Wednesday, September 27, 2006

Penswastaan selesaikan segala masalah?

Pemikiran Menteri Kesihatan, Chua Soi Lek nampaknya tersangkut di awal tahun 90an. Pada hemat beliau, apabila sesuatu perkhidmatan kerajaan menghadapi masalah, swastakan sahaja dan masalah akan selesai.

Kerana itu apabila tayar ambulan meletup, mengakibatkannya terbalik sehingga mengorbankan seorang doktor, Soi Lek terus mahu menswastakan perkhidmatan ambulan. Apakah beliau secara jujur percaya bahawa penswastaan akan meningkatkan kecekapan?

Projek-projek penswastaan yang telah berlaku seringkali menjejaskan kualiti. Tanya saja Samy Vellu mengenai jambatan retak, bangunan runtuh dan bangunan Matrade. Tentu dia boleh beri nasihat mengenai penswastaan. Ada juga projek JKR yang hanya dapat disempurnakan apabila JKR sendiri melaksanakannya, seperti Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras.

Malah penswastaan sebahagian perkhidmatan hospital selama ini mengakibatkan peningkatan kos yang ketara kepada pihak kerajaan.

Ini telah didedahkan dengan terperinci oleh YB Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Ismail di Parlimen.

Jelas yang perlu ialah menyediakan peruntukan secukupnya untuk menampung kos servis dan alat ganti. Tenaga kerja yang cekap juga perlu didapatkan. Penyelesaiannya bukan penswastaan tetapi penyediaan peruntukan secukupnya. Apabila diswastakan, kos akan meningkat dengan jauh lebih besar.

Cuma bezanya apabila berlaku kecelakaan, Soi Lek boleh menyalahkan pihak swasta yang mengendalikan perkhidmatan tersebut. Apakah Soi Lek mahu membazirkan wang rakyat semata-mata untuk 'membeli' kambing hitam?

Soi Lek benar-benar menjelaskan sikap tidak bertanggungjawab beliau apabila memberi respon awal seperti menyalahkan tindakan (Allahyarhamah) Dr. Norbaizura Yahya yang turut sama dalam ambulan yang ditimpa kemalangan tersebut.

Semalam (26 September 2006), Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Teoh Siang Chin mendedahkan ratusan pemindahan pesakit dilakukan setiap hari dan doktor perlu mengiringi pesakit. Ia perkara rutin.

Jelas Soi Lek tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di hospital-hospital di bawah seliaan kementeriannya.

Dr. Teoh membangkitkan isu yang lebih penting bagaimana doktor-doktor muda yang belum disahkan dalam jawatan tidak layak mendapat pampasan apabila berlaku kemalangan jiwa sebegini. Pengesahan jawatan boleh mengambil masa sehingga 2 tahun.

Keluarga Dr. Norbaizura setakat ini hanya menerima RM10,000 daripada MMA. Bagaimana Soi Lek bercadang untuk memelihara kebajikan pegawai di bawah seliaannya yang menghadapi risiko kerja sebegini? Swastakan sahaja?

No comments: