu-ribu lagi generasi yang "miskin" ini.
Miskin dalam erti kata yang perlu ditafsirkan tau.
Post a Comment