Wednesday, September 27, 2006

Tarikh mati krisis gula

Akhirnya Shafie Apdal mengumumkan tarikh krisis kekurangan gula akan diatasi. Dua minggu lagi apabila bekalan gula yang diimpot dari Brazil tiba. Impot ini hanya dapat dilakukan setelah mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Krisis gula ini sebenarnya sudah menjadi mainan politik pemimpin Barisan Nasional yang benar-benar menyusahkan rakyat dan menjengkelkan.

Pada peringkat awal pemborong dan peniaga disalahkan kerana dituduh menyorok bekalan gula. Dalam sehari dua ini Shafie meminta Keretapi Tanah Melayu meningkatkan pengangkutan gula daripada kilang di Seberang Perai ke Selangor-Kuala Lumpur dan Gemas, Johor. Nampaknya masalah yang dihadapi ialah logistik.

Akhirnya pengumuman bahawa pengimpotan gula dari Brazil sahaja yang akan menyelesaikan masalah ini menunjukkan pula bahawa masalah sebenar ialah kekurangan bekalan.

Mana satu penyebab krisis ini? Apakah Shafie sebagai menteri bertanggungjawab dan Najib Razak selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Barangan Perlu tahu apa punca sebenar kekurangan gula yang sudah berlarutan lebih setengah tahun ini? Atau mungkinkah mereka melakukan apa sahaja dan mengumumkan sebarangan untuk menonjolkan bahawa mereka sedang berusaha melakukan sesuatu, sedangkan tidak tindakan yang terancang dan efektif?

Shafie juga mengumumkan rancangan untuk membekalkan gula secara khusus kepada Makro, Carrefour dan Mydin. Kenapa secara khusus kepada pasaraya besar (hypermarket) terlibat sahaja? Apa yang akan terjadi kepada peruncit dan pasaraya lain?

Adanya bekalan gula di pasaraya besar ini akan menarik pembeli ke pasaraya besar terlibat dan menjejaskan dengan teruk perniagaan peruncit dan pasaraya-pasaraya lain. Sebelum ini pembukaan pasaraya besar dihadkan kerana bimbang akan menjejaskan operasi perniagaan runcit. Tetapi apakah kini sentimen tersebut (dasar menghadkan pembukaan pasaraya besar sudah dihentikan sebelum ini) sudah ditongsampahkan dan peniaga runcit tidak dipedulikan sama sekali?


Blame game

Apakah tindakan mendedahkan bahawa pengimpotan gula hanya dapat dibuat setelah mendapat izin MITI bertujuan meletakkan kesalahan kepada MITI dan menterinya, Rafidah Aziz?

Saya kira sudah sampai masanya krisis ini diatasi dan sebarang usaha mengalihkan kesalahan (blame) kepada pihak itu dan pihak ini dihentikan. Pengumuman deadline (tarikh mati) untuk menyelesaikan krisis ini dalam tempoh dua minggu adalah sesuatu yang sangat baik.

Namun Shafie tidak mengumumkan apa yang akan terjadi jika selepas dua minggu lagi krisis ini masih menjadi masalah besar kepada rakyat. Apakah beliau bersedia meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada menteri lain yang lebih kompeten?

No comments: