Saturday, December 30, 2006

Berapa ekor lembu Abdullah?

Banyak benar persoalan yang menuntut jawapan sekarang ini.

Media massa hari ini melaporkan 'Abdullah sumbang 130 ekor lembur korban'. Apakah ini lembu yang sama yang disumbangkan oleh DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. kepada Abdullah Badawi untuk Parlimen Kepala Batas pada 15 Disember lalu?

Saya membangkitkan persoalan bagaimana jika lembu itu diserahkan kepada Abdullah untuk beliau laksanakan ibadat korban, ia boleh dianggap sebagai rasuah kerana ibadat ialah perkara peribadi.

Justeru Abdullah menggunakan barang rasuah untuk melakukan ibadat. Jika sekiranya DiGi yang berhasrat melaksanakan ibadat korban dan mewakilkan kepada Abdullah untuk tujuan itu, apakah ia sah kerana bolehkah syarikat yang dikuasai bukan Islam melakukan ibadat korban? Lihat Abdullah korban Digi?.

Jika benar 130 ekor lembu itu ialah sebahagian daripada 200 ekor lembu DiGi, ke mana lagi 70 ekor? Jika ia hilang dalam perjalanan ke Kepala Batas ternyata Abdullah Badwi bukan gembala lembu yang baik, dia patut menghadkan kepada aktiviti menggembala kambing sahaja.

Thursday, December 28, 2006

Tol - Apa yang kita mahu?

Apa sebenarnya yang kita mahu berkenaan sistem jalanraya bertol di negara ini? Apakah kita, kelompok yang marah apabila kadar tol terus-terusan dinaikkan, mahu kadar tol diturunkan atau kita menuntut agar kutipan tol ke atas pengguna jalanraya itu sendiri dihentikan?

Persoalannya apakah dasar penswastaan negara sudah gagal?

Sistem menswastakan pembinaan dan pengendalian lebuhraya untuk satu tempoh tertentu gagal mencapai matlamatnya kerana berlaku terlalu banyak ketirisan. Terlalu banyak 'wang kopi' yang terpaksa ditanggung. Tambahan-tambahan kepada kos ini semuanya dipindahkan kepada pengguna. Kerana itu wujud kenaikan berjadual.

Saya kira kita perlu berlaku adil kepada kerajaan Barisan Nasional ini. Kita perlu menilai apa sebenarnya isi kandungan yang telah mereka tandatangani dengan pengusaha lebuhraya bertol. Hanya selepas mengetahui kandungan sebenar perjanjian kita akan tahu justifikasi kenaikan yang dituntut. Baru kita boleh tahu apakah mereka yang mengambil peranan mewakili rakyat dalam perjanjian dengan pengusaha bertol itu telah melaksanakan tugas mereka dengan baik, atau mereka gagal mewakili kepentingan kita.

Lebih parah jika mereka telah khianat dalam melaksanakan rundingan tersebut. Apa sekalipun dokumen-dokumen dan perjanjian berkaitan perlu dideklasifikasikan daripada status RAHSIA dan didedahkan sepenuhnya kepada kerajaan. Menteri berkuasa melakukan ini atau Parlimen perlu bertindak segera memansuhkan Akta Rahsia Rasmi yang melindungi dokumen yang sama sekali tidak berkaitan dengan keselamatan dan kepentingan negara sebegini.

Rakyat perlukan maklumat! Setakat ini kita menolak kenaikan kadar tol. Tetapi kita memerlukan lebih maklumat untuk menentukan samada kita menolak sama sekali penswastaan jalanraya. Hanya selepas mendapat maklumat yang dikategori rahsia ini kita akan dapat membuat keputusan.

Buat masa sekarang, saya sekurang-kurangnya telah membuat keputusan bahawa rejim Abdullah Badawi ini BUKAN kerajaan saya. Mereka samada terlalu bodoh sehingga membuat perjanjian yang merugikan rakyat, atau mereka khianat kepada rakyat sehingga sanggup membuat perjanjian itu.

Ayuh rakyat! Nyatakan pendirian anda.

Tuesday, December 26, 2006

Ehsan Najib untuk mangsa banjir

Mangsa-mangsa banjir di seluruh negara akan mendapat bantuan wang tunai daripada kerajaan. Wang itu wang negara, tetapi ketika mengumumkannya Najib Razak dengan tegas, sambil mengetuk-ngetuk jari pada meja, menegaskan bahawa ia bukan wang ganti rugi tetapi wang ehsan.

Pada hemat saya, penduduk yang menjadi mangsa bencana tidak peduli apa sekalipun namanya. Yang penting bantuan sampai.

Tetapi saya faham kenapa Najib bertegas. Kalau gantirugi, kerajaan perlu membayar mengikut taksiran kerugian sebenar, tetapi jika wang ehsan, maka jumlahnya terpulang kepada ehsan pemerintah untuk memberi. Sekalipun ia wang negara, tetapi tertakluk kepada ehsan pemerintah.

Najib lahir, membesar dan terus hidup di dalam keluarga orang besar-besar, keluarga orang kaya. Beliau tidak pernah mengharapkan ehsan orang untuk meneruskan kehidupan. Beliau tidak pernah merasakan keperitan hidup. Justeru beliau tidak mungkin faham bagaimana keadaan orang yang dilanda bencana dan mungkin kehilangan segala-galanya yang bernilai buat mereka kecuali nyawa dan ahli keluarga mereka.

Kerana itu perbuatan beliau mengetuk-ngetuk meja dengan mencebik bibir kesombongan untuk menegaskan perkara ehsan ini harus kita fahami. Selama ini Najib tidak pernah menunjukkan kemampuan untuk memahami keperitan hidup rakyat.

Tidak seperti Anwar yang meskipun lahir di dalam keluarga yang 'tidak miskin' sanggup untuk bersama menanggung risiko mempertahankan nasib rakyat termiskin di Baling sehingga sanggup mempertaruhkan kebebasan. Malah ketika di dalam kerajaan, Anwar menunjukkan keprihatinan luar biasa terhadap masyarakat termiskin dan usaha membasmi kemiskinan tegar.

Justeru siapa yang rakyat percaya untuk membela mereka?

Atau apakah mereka mahu seorang yang sekadar mahu 'mengubah cara hidup' mereka? Saya kira sudah sampai masanya rakyat membuat azam tahun baru untuk mengubah cara hidup Najib -- daripada seorang TPM kepada bekas TPM!

Thursday, December 21, 2006

Berapa harta Abdullah?

Abdullah benar-benar menunjukkan wajah penuh kejengkelan apabila mengulas mengenai laporan akhbar Turki bahawa beliau menempah sebuah kapal layar mewah berharga RM30 juta. Tempahan itu dilaporkan telah dibuat ketika Abdullah singgah di Turki dalam perjalanan ke Venezuala. Tujuan beliau singgah di Turki ialah untuk berehat, kata Abdullah.

Bagaimanapun Abdullah mengatakan laporan tersebut tidak berasas.

Saya kira penafian satu persatu sebegini adalah tidak wajar. Selepas ini mungkin akan ada lagi dakwaan-dakwaan lain mengenai kekayaan beliau.

Abdullah seharusnya menjemput pihak-pihak berwajib untuk melakukan siasatan ke atas dirinya dan semua kekayaan yang dimiliki oleh dirinya, anak dan menantunya, saudara mara, tukang kebun, pemandu dan pembantu-pembantunya. Abdullah seharusnya tidak takut untuk mengisytiharkan harta jika benar beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Keengganan untuk mengisytiharkan harta hanya akan membina imej bahawa beliau takut dan ada sesuatu yang ingin disembunyikannya. Mungkin tidak ada kapal layar berharga RM30 juta yang cuba disembunyikan, tetapi mungkin selepas ini ada pula yang membuat tuduhan baru dengan nilai yang berbeza.

Ayuh Abdullah! Jangan takut kepada kebenaran, jangan takut kepada rakyat.

Wednesday, December 20, 2006

Tamatnya era Amerika Syarikat di Timur Tengah

Richard N. Haass, Presiden Council on Foreign Relations berpendapat era Amerika Syarikat di Timur Tengah kini sudah tamat. Era ini, yang keempat di dalam sejarah moden rantau tersebut, bermula dengan Perang Teluk Pertama yang dimulakan oleh George Bush Senior dan kini tamat dengan Perang Teluk Kedua yang dimulakan oleh anaknya, George Bush Junior.

Baca artikel beliau yang disiarkan oleh jurnal Foreign Affairs, keluaran November-December 2006 bertajuk The New Middle East.

Friday, December 15, 2006

Kenapa Timbalan Pendakwaraya yang menghukum Razak Baginda?

Bagaimana Timbalan Pendakwaraya, Salehuddin Saidin boleh membuat keputusan bahawa Abdul Razak Baginda terlibat di dalam pembunuhan Altantuya sebelum perbicaraan bermula dan mahkamah membuat keputusan?

Laporan NST 15 Disember 2006.

Nampaknya di dalam kegelojohan beliau untuk menafikan khabar angin (atau mungkinkah common wisdom) bahawa ada orang lain yang terlibat dan belum ditangkap atau didakwa, Salehuddin telah mendahului mahkamah.

Bagaimana dia tahu hanya Razak dan dua anggota polis yang terlibat? Malah bagaimana dia tahu Razak sememangnya terlibat?

Seharusnya beliau membiarkan proses mahkamah berjalan tanpa gangguan bagi menentukan siapa yang bersalah dan siapa yang tidak bersalah.

Apakah mungkin ini satu bentuk campur tangan pihak Peguam Negara untuk mempengaruhi (dan sekaligus mengganggu) proses perbicaraan? Kenapa?

Rundingan tol: Samy dan Kabinet tidak layak

Samy Vellu dan Kabinet Malaysia terus membuktikan bahawa mereka tidak tahu untuk berunding bagi pihak pengguna (rakyat Malaysia) dengan pihak pengusaha lebuhraya. Justeru rakyat Malaysia mesti membuat keputusan tegas menuntut Samy dan Kabinet menghentikan semua rundingan sehingga rakyat dapat melantik pihak yang lebih berwibawa dan layak untuk mewakili mereka berunding.

Bagaimana mereka berunding dengan memastikan pengusaha lebuhraya tidak mungkin rugi di dalam perniagaan mereka. Pengusaha lebuhraya ialah peniaga dan tidak sewajarnya wang negara digunakan untuk melindungi mereka daripada kerugian.

Ini dilakukan dengan merugikan pengguna dan menggunakan wang rakyat bagi membayar pampasan untuk memastikan pengusaha sama sekali tidak rugi.

Perniagaan apa begini? Saya yang tidak ada pendidikan tinggi ini pun sudah tentu mampu menjadi jutawan jika mendapat perniagaan begini.

Saya kira hanya ada dua kemungkinan. Pertama, Samy dan Kabinet adalah bahlol (buffoon) yang tidak tahu berunding. Kedua, Samy dan Kabinet khianat kepada rakyat yang diwakili mereka.

Abdullah korban DiGi?

Berita hari ini (15 Disember 2006) melaporkan gesaan Abdullah agar rakyat bersedia berkorban. Gesaan ini dibuat ketika menerima sumbangan korban 200 ekor lembu daripada DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. untuk Parlimen Kepala Batas.

Persoalan yang timbul ialah kenapa Kepala Batas?

Ada di antara kita yang memilih untuk melaksanakan ibadah korban di luar negara khususnya negara yang dilihat lebih mundur dan memerlukan seperti Kemboja. Tetapi apa asas pertimbangan DiGi dalam memilih Kepala Batas?

Apakah mungkin semata-mata kerana Ahli Parlimen di situ ialah Perdana Menteri?

Pada hemat saya, perkara ini menimbulkan persoalan kemungkinan timbul elemen rasuah di dalam melaksanakan ibadah korban ini. Malah apakah DiGi yang melaksanakan ibadah ini?

Ketentuan hukum perlu dinyatakan samada DiGi adalah pihak yang sesuai melaksanakan ibadah korban dan apakah sah ibadah tersebut dilakukan oleh sebuah syarikat yang sebahagian besar pemilikannya bukan oleh Muslim.

Jika DiGi menyerahkan lembu-lembu terlibat kepada Abdullah dan Abdullah yang melaksanakan ibadah korban; maka sah Abdullah telah menerima rasuah dalam bentuk 200 ekor lembu untuk kepentingan peribadi, yakni melaksanakan korban.

Jika begitu, apakah sah ibadah Abdullah? Bolehkah ibadah korban dilaksanakan dengan haiwan yang diterima sebagai rasuah.

Bagaimana pula pandangan BPR dalam transaksi yang melibatkan nilai hampir setengah juta ringgit ini?

Thursday, December 14, 2006

Poligami: Pastikan kebajikan isteri dan anak

Cadangan seorang EXCO Kerajaan Terengganu untuk memberi ganjaran kewangan kepada lelaki yang mengambil ibu tunggal sebagai isteri kedua dan seterusnya mendapat reaksi yang bercampur-campur dan ada antaranya begitu keras menentang.

Menteri Besar segera menafikan bahawa perkara tersebut adalah keputusan Kerajaan Terengganu. Mungkin itu sekadar cadangan EXCO tersebut.

Pada asasnya saya melihat kebaikan memberikan bantuan kewangan kepada keluarga yang terlibat di dalam poligami ini. Namun ia perlu diasaskan kepada keperluan. Jika Menteri Besar yang beristeri dua, sudah tentu dia tidak layak menerimanya kerana banyak lagi sumber negeri yang boleh disapunya.

Bagaimanapun saya fikir lebih sesuai bantuan itu diberikan terus kepada isteri-isteri yang terlibat dan memerlukan. Ia mungkin akan dapat memastikan kebajikan isteri dan anak-anak.

Pada masa yang sama, sebelum seseorang mengambil isteri kedua dan seterusnya, bakal isteri mesti dimaklumkan oleh pihak berkuasa agaman mengenai status dan kemampuan kewangan bakal suaminya.

Ini untuk memastikan isteri tidak memikul beban menanggung kehidupan suami 'baru'nya.

Ketika di kampung, di Alor Setar, saya sering diceritakan mengenai seorang suami yang cukup 'handal'. Dia beristeri dua dan kedua-dua isterinya dipastikan kakitangan kerajaan, seorang guru dan seorang jururawat. Saya bertanya apa kerjanya?

Maka dijawab kerjanya berulang alik antara dua rumah (yang dimiliki oleh masing-masing isterinya) dan sekadar makan tidur. Ayat sebenar yang digunakan untuk menjelaskan perkara ini saya kira kurang enak diperturunkan di sini.

Baru-baru ini pula saya bertemu dengan seorang lelaki yang cukup tampan. Dia sedang mencari kerja setelah beberapa lama tidak bekerja. Tetapi 'handal'nya dia, dia mempunyai dua isteri. Kedua-duanya pramugari.

Mungkin bagi wanita-wanita begini, mereka tidak mengharapkan suami untuk kehidupan yang stabil dan cukup keperluannya. Mungkin mereka mampu berdikari. Atau dengan suami begini mereka mendapat kebahagiaan yang lebih penting, pada hemat mereka, daripada keperluan material yang mencukupi.

Jika begitu, tidak mengapa saya kira. Namun ramai juga wanita yang diperdaya menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat dengan harapan suami itu akan memelihara kebajikan mereka. Malang apabila sudah berkahwin, hakikatnya suami mereka tidak mampu.

Pihak berkuasa agama, saya kira, punya kewajipan untuk memastikan wanita-wanita seperti ini tidak terpedaya dan akhirnya menanggung kehidupan suami itu. Dalam kes yang sudah terlajak dan perkara ini berlaku, sudah barang tentu menjadi kewajipan pemerintah untuk memastikan kebajikan wanita-wanita ini dan anak-anak mereka terpelihara.

Tuesday, December 12, 2006

Menangani murtad -- Pendidikan atau undang-undang?

Perkara penukaran agama atau khususnya keluar daripada Islam dan memeluk agama lain, semakin hari semakin menjadi isu yang semakin besar di kalangan masyarakat Melayu-Muslim negara ini.

Bagaimana seharusnya kita menangani masalah ini?

Apakah dengan memenjarakan mereka atau menghukum mati (sebagaimana yang ada dicadangkan beberapa pihak). Namun hukuman mati untuk riddah dihujahkan oleh sesetengah pihak bukan kerana mereka menukar agama, tetapi kerana murtad yang mengancam keselamatan dan kestabilan Daulah Islam ketika itu. Justeru hukuman itu sebenarnya kerana bughah. Debat ini belum selesai dan akan mengambil masa yang sangat panjang. Apa pun medan ini bukan gelanggang yang sesuai untuk membahaskannya.

Pada hemat saya, di dalam keadaan yang ada sekarang, pihak berwajib berkenaan urusan Islam di negara ini perlu memainkan peranan yang lebih berkesan mendidik umat Islam khususnya generasi muda.

Organisasi seperti ABIM, YADIM, Pusat Zakat dan sebagainya perlu ikut sama memainkan peranan. Individu Islam, khususnya yang menghadapi masalah perlu didekati dan diwujudkan jaringan sosial untuk memberi sokongan kepada mereka. Jika masalahnya ialah teman hidup, maka perlu diusahakan untuknya seorang teman yang beriman dan berakhlak mulia. Jika masalahnya kewangan maka seharusnya dibantu sehingga cukup dan bukan sekadar bantuan RM50 sebagai mengambil syarat sahaja.

Saya mengatakan perkara ini perlu diberi perhatian kerana saya percaya kebanyakan mereka yang mahu keluar daripada Islam bukan kerana mereka mendapat pencerahan (enlightenment) secara tiba-tiba.

Lazimnya kerana mengikut pasangan hidup atau kerana usaha mubaligh yang tekun dan berterusan memujuk mereka untuk menukar agama.

Justeru Islam perlu, dengan memanfaatkan dana zakat, mengambil tindakan balas dengan membantu mana-mana umat Islam yang memerlukan. Kita mesti sekat usaha mubaligh asing yang mahu mendekati umat Islam yang menghadapi masalah dengan umat Islam sendiri mendekati mereka.

Bukankah kita pernah diingatkan, "Domba (biri-biri) yang bersendirian akan mudah dimakan serigala"?

Saya kira cukup sudah bangunan-bangunan serba moden yang dibina oleh pihak berkuasa zakat di negara. Cukup sudah memperjudikan wang zakat, seperti yang dilakukan oleh seorang pemimpin UMNO tidak lama dahulu ketika beliau menjadi menteri, di pasaran saham.

Fungsi zakat mudah. Kutip daripada yang mempunyai harta berlebihan dan berikan kepada yang memerlukan. Saya cukup jelek dengan pengumuman di hujung tahun kewangan bahawa sesuatu pusat zakat berjaya menyimpan puluhan juta wang.

Untuk apa? Apakah sudah habis asnaf di dalam kawasan pentadbiran mereka sehingga bantuan zakat tidak diperlukan?

Pada masa yang sama organisasi Islam juga perlu memberi perhatian serius kepada mereka yang baru mendapat hidayah dan membuat keputusan untuk memeluk Islam. Kenapa dibiarkan mereka sehingga akhirnya kembali kepada menagih bantuan keluarga dan akhirnya kembali kepada agama asal?

Mereka yang baru memeluk Islam boleh dikategorikan sebagai asnaf yang layak menerima zakat. Umat Islam perlu mengambil inisiatif untuk memberi sokongan kepada mereka dan tidak hanya menunggu mereka meninggal dunia dan berebut jenazah untuk dikebumikan.

Lebih malang apabila pihak berkuasa agama menghabiskan wang ratusan ribu ringgit untuk kos guaman bagi tujuan tersebut, semata-mata kerana selama ini mereka yang baru memeluk Islam dibiarkan sehingga hanyut kembali kepada keluarga mereka yang belum memeluk Islam. Akhirnya mereka mati dalam pelukan keluarga dan bukan Islam.

Saya yakin di dalam keadaan sekarang, undang-undang bukan penyelesaian masalah ini.

Monday, December 11, 2006

Malays must put their house in order

I believe there is an urgent need for moderate (wasatiyah) Malays to come forward and actively reclaim the rights of our race from being hijacked by extremists.

The so-called Malay leaders of UMNO find the easy way to strengthen their grip on their claim to be representing Malays is to stoke up racism and fear of other races among the Malays.

Malay leaders, particularly Anwar Ibrahim, must do all he can to counter this and unite the Malays. Malays have always been a tolerant community and there is no reason to change now.

All the time, the UMNO leadership tries to portray the Chinese as a threat to the Malays. But Malays should realise that the real threat comes from these treacherous UMNO leaders. All this while they are the ones who have been squandering the wealth of this nation under the pretext of Malay Rights. This is particularly so since Mahathir came to power and continues to be so under Abdullah.

It is about time we expose their baloney and reclaim the leadership of the Malays. In order for this country to move forward, we, Malays must put our house in order.

Friday, December 08, 2006

Pertahan Hak Melayu

Setiap kali UMNO diancam kemerosotan sokongan, pemimpin-pemimpinnya akan bercakap mengenai mempertahankan hak Melayu. Selari dengan itu, mereka akan menyerang pemimpin bangsa asing yang dituduh cuba mengancam hak Melayu.

Meski saya sering dilihat khilaf dengan mereka dalam pelbagai hal, kali ini saya sependapat dengan mereka. Kita perlu meningkatkan usaha untuk mempertahankan hak orang Melayu di negara ini yang semakin hari semakin terancam dan cuba dihakis.

Kita mesti mempertahankan hak Melayu untuk menjadi bangsa yang sederhana, penengah dan harmoni. Bukankah ini yang diperintahkan oleh Islam -- agar kita menjadi umat penengah (ummatan wassatan)?

Malang sekali sebahagian daripada bangsa Melayu di Malaysia hari ini melihat bahawa mereka perlu untuk menjadikan bangsa ini ekstrimis, pembenci bangsa asing dan juga penindas bangsa lain. Alasan yang mereka gunakan ialah untuk membela kepentingan bangsa.

Apakah ini benar atau tujuan mereka semata-mata untuk menjaga kepentingan politik peribadi?

Saya percaya kita mesti mempertahankan hak Melayu dan menentang segala usaha untuk menjadikan bangsa ini ekstrimis dan pelampau.

Justeru pertarungan sebenar ialah bukan dengan bangsa lain tetapi dengan bangsa kita sendiri yang mempunyai niat jahat tersebut. Mereka ini juga yang menggunakan kedudukan dan amanah jawatan memimpin untuk menjadi kaya-raya melalui cara hidup rasuah dan penyelewengan.

Justeru mereka ini yang menjadi pemimpin UMNO adalah musuh sebenar bangsa Melayu dan kerana itu mereka mesti ditentang.