Sunday, August 27, 2006

Mengkritik Mahathir, Menegur Abdullah

RESENSI BUKU:
Rustam A. Sani, Bercanda dengan Mahathir,
2006: Kuala Lumpur, 231 hal., RM20.00.

(Buku ini akan berada di pasaran bermula 1 September 2006 di Kongres Parti Keadilan Rakyat di Pulau Pinang)

“Perbalahan” yang kini sedang terjadi antara bekas PM Mahathir Mohamad dan PM Abdullah Badawi mempunyai implikasi yang agak besar terhadap politik negara ini. Setelah agak lama mendiamkan diri (elegant silence?), Abdullah (dan jentera kerajaannya) nampaknya sudah mulai memberikan jawapan. Beberapa dokumen yang selama ini dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi sudah mulai dideklasifikasikan “untuk mendedahkan segala-galanya” kepada rakyat.

Namun terdapat implikasi yang lebih jauh dalam perbalahan ini. Ada orang yang melihat terdapatnya “perpecahan besar” dalam kepemimpinan Umno dan wujudnya suatu konspirasi untuk menjatuhkan pemerintahan Abdullah setelah beberapa tahun sahaja memegang tampuk kuasa. Malah yang lebih menarik lagi perbalahan ini berkemungkinan pula menyebabkan perpecahan di kalangan parti-parti pembangkang – khususnya di antara pihak yang “menyokong” Mahathir dengan pihak yang menganggap perbalahan ini sebagai perbalahan dalaman Umno dan tidak perlu disertai pihak pembangkang.

Dilihat dalam konteks ini, buku terbaru Rustam ini amatlah menarik. Sebagaimana yang dijangkakan, buku ini memang merupakan sebuah kritikan yang agak keras terhadap Mahathir dan zaman pemerintahannya yang sudah berlalu itu. Pada asasnya buku ini mengandungi 33 rencana “semasa” dari zaman pemerintahan Mahathir tersebut. Sebagai seorang penulis kolum dan ahli sosiologi politik yang telah dimusnahkan peluangnya untuk berkarya dalam akhbar-akhbar “arus perdana” (baca: dikuasai pemerintah) sejak tahun 1998, maka rencana-rencana dalam buku ini semuanya dipetik daripada akhbar-akhbar pihak pembangkang dan gerakan reformasi, seperti Detik, Suara PRM, Suara Keadilan, dan Harakah.

Rencana paling baru dalam kumpulan ini dipetik daripada akhbar Siasah keluaran 22 Jun 2006. Oleh yang demikian, tulisan Rustam dalam buku ini tidaklah merupakan “sumbangan” beliau terhadap analisis perbalahan Mahathir-Abdullah yang sedang berlangsung kini, tetapi lebih merupakan kritikan Rustam yang berterusan terhadap pemerintahan Mahathir – bukan sebagai imbasan kembali tetapi sebagai ulasan semasa ketika terjadinya apa yang dinamakannya sebagai “kebobrokan” zaman pemerintahan tersebut.

Pada asasnya, Rustam melihat kebobrokan itu sebagai ciri pemerintahan Mahathir yang dianggapnya berbentuk demokrasi tempang atau iliberal democracy, yang dicirikan oleh upaya untuk menindas pelbagai bentuk kebebasan dan hak asasi yang sepatutnya dihormati dalam sebuah sistem demokrasi yang tulen. Sistem yang tidak demokratis ini, menurut Rustam, diperlukan bagi menghindarkan sebarang bentuk halangan bagi Mahathir dalam melaksanakan dasar-dasarnya yang dicirikan oleh KKN: korupsi, kronisme, dan nepotisme.

Bagi sesiapa yang berminat hanya kepada perbalahan Mahathir-Abdullah yang sedang berlaku kini, beberapa kritikan Rustam yang ditulis pada zaman pemerintahan Mahathir itu amatlah menarik. Jika kini Mahathir mendakwa bahawa pada zamannya media lebih bebas, maka kritikan semasa Rustam memperlihatkan bahawa penindasan media sesungguhnya merupakan warisan zaman Mahathir.

Jika Mahathir kini membuat pelbagai tuduhan tentang nepotisme yang melibatkan anak dan menantu Abdullah, maka beberapa rencana Rustam dalam buku ini merupakan dakwaan “semasa” terhadap kemungkaran yang sama yang telah dilakukan anak-anak (dan teman-teman karib) Mahathir sendiri pada zaman pemerintahannya. Jika Mahathir kini menuduh orang-orang yang mempertahankan Abdullah semata-mata sebagai “yes men”, maka rencana-rencana Rustam dalam buku ini memperlihatkan bahawa peranan yang sama pada zaman Mahathir itu telah dimainkan para menteri, para ahli perniagaan, para pentadbir, malah para ahli akademik juga.

Namun indictment (dakwaan) Rustam terhadap pemerintahan Mahathir ini tidaklah pula bermakna bahawa beliau menyebelahi Abdullah dalam konteks perbalahan yang sedang berlaku sekarang. Malah Rustam berpendapat bahawa Abdullah tidak mempunyai kekuatan politik maupun ketabahan moral untuk menyimpang, melakukan clean break, daripada kemungkaran dan kebobrokan Mahathir.

Sebagai seorang yang orientasi politiknya dipupuk dan berkembang di bawah Mahathir, Abdullah mungkin tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menyanggah kebobrokan yang diwarisinya. Sebaliknya beliau seperti sangat selesa dengan keadaan tersebut, malah menggunakan sistem operasi yang sama untuk memperkukuhkan kedudukannya sendiri. Ini sekaligus membuktikan penegasan Rustam bahawa pengunduran Mahathir bukanlah akhir perjuangan, sekali gus memberi makna kepada seruannya agar “institusi-institusi pemerintahan negara ini dibersihkan daripada segala kepincangannya, dan demokrasi yang tulen diberikan martabat kembali…”

Jika sekalipun kita bersangka baik terhadap Abdullah, bahawa beliau tidak mengingini keadaan yang buruk dan busuk ini tetapi tidak mampu mengubahnya, maka kita tidak ada pilihan selain menganggap Abdullah pengecut, dan sebenarnya seorang pemimpin lame duck yang tidak ada sebarang asas kekuatan politik. Sebagai seorang yang telah menerima mandat besar dalam pilihanraya yang lalu, citra Abdullah ini amatlah mengecewakan. Malah “mandat” itu sendiri boleh dipertikaikan, khususnya berdasarkan tunduhan tentang penipuan-penipuan yang dikatakan berlaku dalam pilihanraya umum tahun 2004.

Gambaran sahsiah Mahathir yang terjelma daripada buku Rustam ialah seorang pemimpin yang bersifat manipulatif, sanggup memperalatkan sesiapa sahaja, melakukan dan menyatakan apa sahaja demi mencapai kehendak politiknya sendiri. Bagi saya beberapa rencana dalam buku ini merupakan analisis yang amat menarik tentang sahsiah politik Mahathir dalam dua zaman: zaman kemerosotan pengaruh politiknya selepas pilihanraya umum tahun 1999 dan zaman setelah Mahathir mengumumkan tarikh pengundurannya.

Kebanyakan asas analisis Rustam dalam rencana-rencana dalam buku ini adalah peristiwa-peristiwa politik dari zaman berkenaan, khususnya ucapan-ucapan dan tindak-tanduk Mahathir dalam kerangka politik Umno. Selain itu, dianalisisnya juga hubungan Mahathir dengan beberapa “tokoh” seperti Mugabe, Castro, dan malah seorang yang cuba menonjolkan dirinya sendiri sebagai tokoh – Ibrahim Ali. Selain itu, saya dapati amat mengasyikkan juga analisis Rustam tentang pelbagai upaya Mahathir untuk terus-menerus merapati kepemimpinan PAS sejak selepas pilihanraya umum tahun 1999 – termasuklah pentas bersama yang sanggup diperkongsinya dengan PAS di Dewan Bahasa dan Pustaka dalam “memperjuangkan” nasib rakyat Palestin.

33 rencana dalam buku ini didahului dengan sebuah Kata Pengantar baru (30 halaman) yang bertajuk “Dampak Mahathir Terhadap Masa Depan Politik dan Masyarakat Malaysia”. Fokus Rustam dalam kata pengantar tersebut ialah tentang betapa mendalamnya kesan buruk zaman pemerintahan Mahathir yang telah berlangsung selama lebih dua dekad itu. Selain itu, Rustam menperincikan lagi pandangannya tentang Mahathir sebagai seorang ahli politik yang manipulatif – secara tidak langsung menyokong pandangan mereka yang menganggap perbalahan terbaru itu sebagai suatu persekongkolan untuk menjatuhkan Abdullah Badawi.

Sesuai dengan sifatnya sebagai seorang intelektual dan bekas ahli akademik, tulisan Rustam mungkin agak analitis sifatnya. Tetapi sesuai dengan sifat tulisan-tulisan itu sebagai rencana untuk akhbar semasa, analisisnya itu bagi saya tidaklah sukar difahami dan dinikmati.

1 comment:

Anonymous said...

Salam Perjuangan