Wednesday, August 16, 2006

Amani sebagai ikon golongan tolol

Sharifah Amani punya hak untuk memilih bertutur dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Tidak sewajarnya sesiapa jua mempersoalkan hak tersebut kecuali pihak penganjur sudah menetapkan terlebih dahulu syarat agar semua ucapan dilakukan dalam Bahasa Melayu.

Pada hemat saya, jika beliau merasakan beliau tolol dalam berbahasa Melayu, yakni tidak mempunyai kemampuan untuk berucap dan bertutur dalam bahasa Melayu maka tidak seharusnya beliau dipaksa menonjolkan ketololannya itu.

Namun tindakan dan kenyataan beliau mendedahkan sifat tololnya itu, sekaligus menelanjangkan aib dan pekungnya sendiri.

Amani bukan keseorangan dalam merasakan diri mereka tidak mampu berbahasa Melayu dengan baik. Saya percaya dan malah saya sendiri pernah bertemu dengan ramai anak muda Melayu apatah lagi daripada kalangan Tionghua, India dan sebagainya yang merupakan rakyat Malaysia tetapi tidak mampu dan fasih menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Saya setuju dengan kenyataan Amani bahawa kenapa dihebohkan mengenai dirinya sedangkan di sekolah-sekolah pemerintah mempromosikan (malah memaksakan) penggunaan Bahasa Inggeris. Keadaan yang berlaku di sekolah adalah jauh lebih serius daripada kenyataan seorang pelakon yang baru berjinak dengan dunia glamour.

Kegagalan Amani untuk menguasai Bahasa Melayu tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada genetik beliau. Kelemahan dan ketololannya itu adalah akibat daripada dasar dan sistem pendidikan kita.

Amani hanya contoh atau ikon kepada golongan yang menjadi mangsa keadaan ini. Ya, benar! Saya katakan beliau adalah mangsa keadaan yang menjadikan beliau tolol.

Petualang sebenar ialah para pemimpin negara yang memandang rendah Bahasa Melayu, yang merasakan untuk maju kita harus mengorbankan Bahasa Melayu bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

Hakikat yang telah dikemukakan oleh pakar bahawa peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris tidak terjejas, malah boleh seiring dengan penguasaan Bahasa Melayu tidak mahu dipedulikan. Mereka ini yang mengorbankan Bahasa dan Budaya Melayu, selain nilai dan adab adalah golongan yang benar-benar tolol.

Kegagalan pemerintah sekarang memperbetulkan kesilapan yang dilakukan tersebut menjadikan mereka sebahagian daripada golongan tolol tersebut.

Membetulkan jambatan herot semata-mata adalah sangat tidak memadai. Sistem nilai yang dipegang, falsafah hidup dan sikap rakyat yang seharusnya diperbetulkan segera.

3 comments:

Anonymous said...

Sharifah Amani seharusnya berpijak dibumi nyata....tak tahu lah kalau Bahasa Melayunya gagal sewaktu peperiksaan SPM...

Anonymous said...

kawe ore Kelate, tak pernah malu nak speaking Kelate.

Anonymous said...

aku pulok orangg ganu, jugok dok malu setabuk harang nok cakap ganu. sapai leni, aku dok se'ih dirinyer nok cakap orang putih.