Wednesday, September 27, 2006

Tarikh mati krisis gula

Akhirnya Shafie Apdal mengumumkan tarikh krisis kekurangan gula akan diatasi. Dua minggu lagi apabila bekalan gula yang diimpot dari Brazil tiba. Impot ini hanya dapat dilakukan setelah mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Krisis gula ini sebenarnya sudah menjadi mainan politik pemimpin Barisan Nasional yang benar-benar menyusahkan rakyat dan menjengkelkan.

Pada peringkat awal pemborong dan peniaga disalahkan kerana dituduh menyorok bekalan gula. Dalam sehari dua ini Shafie meminta Keretapi Tanah Melayu meningkatkan pengangkutan gula daripada kilang di Seberang Perai ke Selangor-Kuala Lumpur dan Gemas, Johor. Nampaknya masalah yang dihadapi ialah logistik.

Akhirnya pengumuman bahawa pengimpotan gula dari Brazil sahaja yang akan menyelesaikan masalah ini menunjukkan pula bahawa masalah sebenar ialah kekurangan bekalan.

Mana satu penyebab krisis ini? Apakah Shafie sebagai menteri bertanggungjawab dan Najib Razak selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Barangan Perlu tahu apa punca sebenar kekurangan gula yang sudah berlarutan lebih setengah tahun ini? Atau mungkinkah mereka melakukan apa sahaja dan mengumumkan sebarangan untuk menonjolkan bahawa mereka sedang berusaha melakukan sesuatu, sedangkan tidak tindakan yang terancang dan efektif?

Shafie juga mengumumkan rancangan untuk membekalkan gula secara khusus kepada Makro, Carrefour dan Mydin. Kenapa secara khusus kepada pasaraya besar (hypermarket) terlibat sahaja? Apa yang akan terjadi kepada peruncit dan pasaraya lain?

Adanya bekalan gula di pasaraya besar ini akan menarik pembeli ke pasaraya besar terlibat dan menjejaskan dengan teruk perniagaan peruncit dan pasaraya-pasaraya lain. Sebelum ini pembukaan pasaraya besar dihadkan kerana bimbang akan menjejaskan operasi perniagaan runcit. Tetapi apakah kini sentimen tersebut (dasar menghadkan pembukaan pasaraya besar sudah dihentikan sebelum ini) sudah ditongsampahkan dan peniaga runcit tidak dipedulikan sama sekali?


Blame game

Apakah tindakan mendedahkan bahawa pengimpotan gula hanya dapat dibuat setelah mendapat izin MITI bertujuan meletakkan kesalahan kepada MITI dan menterinya, Rafidah Aziz?

Saya kira sudah sampai masanya krisis ini diatasi dan sebarang usaha mengalihkan kesalahan (blame) kepada pihak itu dan pihak ini dihentikan. Pengumuman deadline (tarikh mati) untuk menyelesaikan krisis ini dalam tempoh dua minggu adalah sesuatu yang sangat baik.

Namun Shafie tidak mengumumkan apa yang akan terjadi jika selepas dua minggu lagi krisis ini masih menjadi masalah besar kepada rakyat. Apakah beliau bersedia meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada menteri lain yang lebih kompeten?

Penswastaan selesaikan segala masalah?

Pemikiran Menteri Kesihatan, Chua Soi Lek nampaknya tersangkut di awal tahun 90an. Pada hemat beliau, apabila sesuatu perkhidmatan kerajaan menghadapi masalah, swastakan sahaja dan masalah akan selesai.

Kerana itu apabila tayar ambulan meletup, mengakibatkannya terbalik sehingga mengorbankan seorang doktor, Soi Lek terus mahu menswastakan perkhidmatan ambulan. Apakah beliau secara jujur percaya bahawa penswastaan akan meningkatkan kecekapan?

Projek-projek penswastaan yang telah berlaku seringkali menjejaskan kualiti. Tanya saja Samy Vellu mengenai jambatan retak, bangunan runtuh dan bangunan Matrade. Tentu dia boleh beri nasihat mengenai penswastaan. Ada juga projek JKR yang hanya dapat disempurnakan apabila JKR sendiri melaksanakannya, seperti Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras.

Malah penswastaan sebahagian perkhidmatan hospital selama ini mengakibatkan peningkatan kos yang ketara kepada pihak kerajaan.

Ini telah didedahkan dengan terperinci oleh YB Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Ismail di Parlimen.

Jelas yang perlu ialah menyediakan peruntukan secukupnya untuk menampung kos servis dan alat ganti. Tenaga kerja yang cekap juga perlu didapatkan. Penyelesaiannya bukan penswastaan tetapi penyediaan peruntukan secukupnya. Apabila diswastakan, kos akan meningkat dengan jauh lebih besar.

Cuma bezanya apabila berlaku kecelakaan, Soi Lek boleh menyalahkan pihak swasta yang mengendalikan perkhidmatan tersebut. Apakah Soi Lek mahu membazirkan wang rakyat semata-mata untuk 'membeli' kambing hitam?

Soi Lek benar-benar menjelaskan sikap tidak bertanggungjawab beliau apabila memberi respon awal seperti menyalahkan tindakan (Allahyarhamah) Dr. Norbaizura Yahya yang turut sama dalam ambulan yang ditimpa kemalangan tersebut.

Semalam (26 September 2006), Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Teoh Siang Chin mendedahkan ratusan pemindahan pesakit dilakukan setiap hari dan doktor perlu mengiringi pesakit. Ia perkara rutin.

Jelas Soi Lek tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di hospital-hospital di bawah seliaan kementeriannya.

Dr. Teoh membangkitkan isu yang lebih penting bagaimana doktor-doktor muda yang belum disahkan dalam jawatan tidak layak mendapat pampasan apabila berlaku kemalangan jiwa sebegini. Pengesahan jawatan boleh mengambil masa sehingga 2 tahun.

Keluarga Dr. Norbaizura setakat ini hanya menerima RM10,000 daripada MMA. Bagaimana Soi Lek bercadang untuk memelihara kebajikan pegawai di bawah seliaannya yang menghadapi risiko kerja sebegini? Swastakan sahaja?

Kenapa Shafie tidak perlu meletakkan jawatan?

Timbalan Perdana Menteri Najib Razak menganggap bahawa kegagalan Shafie Apdal mengendalikan krisis kekurangan bekalan gula bukan alasan yang cukup untuk mendesak beliau meletakkan jawatan.

Shafie sendiri semalam menyatakan "Kalau di China tidak cukup besi keluli, apakah mahu minta Presiden China letak jawatan?" Hebat Shafie. Bandingan dirinya adalah dengan Presiden China.

Namun barang perlu saya ingatkan Shafie, jika menteri atau pegawai di China gagal menyelesaikan masalah kritikal seperti yang dihadapi di Malaysia ini, dia tidak perlu meletakkan jawatan. Dia sudah tentu dipecat atau dipindahkan ke jawatan lain. Jika di zaman dahulu sudah tentu dijatuhkan hukuman mati.

Sehingga kini sudah lebih enam bulan berlalu, krisis kekurangan bekalan gula ini masih tidak mampu diatasi. Najib sendiri mengakui (disiarkan televisyen dalam berita utama 26 September 2006)bahawa krisis kenaikan harga petrol juga tidak dapat dikendalikan oleh Shafie sehingga rakyat mempersalahkan Shafie.

Sudah tentu! Shafie selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bertanggungjawab terhadap perkara-perkara tersebut. Jika tidak mampu, letak jawatan tentu lebih mulia. Ini akan membolehkan seorang yang lebih kompeten dilantik menggantikan beliau.

Saya tidak pasti siapa yang mampu dilantik Abdullah sedangkan beliau sendiri menghadapi krisis keyakinan terhadap kemampuan beliau memimpin negara ini.

Saya kira sudah sampai masanya kerajaan mengumumkan pelan terperinci lengkap dengan jadual waktu bagaimana mereka bercadang menyelesaikan krisis kekurangan bahan asas ini. Tempoh masa yang ditetapkan harus munasabah dan sekiranya selepas tamat tempoh tersebut, masalah masih tidak diatasi maka pihak berkenaan perlu bertanggungjawab.

Najib mempertahankan Shafie daripada desakan supaya meletak jawatan. Mungkin Najib percaya beliau sendiri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Barangan Perlu yang perlu memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan jika gagal menyelesaikan masalah ini.

Janganlah Shafie membandingkan diri dengan Presiden China, nanti Abdullah terasa. Apakah Shafie sudah bersiap untuk "Naik Raja" atau mungkinkah Shafie bukan dalam team Abdullah?

Jangan nakal ya!

Pohon maaf

Saya memohon maaf tidak dapat mengemaskini blog ini untuk beberapa ketika. Hambatan tugas begitu mendesak. Dua entri sebelum ini mengulas perkembangan yang sudah agak lama. Namun ia cerminan pandangan saya ketika ia berlaku

Lee Kuan Yew menguji Abdullah

Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew sudah berkali-kali mengatakan perkara yang sama -- yakni masyarakat Cina di Malaysia dilayan sebagai warganegara kelas kedua. Pada hemat saya, Kuan Yew tidak ada masalah dengan layanan berbeza terhadap rakyat berdasrkan ras.

Itu yang menjadi amalan di Singapura, sejak beliau menjadi Perdana Menteri sehingga sekarang. Bangsa Melayu terus-terusan dilayan bukan sekadar sebagai warga kelas kedua, malah sebagai golongan yang tidak dikehendaki -- persona non grata.

Justeru pada hemat saya, beliau mendendangkan sekali lagi lagu lama ini sebenarnya sebagai ujian kepada Abdullah.

Ternyata Abdullah gagal apabila memberi respon "saya akan menulis surat kepada beliau".

Jika saya yang membuat draf respon untuk Abdullah, berikut akan saya tuliskan:

"Lee Kuan Yew membuat kenyataan sebagai seorang asing yang mempunyai niat nakal untuk mengapi-apikan sentimen perkauman di Malaysia. Saya percaya tidak ada warganegara Malaysia yang berketurunan Cina atau sebaliknya yang sependapat dengan beliau atau menyokong kenyataannya itu.

"Namun jika sekiranya ada yang menganggap diri mereka dianiaya dan dilayan sebagai warganegara kelas kedua, saya anjurkan mereka untuk memohon kerakyatan Singapura dengan segera.

"Saya harap Singapura akan bersedia menerima sebarang permohonan untuk menjadi warganegara samada daripada rakyat Malaysia yang berketurunan Cina atau Melayu atau mana-mana jua individu yang berminat menjadi warganegaranya."

Jika yang bercakap ialah Abdullah, saya cadangkan beliau menggesa kerajaan Singapura menahan Lee Kuan Yew di bawah Akta Hasutan kerana mengapi-apikan sentimen perkauman yang boleh membangkitkan keresahan kaum. Bukankah Abdullah membangga-banggakan Akta Hasutan Malaysia di peringkat dunia. Jika Singapura belum ada akta tersebut, Abdullah perlu mencadangkan ia digubal segera. Untuk sementara waktu gunakan ISA sahaja.

Namun saya sama sekali tidak menyokong tindakan sebegitu. Ia sekadar cadangan jika saya yang menulis respon Abdullah.

Nota: Untuk analisa yang lebih ilmiah dan mendalam, baca blog Rustam Sani.

Respon pemimpin UMNO telanjangkan agenda tersembunyi Wilayah Pembangunan Selatan Johor

Kenapa pemimpin UMNO, khususnya Pemuda perlu menggesa kerajaan mengabaikan kepentingan Singapura dalam pembangunan SJER? Apakah perancangan yang sedia ada bertujuan memberikan kelebihan kepada Singapura?

Saya bimbang dengan agenda rejim Abdullah. Apakah mungkin tindakan-tindakan yang diambil mementingkan pihak asing dan membelakangkan kepentingan rakyat Malaysia sendiri.

Peralihan kuasa Thailand dan respon Abdullah

Saya melihat 'rampasan kuasa' yang berlaku di Thailand sebagai suatu rampasan kuasa yang sangat tersusun. Malah kelihatan seperti Thaksin sendiri (Perdana Menteri yang digulingkan) memainkan peranannya dengan begitu baik. Semuanya tenang.

Kini yang dinantikan hanya untuk mengesahkan Perlembagaan baru negara tersebut dan juga perlantikan calon awam sementara yang akan menjalankan proses memulihkan sistem demokrasi di Thailand.

Hakikat bahawa rampasan kuasa tersebut diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin -- seorang Muslim -- adalah jaminan bahawa pihak tentera tidak akan memegang kuasa untuk tempoh yang lama. Jika Jeneral Sonthi mempunyai angan-angan yang di luar 'perancangan asal' sudah tentu dia sendiri akan digulingkan. Saya yakin jika itu berlaku ia tidak akan tersusun seperti yang sedang berlaku sekarang.

Rampasan kuasa oleh Jeneral Sonthi menyelesaikan banyak perkara.

Pertama, masalah pelepasan kuasa oleh Thaksin yang terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi. Ego Thaksin juga terpelihara apabila 'terpaksa' melepaskan kuasa dengan cara ini. Tidak banyak yang beliau rugi, selain jawatan, kerana laporan dari Thailand menyatakan dia sudah membawa keluar bagasi sebanyak dua kapal terbang.

Kedua, keyakinan penduduk Muslim di Selatan Thai terhadap Bangkok kembali pulih atau setidak-tidaknya keresahan mereka menjadi reda. Hakikat bahawa Jeneral Sonthi adalah seorang Muslim dan daripada keturunan ulama memberi keyakinan bahawa pemerintahan ganas (the reign of terror) oleh Thaksin akan berakhir.

Ketiga, imej Raja Bhumibol Adulyadej kembali pulih. Imej beliau sedikit tercalar akibat tindak-tanduk Thaksin yang dianggap tidak menghormati beliau. Malah salah satu alasan Jeneral Sonthi melakukan rampasan kuasa adalah untuk memelihara kehormatan Raja Thai yang mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di kalangan rakyat Thailand.

Ini sekadar beberapa pemerhatian yang dapat saya lakukan.


Reaksi Abdullah Badawi

Namun reaksi Abdullah terhadap rampasan kuasa tersebut sebagai 'tidak patut' adalah dangkal. Beliau seolah-olah tidak menghormati perkenan Raja Thai kepada Jeneral Sonthi sebagai pemerintah sementara. Jika saya di tempat beliau, berikut sebahagian daripada respon serta-merta saya:

"Kita melihat perkembangan di Thailand dengan teliti. Sebagai negara jiran, Malaysia berharap perkembangan ini tidak akan menjejaskan kestabilan Thailand.

"Kita percaya pentadbiran tentera ini akan bersifat sementara dan demokrasi akan segera dipulihkan. Rakyat Thailand yang seharusnya membuat keputusan pemimpin yang mereka mahu melalui proses pilihanraya."

Apa yang tidak patut Abdullah? Benda dah jadi.

Wednesday, September 20, 2006

Tanggungjawab kita bukan hanya bercakap

"Pendidikan saya membuatkan saya bertambah bodoh." Begitu kata seorang teman saya yang pada hemat saya seorang yang pintar. Wanita muda ini melanjutkan bahawa dia dilahirkan seorang yang pintar. Jika begini pintar dia setelah 'dibodohkan' oleh sistem pendidikan Malaysia, saya takut untuk mengenal beliau sebelum dia diasuh oleh sistem tersebut.

Kami melanjutkan perbualan di Kedai Kopi dengan berbicara pelbagai isu dan topik khususnya isu-isu kenegaraan. (Sesetengah kita gemar melabelkan isu pendidikan, pembangunan, hospital dan sebagainya, tambahan pula yang kritikal sebagai politik).

Selama ini saya sudah sering berbicara dengan beliau mengenai isu-isu yang sama. Namun saya sentiasa beranggapan dia ikut sama membincangkan perkara tersebut kerana mengambil hati saya semata-mata. Ternyata sangkaan itu meleset malam ini sehingga menyebabkan kami bersembang panjang.

Berikut adalah sedikit nota hasil perbincangan kami:

  1. Kenapa minat terhadap agama semakin meningkat di seluruh dunia khususnya di kalangan penganut Kristian?


  2. Saya berpandangan apabila manusia semakin jauh daripada Jalan Tuhan, mereka akan mencari jalan untuk kembali kepadanya. Ia ibarat seorang yang sesat di dalam hutan dan dapat melihat suatu kawasan yang lapang (clearing). Dia akan cuba untuk sampai ke tempat itu untuk mencari jalan yang benar.

    Teman saya menyimpulkannya sebagai suatu naluri manusia. Betapa jauh manusia lari daripada Tuhan, akan ada kecenderungan untuk kembali.

    Kami sependapat bahawa proses mencari ini yang kadangkala melahirkan ajaran sesat dan tafsiran yang salah terhadap agama. Ada yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan wang dengan menawarkan jalan pintas kepada mereka yang mencari ini. Begitu juga adalah bahaya apabila ada yang percaya bahawa Tuhan bercakap dengan mereka (seperti Bush) dan mereka sedang dalam misi menyelamatkan manusia.

  3. Bagaimana sistem pendidikan Malaysia melahirkan para pekerja yang tidak diperlukan industri, dan tidak pula dapat menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan.

    Beliau yang sedang menyempurnakan pengajian peringkat sarjana melihat bagaimana semakin ramai graduan yang menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan. Antara penyebab kepada masalah ini ialah pensyarah yang tidak mempunyai pengalaman dalam industri berkaitan. Beliau pernah diminta menukar tajuk kajiannya semata-mata kerana "kita tidak ada orang untuk menilai kajian kamu". Itu kata pensyarah beliau.

    Saya melihat betapa semakin ramai yang memasuki universiti dan menyempurnakan pengajian semata-mata untuk mendapatkan kelayakan kertas (paper qualification) tanpa belajar apa-apa. Universiti bukan sekadar tidak dapat melahirkan insan yang cemerlang, malah keadaan di Malaysia menyebabkan universiti tidak mampu untuk mengeluarkan pekerja yang sesuai sekalipun.

  4. Pembinaan jambatan kedua di Pulau Pinang adalah sia-sia.


  5. Teman saya itu adalah anak jati Pulau Pinang. Kami melihat pembinaan jambatan baru akan sekadar memburukkan keadaan di Pulau Pinang. Sebagai sebuah pulau, kekangan paling utama ialah tanah dan sumber asas seperti air. Akan sampai satu tahap pulau itu tidak lagi mampu menampung pertambahan penduduk. Seharusnya kerajaan negeri dipindahkan segera ke Seberang Perai. Perniagaan-perniagaan utama juga perlu digalakkan (dengan keras) untuk berpindah.

    Ini akan melegakan tekanan ke atas pulau yang boleh dimajukan sepenuhnya untuk industri pelancongan.

    Ketepikan kepentingan politik, khususnya politik perkauman yang sering gemar dimainkan oleh parti-parti politik di Pulau Pinang.

  6. Bagaimana kerajaan dapat mengekalkan pekerja berkualiti (khususnya doktor) tanpa perlu menaikkan gaji.


  7. Teman saya mempunyai seorang abang yang sudah 20 tahun mengabdikan diri memberi khidmat di hospital kerajaan. Pendapatannya sekarang hanya 20% daripada pendapatan rakan-rakan yang setara dengannya tetapi berkhidmat di sektor swasta.

    Kerajaan perlu serius memberi pengiktirafan setanding kepada tenaga kerja pakar, khususnya di dalam bidang kritikal seperti perubatan. Penghargaan yang boleh diberikan kepada mereka yang berkhidmat di sektor kerajaan tidak semestinya dengan gaji yang tinggi.

    Kami mencadangkan agar perumahan sewajarnya (sebagaimana yang mampu dibeli oleh doktor di sektor swasta) disediakan secara percuma untuk doktor kerajaan. Apabila cukup tempoh perkhidmatan, mereka akan memilik rumah tersebut. Rumah-rumah yang disediakan harus setaraf dengan mereka dan terletak di kawasan yang baik.

    AP perlu diberikan untuk membawa masuk kereta mewah dengan pelepasan cukai. Jika kelebihan tersebut boleh diberikan kepada Ahli Parlimen, kenapa tidak kepada doktor pakar yang sudah kanan kedudukannya.

    Banyak lagi cara menjadikannya bekerja di sektor kerajaan bermakna dan berbaloi selain daripada menaikkan gaji semata-mata.

  8. Kenapa pemerintah tidak bertindak untuk memperbaiki keadaan negara ini.


  9. Ada dua kemungkinan.

    Pertama, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sememangnya tidak mempunyai kemampuan untuk memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki keadaan negara ini.

    Kedua, mereka tidak mempunyai insentif untuk melakukan yang terbaik. Kenapa perlu bersusah payah dan berusaha keras sedangkan dalam keadaan mereka tidak berbuat apa-apa untuk rakyat dan hanya menumpukan kepada usaha merompak di siang hari untuk memperkayakan diri sendiri, keluarga dan kaum kerabat sekalipun mereka tetap dipilih semula untuk memerintah.

    Hanya apabila mereka menghadapi risiko akan kehilangan kuasa, mereka akan bertindak dengan sepatutnya. Justeru hanya majikan mereka (rakyat) yang mampu memaksa mereka bekerja dengan lebih baik.

    Pada hemat saya, tanggungjawab meletakkan sesuatu parti sebagai pemerintah bukan hanya tertanggung di atas mereka yang mengundi tetapi juga di atas mereka yang tidak mengundi.

    Teman saya tersebut sangat bersetuju kerana dalam Pilihanraya Umum yang lalu dia tidak mengundi.

Sunday, September 17, 2006

Dialog isu agama dan kecelaruan

Saya melihat semakin banyak komen dan kenyataan yang dibuat melalui laman-laman blog yang menyentuh persoalan agama. Andai saya mengatakan tidak setuju dengan perbahasan yang dilanjutkan melalui laman web sudah barang tentu saya dituduh tidak demokratik dan cuba menafikan hak asasi untuk bersuara.

Saya fikir perbahasan yang tidak didokong oleh dalil dan hujah yang jelas adalah sangat tidak sihat. Jauh daripada menghuraikan permasalahan yang timbul, ia hanya akan sekadar mengkusutkan.

Jika sekalipun mahu berhujah, biar dilakukan seperti Khalid Jaafar yang mengemukakan dalil yang jelas dan boleh dirujuk.

Pada hemat saya, yang perlu dihentikan ialah pebahasan yang hanya bersandarkan sangkaan dan pandangan peribadi semata-mata, baik melalui laman web, laman sembang mahupun melalui media cetak dan dialog berdepan.

Hujah yang sekadar berpaksikan 'ia untuk kebaikan' semata-mata seperti yang dikemukakan oleh Shen Yee Aun bukan hujah.

Kita perlu mengambil iktibar daripada saranan Ezam Mohd Nor dalam Ucapan Dasarnya bahawa dialog antara agama perlu diperluaskan. Namun ia perlu disertai hanya oleh mereka yang ahli (kompeten) dalam bidang tersebut dan mewakili kelompok yang terlibat secara sah dan jelas.

Jika semua orang mahu tumpang semangkuk dan bercakap tanpa persediaan ilmu yang mantap sudah tentu keadaannya celaru dan haru biru. Akhirnya rakyat akan semakin keliru.

Saturday, September 16, 2006

AUKU: Najib bebal


Sebagai seorang yang pernah menjawat jawatan Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab terhadap perjalanan institusi pengajian tinggi (sebelum wujudkan Kementerian Pengajian Tinggi), ternyata Timbalan Perdana Menteri Najib Razak begitu jahil mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Media massa hari ini (16 September 2006) melaporkan kenyataan Najib bahawa mahasiswa yang menyertai Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan mahu AUKU dipertahankan dan jangan dimansuhkan.

Seingat saya, tidak ada kumpulan mahasiswa yang menuntut agar AUKU dimansuhkan. AUKU wujud sebagai asas kewujudkan IPT. Justeru jika AUKU dimansuhkan, maka semua IPT yang ada sekaligus akan mansuh.

Tuntutan mahasiswa selama ini ialah agar peruntukan-peruntukan yang menindas dan mengekang mahasiswa daripada berfungsi dengan baik dipinda. Mahasiswa mempunyai tanggungjawab dan peranan yang tidak hanya terbatas kepada dewan kuliah dan aktiviti ko-kurikulum di dalam kampus semata-mata.

Mahasiswa seluruh dunia sejak dari dulu memainkan peranan sebagai suara rakyat yang memperjuangkan hak rakyat dan keadilan tanpa rasa gentar atau pilih kasih. Namun peruntukan-peruntukan tatatertib AUKU menghalang mahasiswa daripada menjalankan tanggungjawab ini.

Sejak awal penubuhannya, MPPK adalah instrumen pemerintah BN untuk menampakkan sokongan mahasiswa kepada mereka. Abdullah Badawi mempengerusikan mesyuarat pertama hasil daripada 'demonstrasi' menyokong beliau di Universiti Malaya. Najib yang ketika itu menjadi Menteri Pendidikan hadir bersama Abdullah di 'demonstrasi' tersebut. Jelas Najib menunjukkan riak wajah yang jelek terhadap 'demonstrasi' tersebut.

Kenapa peruntukan tatatertib AUKU tidak dikenakan ke atas mahasiswa yang terlibat dalam 'demonstrasi' tersebut? Apakah kerana ia diadakan untuk menyokong Abdullah maka mereka tidak dikenakan tindakan di bawah AUKU?

Ini jelas menunjukkan bagaimana peruntukan AUKU disalahguna untuk kepentingan pemerintah. Ini yang kita tentang.

Penubuhan MPPK itu sendiri pada asalnya tidak mengikut norma dan amalan biasa. Malah majoriti mahasiswa menolak penubuhannya sebagai satu gimik politik BN menjelang Pilihanraya Umum Kesepuluh.

Friday, September 15, 2006

Buku cacat dan beban sejarah IKD


Saya baru selesai membaca buku Pidato Kemerdekaan Anwar Ibrahim: Membangun Semula Makna Diri Malaysia terbitan Institut Kajian Dasar. Daripada pembacaan blog Anwar Ibrahim, saya sedia maklum ada terdapat kelemahan dan kecuaian ejaan dan sebagainya dalam buku tersebut.

Namun kesilapan yang berlaku begitu menjolok apabila pembacaan saya tiba pada halaman 17. Pidato tersebut menyentuh soal bahasa. Pemimpin pemerintah dikritik kerana kuat mempromosikan penggunaan Bahasa Inggeris, sedangkan penguasaan Bahasa Melayu mereka sendiri lemah.

Kesilapan-kesilapan di dalam buku ini dan juga Tiga Dialog Anwar Ibrahim bukan semata-mata kesilapan menaip atau typo error. Kesilapan yang dilakukan mencerminkan buku ini disediakan oleh seorang yang tidak punya penguasaan Bahasa Melayu yang baik.

Teks pidato ini diangkat daripada ucapan Anwar Ibrahim. Tetapi ayatnya putus-putus dan tanda bacaan (noktah, koma) diletakkan pada tempat-tempat yang tidak betul sehingga menyebabkan maksud ayat berubah. di yang jauh didekatkan. Beza dari dan daripada juga tidak difahami.

Lebih malang di muka 3, dalam nota kaki dinyatakan bahawa "Setelah menyampaikan pidato, Dato' Seri Anwar Ibrahim membuat perubahan dan penambahan terhadap teksnya. Maka terdapat beberapa perbezaan antara kandungan teks ini dan pidato yang disampaikan seara lisan."

Ini memberi isyarat bahawa teks untuk buku tersebut telah dibaca oleh Anwar Ibrahim. Apakah benar beliau telah membacanya? Jika begitu keadaannya, bagaimana Anwar Ibrahim yang mempunyai penguasaan Bahasa Melayu yang begitu baik boleh terlepas pandang akan kesilapan-kesilapan asasi yang berlaku?

Saya hadir mendengar pidato pada 6 Ogos 2005 tersebut. Penyampaian lisan sememangnya hebat dan mudah difahami. Malang penyampaian bercetak begitu cacat.

Saya fikir tidak ada pilihan selain menarik balik kedua-dua buku daripada edaran dan mengusahakan penerbitan semula yang lebih baik. Dalam proses tersebut, perlu didapatkan orang yang kompeten untuk melakukannya agar kita tidak mengekalkan mediocrity. Bukankah ini yang disyarahkan oleh Anwar Ibrahim di laman 14 apabila menyentuh persoalan Dasar Ekonomi Baru?

IKD memikul beban sejarah yang berat dalam soal penerbitan. Selama ini IKD dikenal sebagai institusi yang menganjurkan persidangan yang gah, menerbitkan buku dan monograf yang berkualiti. Jelas, Khalid Jaafar perlu dibantu.

Thursday, September 14, 2006

FDI untuk menggerakkan ekonomi


Kerajaan Barisan Nasional nampaknya mengambil tindakan dalam arah yang betul untuk menggerakkan ekonomi negara. Media massa 14 September melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak mengumumkan langkah-langkah untuk menarik pelaburan terus asing (FDI).

Sebuah Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan untuk menimbangkan permohonan syarikat asing dan memberikan kelulusan segera. Ini adalah sangat baik bagi menggalakkan kemasukan lebih banyak modal asing yang akan menggerakkan ekonomi dan menyediakan pekerjaan kepada rakyat.

Meskipun begitu saya kurang bersetuju dengan pendekatan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi menangani keperluan-keperluan semasa begini. Seharusnya mekanisme kekal melalui struktur sedia ada digunakan untuk membuat keputusan dan bukan semuanya ditolak kepada Jawatankuasa Kabinet.

Modal asing adalah sangat kritikal untuk mencergaskan ekonomi. Ia adalah lebih baik dan berkesan berbanding pendekatan meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk membina projek-projek mega yang tidak mempunyai kewarasan ekonomi (economic sense).

Wednesday, September 13, 2006

Laporan Metro mengenai UMNO merempit di Lumut

Berikut laporan Harian Metro mengenai aktiviti mat rempit Putera UMNO di Lumut: Harian Metro 13 September 2006.

Syabas UMNO!

Tuesday, September 12, 2006

Apa agenda UMNO merempit di Lumut?

Entri kali ini ialah atas permintaan khusus daripada seorang teman yang menetap di Lumut. Isu yang beliau minta diketengahkan ialah mengenai mat rempit.

Saya tidak pasti sejauh mana ketengahnya sesuatu isu jika sekadar dibangkitkan di dalam blog saya yang tidak seberapa ini.

Kata teman ini, masalah lumba haram di Lumut berlaku dengan berleluasa. Tidak ada tindakan konkrit yang diambil untuk mencegahnya bagi menjaga keselamatan orang ramai.

Malah tindakan Putera UMNO yang mengadakan ekspedisi mat rempit (atau mat apa jua yang cuba dijenamakan semula) ke Lumut hanya mendatangkan masalah yang lebih kepada penduduk di sana.

Menurut beliau, tidak ada sebarang program yang jelas untuk kebaikan mereka yang menyertai ekspedisi tetapi sebaliknya ia menjadi satu program merempit besar-besaran dengan mendapat lesen besar daripada UMNO.

Pada hemat saya, pendekatan UMNO tersebut adalah untuk kepentingan parti tersebut. Anak-anak muda yang dilabelkan sebagai mat rempit ini pada umumnya tidak berminat dengan politik. Justeru mereka besar kemungkinan tidak pernah mengundi meski telah cukup umur 21, atau malah tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengundi jika mereka belum berumur 21.

UMNO cuba mendekati golongan ini sebagaimana ia sebelum ini mendekati kelompok-kelompok lain yang biasanya apolitical. Pendekatan mesra sebegini akan membina imej UMNO yang baik dan sekaligus memudahkan parti tersebut menyusun program yang paling penting: memastikan kesemua mereka yang selama ini tidak mengundi untuk membuang undi apabila tiba pilihanraya. Besar kemungkinan dengan strategi yang tersusun dan 'gula-gula' undi itu akan pergi kepada UMNO.

Jika parti lain menzahirkan pandangan yang cuba berlainan, yang cuba membawa perubahan dan memberi manfaat kepada anak-anak muda tersebut, ia akan digambarkan sebagai pendekatan tidak mesra terhadap 'mat rempit'. Ini sudah tentu baik bagi UMNO.

Hanya satu yang penting kepada UMNO: KUASA. Biar negara porak peranda, anak-anak muda musnah masa depannya, asalkan mereka dapat terus meraih undi dan memegang kuasa.

Jika UMNO-BN serius untuk memperbaiki keadaan, sudah tentu mereka yang memegang tampuk kuasa melaksanakan sesuatu yang lebih konkrit dan serius.

Saya yakin mereka telah mengambil perkiraan bahawa kemarahan penduduk Lumut 'tidak apa' jika dibandingkan dengan keuntungan yang akan mereka perolehi. Atau apakah mungkin mereka yang menganjurkan program ini sengaja mahu penduduk Lumut marah?

Kasihan orang UMNO di Lumut!

BA perlukan lebih ramai Mustafa Ali


Saya membaca Harakahdaily 11 September 2006 dengan begitu senang hati. Setelah lama teman-teman PAS mabuk asmara dengan telatah Mahathir, akhirnya ada suara bijaksana yang memanggil pendukung dan seluruh kita penggerak Barisan Alternatif untuk kembali kepada dunia nyata.

Suara itu ialah suara Mustafa Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat. Beliau adalah seorang yang mempunyai pengalaman politik yang sangat panjang. Malah beliau boleh dianggap sebagai salah seorang yang paling politically savvy di kalangan pemimpin Barisan Alternatif.

Tatkala kebanyakan yang lain baru berjinak dengan politik atau malah seperti saya yang belum pun melihat cahaya dunia, Mustafa telah menjadi seorang Timbalan Menteri di dalam Kabinet Perpaduan Barisan Nasional.

Secara peribadi saya memang menghormati kebijaksanaan beliau. Saya pernah beberapa kali menghadiri mesyuarat pre council BA bagi pihak YB Permatang Pauh ketika Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Ketua Pembangkang. Seringkali cadangan terakhir yang diangkat menjadi keputusan mesyuarat ialah cadangan Mustafa.

Kebijaksanaan Mustafa terserlah di dalam ucapannya di Tasek Gelugor itu. Beliau menyebutkan dengan jelas bagaimana tindakan-tindakan Mahathir dilihat memberi manfaat kepada PAS di Kelantan. Namun beliau tegas mengingatkan agar tumpuan lebih diberikan kepada mempersiapkan jentera pilihanraya.

Kata beliau, "Ingat! Persengketaan Umno akan hilang bila tiba pilihan raya. Mereka sanggup duduk semeja untuk berhadapan dengan kita. Tugas kita mesti kemaskan yang mana belum diberikan perhatian."

Saya sendiri sebelum ini (UMNO, pilihanraya dan si pandai) menyatakan bahawa pilihanraya sentiasa mampu menjadi faktor pemersatu kepada UMNO.
Justeru BA perlu melakukan persiapan serapi mungkin. Ya! Memang betapa diusahakan sekalipun ia tidak akan sempurna. Namun bukankah tugas kita hanya berusaha sebaik mungkin?

Jika kita lalai dalam hal ini dan hanya mengharapkan kelemahan BN, sampai bila sekalipun kita tidak akan menang. Kerana perjuangan mereka berpaksikan kuasa, maka mereka tidak akan membiarkan apa sekalipun, hatta konflik peribadi, untuk menjejaskan cengkaman mereka terhadap kuasa.

Begitu juga mengharapkan kepada SPR untuk berubah dan melaksanakan pilihanraya yang bebas dan adil bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba. BN tidak akan membiarkan mereka kerana pemimpin BN tahu jika pilihanraya adil dan bebas, mereka sudah lama 'tapau'.

Untuk menang kita mesti mendapatkan sokongan rakyat yang cukup besar untuk mengatasi segala penipuan dan taktik kotor BN. Namun sebelum rakyat yang masih tidak pasti membuat keputusan, mereka akan berulangkali bertanya apakah BA mampu memerintah negara dengan lebih baik.

Jika kepemimpinan BA dibarisi oleh lebih ramai yang mempunyai kualiti Mustafa Ali, memang kita mampu. Tetapi jika kita ada ramai Mustafa Ali, sudah lama kita menang.

Tetapi hakikatnya masih ramai pemimpin BA yang tidak tahu hujung pangkal politik, apatah lagi skil memerintah. Hanya dua pilihan jalan keluar: 1) Persiapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan; atau 2) Gantikan mereka dengan pemimpin yang lebih berwibawa.

Monday, September 11, 2006

The Power of Incumbency


Some time back, i had a discussion with Rustam Sani. It was just another chit chat among the many i had with him and Rohani, his wife. They are very intelligent people, with vast experiences in many aspects of life.

I was told by Rustam not to underestimate the power of incumbency. He explained that the way UMNO works, whoever is in power, whoever has the ability to give out projects and money will have the upper hand. Furthermore the same people will have the state machineries at his disposal.

Therefore, Anwar faced an uphill battle in 1998, no matter how popular he was in UMNO back then.

The same goes with Mahathir nowadays. He is very powerful, well connected and has got funds for his war chest unrivalled by any. But he is facing a seating President of UMNO. He is clearly trying to unseat Abdullah.

Though Abdullah may not have the brain or ability such as Mahathir, still he is the sitting president. No matter if he is a sitting lame duck.

This may explain why Mahathir lost in his bid to be a delegate to the UMNO General Assembly. (Provided it is his intention to become one in the first place. I really can't figure out his moves). Harakahdaily tries to show that if not for money politics, Mahathir would have won.

What? You think Mahathir never use money one aaa? He has got money also.

p/s Rustam: If you read this, can you explain 'the power of incumbency' in detail?

Sunday, September 10, 2006

CIMB Bank sebagai penamat riwayat Ikon ekonomi Bumiputra

Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) ditubuhkan sebagai salah satu usaha memperkasa penglibatan bumiputra dalam ekonomi Malaysia. Namun bank itu juga yang menjadi sasaran pemimpin-pemimpin UMNO untuk memperkayakan diri mereka.

Skandal demi skandal melanda bank tersebut. Bukan sahaja perompakan di siang hari, malah pernah sehingga melibatkan korban nyawa. Banyak kali juga BBMB diselamatkan oleh negara, melalui pelbagai cara dan acara.

Apabila diambilalih oleh Commerce Bank ia dipisahkan menjadi Bank Muamalat (mengambil sektor perbankan Islam dan Ibu Pejabat BBMB di Jalan Melaka) dan sebahagian yang lain dinamakan Bumiputra Commerce Bank (BCB). Meski berlaku perubahan besar dan kehilangan bangunan BBMB yang menjadi ikon yang menyaksikan jatuh bangun ramai usahawan Bumiputra, namanya Bumiputra pada bank tersebut tetap kekal.

Namun 7 September 2006 menyaksikan nama Bumiputra dalam sistem perbankan negara benar-benar menemui penghujungnya. Ia ditukar nama kepada CIMB Bank. Suatu nama yang pada hemat saya tidak ada sebarang roh dan makna.

Lebih malang perubahan paling besar ini digerakkan oleh Dato' Nazir Razak, anak kepada Perdana Menteri Kedua kita. Mungkin beliau tidak berkongsi emosi yang sama kuat terhadap konsep Bumiputra itu sendiri.

Saya sendiri tidak berniat menjadi romantic fool dalam soal ini. Namun saya percaya adalah penting untuk Bumiputra Malaysia mempunyai sebuah bank yang khusus memberi perhatian kepada keperluan dan kepentingan Bumiputra. Selain itu, bank ini akan dapat memberi peluang pekerjaan dan membantu membangunkan mereka.

Mungkin ini yang perlu lebih diperjuangkan oleh UMNO daripada berbalah mengenai pembahagian jawatan di agensi-agensi kerajaan.

Friday, September 08, 2006

UMNO memang menyedihkan

Saya benar-benar mual dengan UMNO Pulau Pinang yang memukul canang perkauman. Sudahlah begitu, isu-isu yang dibangkitkan kini sama sekali tidak ada kepentingan kepada orang Melayu atau kepada mana-mana kelompok rakyat.

UMNO Pulau Pinang dengan dimulai Bahagian Bukit Mertajam menuntut agar jawatan Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dikembalikan kepada UMNO.

Saya bingung. Tuntutan yang benar-benar phatetic. Sejak bila jawatan tersebut menjadi milik UMNO? Bukankah jawatan tersebut diambil oleh Koh Tsu Koon ketika PBAPP menghadapi krisis? Ini bermakna beliau memegang jawatan tersebut kerana Pengerusi sebelum ini (daripada UMNO) tidak mampu menjalankan tugas dengan baik.

Saya fikir sudah sampai masanya pembahagian jawatan-jawatan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya kepada pemimpin-pemimpin UMNO dihentikan serta-merta.

Saya tidak mempunyai masalah jika jawatan-jawatan tersebut diberikan kepada mereka yang berkelayakan dan berwibawa -- tidak kira samada mereka adalah pemimpin UMNO atau tidak. Yang menjadi masalah ialah apabila jawatan-jawatan diberikan kepada pemimpin UMNO yang tiada kelayakan atau pengalaman.

Malah seperti tauladan yang ditunjukkan oleh Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Salamon Selamat jawatan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam diberikan kepada dirinya dan isterinya. Apakah mungkin anak-anaknya belum cukup umur untuk dilantik.

(Nota: Saya maklum isteri Salamon ialah Ketua Wanita Bahagian. Tetapi apakah hanya itu kriteria yang melayakkan dia menjadi Ali Majlis MBSA?)

Apakah erti perjuangan kepada kita

Saya amat tertarik dengan usaha susah payah untuk memindahkan jenazah Ngah Ibrahim dan Laksamana Mohamad Amin dari Singapura ke Perak. Proses tersebut melibatkan biaya yang besar dan malah menggunakan sebuah kapal Tentera Laut DiRaja Malaysia.

Apakah sebenarnya penghayatan kita terhadap semangat perjuangan mereka menentang penjajah? Apakah dengan memindahkan tulang temulang yang sudah reput ke Perak bermakna kita menghayati semangat mereka.

Pada hemat saya, memindahkan jenazah ke sana ke mari bukanlah sesuatu yang sewajarnya dilakukan. Tidak ada manfaat apa sekalipun di dalam kes ini.

Yang lebih penting ialah untuk menghayati perjuangan dan kesanggupan mereka berkorban. Yang utama sekarang ialah untuk memastikan generasi muda memahami dengan tepat perjuangan mereka.

Seringkali buku-buku sejarah mencatakan motivasi utama (meski secara tidak langsung dinyatakan) pejuang-pejuang awal Melayu menentang penjajahan ialah kerana kehilangan hak mereka mengutip cukai.

Apakah ini hakikat?

Terlalu banyak berkenaan sejarah negara yang perlu dikaji dengan lebih mendalam dan diperjelaskan fakta. Antara yang jelas tempang ialah catatan mengenai perjuangan mendapatkan kemerdekaan yang hanya menumpukan kepada peranan UMNO-Perikatan berkompromi dengan Britisih.

Perjuangan kumpulan-kumpulan lain yang menumpahkan darah dan mengorbankan nyawa mengusir penjajah sering dinafikan. Kita perlu jujur dengan sejarah. Kegagalan berbuat demikian akan menjadikan negara kita goyah dan lemah dalam menghadapi pelbagai kemelut di masa hadapan, khususnya cara hidup perkauman yang ditonjolkan oleh parti-parti perkauman UMNO-MCA-MIC.

Tahniah Musa dan harapan untuk PDRM


Pertama-tama izinkan saya mengucapkan tahniah kepada Musa Hassan kerana akan dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru.

Berikutan itu tidak pelik televisyen hari ini (7 September 2006) di dalam siaran berita utama menyiarkan banyak berita berkenaan Musa. Permulaannya sudah tentu pelancaran kiosk untuk menghubungi polis dengan mudah apabila berlaku kejadian ragut. Tidak perlu menghafal atau mendail apa-apa nombor. Cuma pergi ke kiosk tersebut dan anda akan disambungkan kepada pihak polis. Bantuan dijanjikan akan segera tiba.

Saya konsisten dalam menyambut baik sebarang usaha untuk mencegah jenayah. Cuma saya tertarik untuk mengetahui berapa kos untuk menyediakan kiosk tersebut (3 setakat ini).

Kehadiran kiosk sama sekali tidak akan dapat menggantikan keberkesanan kehadiran polis secara fizikal di sesuatu kawasan. Kehadiran anggota polis yang terlatih menangani penjenayah akan meghadirkan rasa takut di dalam hati mereka yang berhasrat melakukan jenayah. Lantas jenayah akan dapat dicegah.

Sekadar memudahkan laporan dibuat tidak akan memberi makna apabila pihak polis tidak dapat mendakwa mereka yang ditahan kerana ketiadaan bahan bukti dan saksi. Lebih malang jika suspek tidak dapat dicari sekalipun.

Justeru yang utama ialah mencegah jenayah daripada berlaku, bukan menangkap penjenayah.

Saya yakin Musa sedia maklum perkara ini.


Musa dan Mat Rempit Melayu

Bakal Ketua Polis Negara juga memberitahu bahawa majoriti mat rempit adalah golongan muda Melayu.

Apakah ada di antara kita tidak tahu mengenai perkara tersebut? Kita tidak perlu diberitahu perkara yang sudah kita sedia maklum. Kita juga maklum bahawa majoriti penagih dadah adalah Melayu. Kita tahu dan kita maklum. Terima kasih Musa kerana berulang kali memberitahu.

Yang kita mahu, yang kita harapkan daripada pihak polis ialah strategi untuk mengatasi masalah ini. Bentangkan segera dan jangan hanya memberitahu ia sukar dilakukan. Saya fikir jika kerja itu senang, tidak perlu kita membayar gaji puluhan ribu ringgit. Biar saya sahaja menjadi Ketua Polis Negara. Tetapi saya sedar, saya tidak layak.

Sekadar untuk memberitahu sesuatu perkara yang sudah kita tahu berulang-ulang kali, bela saja burung kakak tua. Kos memeliharanya sudah pasti lebih rendah daripada membayar gaji pegawai yang begitu hebat.

Wednesday, September 06, 2006

Permit teksi dan berniaga atas angin

Beberapa hari lalu, media massa melaporkan mengenai bantahan pengusaha-pengusaha teksi terhadap tindakan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang membatalkan permit teksi yang mana pemandunya didapati melakukan kesalahan.

Hujahan mereka benar. Permit adalah dimiliki oleh syarikat. Justeru kenapa syarikat yang terpaksa menerima akibat daripada kesalahan yang dilakukan oleh pemandu. Ini akan menjejaskan syarikat dan pemandu-pemandu lain di syarikat tersebut.

Bagaimanapun saya sejak sekian lama percaya, permit-permit teksi tidak seharusnya diberikan kepada syarikat. Ia perlu diberikan terus kepada pemandu. Jika ini dilakukan, sebarang kesalahan yang sangat serius dilakukan oleh pemandu sesuai dihukum (atau dihalang daripada berulang sebenarnya) dengan menarik balik permit.

Pemberian permit kepada syarikat adalah semata-mata untuk memberikan keuntungan atas angin kepada pengusaha-pengusaha syarikat tersebut. Malah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sering menggunakan saluran ini untuk mengaut kekayaan. (Ingat kes Saujana Teksi?)

Syarikat yang memperolehi permit-permit teksi, membuat keuntungan besar dengan hanya mengeluarkan modal minima.

Untuk memberikan gambaran keuntungan atas angin yang diraih:

Sebuah syarikat yang memperolehi permit membeli teksi melalui pinjaman bank dan membayar RM 400.00 sebulan (andaian yang tinggi). Teksi tersebut kemudiannya disewakan kepada pemandu pada harga RM40.00 sehari. Maka dalam sebulan sewa yang dikutip ialah RM1,200.00 atau keuntungan RM800.00 setiap teksi, setiap bulan.

Bayangkan jika syarikat tersebut memiliki 100 permit. Untung yang diperolehi ialah RM80,000.00 sebulan. Ditolak kos pengurusan (sebuah pejabat dan beberapa kakitangan) sebanyak RM10,000.00 sebulan, maka keuntungan bersih ialah RM80 ribu sebulan. Bayangkan jika mereka memiliki ratusan permit.

Apa modal dan kepakaran mereka? Sebarang kerosakan pada teksi biasanya ditanggung oleh pemandu. Sewa dikutip secara tunai setiap hari dan hanya cuti beberapa hari setahun diberikan. Apabila pemandu sakit dan tidak dapat memandu (menarik, kata pemandu teksi) sewa tetap mesti dibayar.

Kenapa tidak permit diberikan terus kepada pemandu? Mereka akan memperolehi sekurang-kurangnya RM800.00 pendapatan tambahan sebulan. Ini sudah tentu akan meningkatkan taraf hidup mereka atau penjimatan ini boleh dikembalikan kepada pengguna dengan penurunan caj sewaan.

Dengan permit individu, sudah tentu selayaknya mereka yang melanggar peraturan dilucutkan permitnya.

Kepada pengusaha syarikat teksi yang ada: Carilah perniagaan yang betul-betul menggunakan kepakaran dan modal. Cukuplah berniaga atas angin dan makan atas pemandu teksi yang rata-rata bukanlah orang kaya.

Monday, September 04, 2006

Menterjemah pukulan canang kepada kemenangan

Saya melihat mood perwakilan dan pendokong keADILan di Kongres Nasional Tahunan yang baru berlangsung sebagai sangat optimis dan berkobar-kobar.

Ucapan-ucapan pemimpin sudah barang tentu berapi-api. Saya percaya dari segi semangat dan pukul canang, keADILan sudah menang. Yang tinggal sekarang ialah untuk menterjemahkannya kepada strategi dan tenaga kemenangan seterusnya meraih mandat melalui kemenangan pilihanraya.

keADILan seharusnya kini bersedia sepenuhnya untuk memimpin kerajaan alternatif menggantikan rejim Barisan Nasional. Yakinlah!

Langkah pertama sudah tentu untuk memahamkan ahli-ahli di seluruh negara akan ucapan-ucapan dasar Presiden, Ketua Angkatan Muda dan Ketua Wanita yang telah dikemukakan. Ini seterusnya diterjemahkan dalam bentuk agenda bertindak yang mempunyai sasaran-sasaran yang boleh diukur dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

Seringkali berlaku di dalam mana-mana organisasi, Ucapan Dasar hanya tinggal ucapan. Dikenang dan dibukukan, tetapi tidak pernah diambil tindakan berdasarkannya.

Jamin keselamatan rakyat

Saya amat gembira melihat kerancakan cadangan demi cadangan yang dikemukakan untuk membantu memerangi jenayah. Saya melihat ini sebagai kesungguhan pemerintah untuk menjamin keselamatan awam.

Meski beberapa cadangan mungkin kelihatan kurang bersesuaian atau tidak masuk akal, kesanggupan untuk mengemukakan cadangan-cadangan baru adalah petanda masalah ini diberikan perhatian dan penyelesaiannya sedang difikirkan.

Pada saya, lakukan apa sahaja. Cuba sebarang pendekatan. Yang penting ialah pastikan keselamatan rakyat terjamin.

Mujur Abdullah beri

Malam tadi (3 September 2006) saya makan malam bersama dua teman. Seorang daripadanya mempunyai Ijazah Sarjana daripada Universiti Malaya, dalam bidang Ekonomi. Sambil makan, seperti lazim, kami bersembang dan antara topik menarik yang timbul ialah mengenai Belanjawan 2007.

Teman yang mempunyai Ijazah Sarjana ini mengeluarkan kenyataan yang sangat menarik. Beliau memuji langkah Abdullah memberikan bonus dua bulan gaji kepada kakitangan sektor awam. Saya sememang tidak mempunyai masalah dengan pemberian bonus ini. Ia adalah salah satu bentuk pembahagian semula kekayaan negara, khususnya daripada keuntungan luar biasa yang diraih Petronas daripada kenaikan harga petrol di pasaran dunia.

Rakyat selaku pemegang ekuiti dalam negara ini sudah tentu berhak menerima dividen apabila untung besar diperolehi. Malang dividen itu hanya diberikan kepada kakitangan sektor awam. Bagaimana dengan kakitangan swasta dan mereka yang tidak bekerja. Mereka juga rakyat Malaysia, mereka juga memegang ekuiti dalam negara ini. Apakah mereka tidak layak menerima sebahagian daripada keuntungan besar yang diraih?

Bagaimana dengan pesara kerajaan? Saya mempersoalkan kenapa mereka hanya dibayar antara RM200 - RM400?

Dengan pantas teman saya yang mempunyai ijazah sarjana di dalam bidang ekonomi menjawab: Mujur Dollah bagi.

Hampir saya melompat mendengarnya. Harta yang dibahagi-bahagikan melalui Belanjawan adalah milik negara, adalah hak rakyat. Kerajaan ini hanya sekadar menguruskannya. Jika hujahan beliau adalah negara tidak mampu memberikan bonus kepada pesara, saya boleh terima.

Tetapi alasan yang diberikan seolah-olah menunjukkan bahawa kita, rakyat, hanya boleh mengharap dan menerima dengan diam apa sahaja cebisan yang dicampakkan oleh Menteri Kewangan melalui Belanjawan. Dan ini datangnya daripada seorang terpelajar yang mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi.

Saya sedih!

Rakyat seharusnya disedarkan mengenai siapakah pemegang ekuiti negara ini (yakni rakyat) dan fungsi Perdana Menteri dan kerajaan hanya sebagai Ahli Lembaga Pengarah yang mengendalikan perjalanan negara ini. Justeru rakyat perlu bersedia memecat Lembaga Pengarah yang tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai utama di dalam Mesyuarat Agung yang akan datang (yakni pilihanraya). Saya yakin para pesara sewajarnya mempunyai hasrat untuk melakukannya. Itupun jika mereka percaya harta negara ini milik mereka dan bukan milik Abdullah.

Jika tidak mereka akan sekadar berkata: Mujur Abdullah beri.