Saturday, August 05, 2006

Berdialoglah al-Albar

Adapun dilaporkan bahawa Duta Israel ke Singapura mencadangkan agar dialog diadakan antara negaranya dengan Malaysia dan beberapa negara Islam lain. Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula dengan segera menolak cadangan tersebut. TV3 kemudiannya sebentar tadi melaporkan bahawa 85% responden tinjauan pendapat melalui SMS mempunyai pandangan yang sama.

Meski saya setuju bahawa Israel adalah sebuah entiti pengganas yang menindas dan menzalimi masyarakat di sekelilingnya, meski saya sedar rejim Tel Aviv sudah sedia maklum akan pendirian masyarakat dunia yang menentang kezalimannya; saya tetap berpandangan Malaysia seharusnya mengadakan dialog dengan Tel Aviv.

Di dalam keadaan dunia buntu kerana Amerika Syarikat dan Britain menyokong dan menghalalkan segala tindakan Israel, tambahan pula sistem antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu tidak dapat berfungsi kerana pendirian dua negara kuasa besar itu apakah cukup untuk negara-negara Islam hanya duduk sesama sendiri membincangkan kemusnahan dan kematian di Lubnan dan Palestin.

Saya melihat dialog dengan Israel sebagai satu ikhtiar yang seharusnya dicuba.

Ya benar! Isu yang akan timbul ialah apabila kita bertemu dan berdialog dengan wakil Israel bererti kita mengiktiraf kewujudan Israel sedangkan Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel.

Biarlah saya tamsilkan keadaan Israel ini sebagai sama dengan penjenayah yang sedang menahan tebusan. Apakah tindakan pihak berkuasa berdialog dalam usaha membebaskan tebusan dianggap mengiktiraf mereka?

Hakikatnya Israel wujud, kejahatan dan kekejamannya cukup real meski kita tidak merasakannya secara fizikal di sini. Justeru jika hanya dialog pilihan yang ada buat masa ini, apa salahnya mencuba?

Bukankah dakwah paling utama kepada mereka yang engkar? Mudah-mudahan dengan niat ikhlas kepemimpinan Malaysia dan kata-kata yang halus perutusan Malaysia akan menjadi asbab perubahan hati kepemimpinan Israel dan perubahan keadaan di Asia Barat.

Cubalah wahai al-Albar. Sampaikan dan biar ALlah menentukan.

3 comments:

Aqil Fithri said...

salaam~

dalam subjek hubungan antarabangsa, bila sesebuah negara berdialog --> ia membawa erti pengiktirafan sesama mereka. sebab itu, AS tidak pernah berdialog dengan Al-Qaeda. jadi, jika kita memikirkan dialog dengan Israel, samalah juga kita memikirkan wujudnya dialog AS dengan puak2 penganas ;-)

ahmad zaki yamani said...

Saya sambut baik kesudian saudara memberikan komen. Sesungguhnya ini akan menyumbang kepada dialog yang lebih aktif dan bermakna.

Saudara, samada diiktiraf atau tidak, sesuatu kumpulan atau negara itu telah sedia wujud.

Amerika Syarikat tidak berdialog dengan al-Qaeda kerana tidak ada wakil al-Qaeda yang sedia berdialog.

Dialog perlukan kesediaan kedua-dua (atau berapa juga) pihak yang terlibat. Samada dialog itu berjaya akhirnya atau tidak, tidak pasti.

Kerana itu Kerajaan Perikatan berdialog dengan Parti Komunis Malaya, Kerajaan Sri Lanka berdialog dengan Harimau Pembebasan Tamil Elam, Jakarta berdialog dengan Gerakan Acheh Merdeka. Senarainya boleh terus dan terus.

Mahu tidak mahu kewujudan semua kumpulan -- samada saudara gelarkan pengganas mahupun pejuang -- adalah nyata.

Dan sebagai masyarakat bertamadun, dialog adalah satu jalan penyelesaian konflik. Mungkin ada yang antara kita lebih gemar memusnahkan pihak yang satu lagi, meski dengan sekadar bercakap dan berpeluk tubuh.

Aqil Fithri said...

"dialog adalah ukaran ketamadunan, yang menyerlahkan nilai-nilai keinsanan" - Osman Bakar