Tuesday, August 22, 2006

Siapa pengaruhi Amani?


Pada umur 20 tahun, Sharifah Amani atau Nani, sepertimana Yasmin Ahmad memanggil dirinya, memang muda. Sesetengah orang akan gemar mengatakan dia mentah dan tiada pengalaman.

Namun saya tidak pernah percaya umur adalah ukuran kematangan. Sebaliknya pendedahan yang diterima itu yang menentukan kematangan. Justeru Nani mungkin masih tidak berpengalaman, khususnya dalam acara umum seperti majlis menerima anugerah, kerana beliau sendiri baru berjinak-jinak dalam menerima anugerah.

Kenyataan dan tindakan Nani sudah pasti dipengaruhi oleh pendedahan yang diterimanya selama ini (betapa sedikit atau betapa banyak sekalipun). Seringkali anak muda membentuk pandangan kerana memerhatikan orang lain, lazimnya seorang yang dihormatinya.

Ada teman cuba mempertahankan Amani dengan mengatakan bahawa dia tersilap memilih perkataan 'stupid', yang dimaksudkannya ialah 'funny' -- I sound funny speaking in Malay. (Kurang lebih begitu ayat penuh sepatutnya, kata teman ini. Saya tidak pasti kerana tidak menonton rancangan tersebut.)

Ini membuatkan saya bertanya kembali, jika Amani tolol dalam Bahasa Melayu dan memilih untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris, sudah barang tentu dia lebih handal berbicara dalam Bahasa Inggeris. Tetapi dalam Bahasa Inggeris juga dia salah.

Jika Amani tolol dalam Bahasa Inggeris, apa sebenarnya bahasa yang dikuasainya. Ini benar-benar membimbangkan sebenarnya. Bagaimana keadaan sistem pendidikan kita sehingga dapat melahirkan seorang yang tolol dalam kedua-dua Bahasa Melayu dan Inggeris?

Entri saya sebelum ini Amani sebagai ikon golongan tolol membicarakan mengenai ketololan golongan yang melihat penggunaan Bahasa Inggeris melambangkan ketinggian kelas.

Namun saya teguh dengan kepercayaan saya bahawa pembentukan pendirian Amani adalah dipengaruhi oleh seseorang atau beberapa orang yang begitu dihormatinya. Yasmin (menurut catatan blognya) adalah seorang yang dihormati Amani sehingga dipanggilnya Yasmin 'Mak'.

Sedari awal Yasmin mempunyai pandangan yang tidak senada (conform) dengan pandangan umum masyarakat. Mungkin Yasmin progresif. Tetapi mungkin juga Yasmin sekadar mahu lain daripada kelaziman, meski kelainan itu tidak didasari oleh falsafah dan kesedaran. Saya tidak pasti yang mana satu menjadi asas kepada kelainan yang dicari Yasmin.

Justeru adalah menarik untuk kita tahu apa sebenarnya pendirian Yasmin dalam soal bahasa ini. Apakah benar-benar Amani tersilap (dan kita seharusnya memaafkan kesilapan), atau mungkinkah ia terpancar daripada sikap yang konsisten mereka di sekelilingnya (dan jika itu keadaannya, Amani perlu disedarkan bahawa pandangan itu silap).

Lebih malang jika Amani dipergunakan untuk menyampaikan mesej seorang lain atau satu kelompok tertentu.

1 comment:

ahmad zaki yamani said...

Dalam isu Amani dan keceluparannya ini, mencari siapa yang sebenarnya mempengaruhi Amani adalah sangat asasi.

Orang yang menyemai pemikiran serong di dalam Amani ini harus memperbetulkannya. Percubaan untuk menunjukkan kepada Amani pandangan yang berbeza sudah tentu akan menimbulkan konflik di dalam dirinya jika manusia yang dia hormati mempunyai pandangan yang songsang.