Entri kali ini ialah atas permintaan khusus daripada seorang teman yang menetap di Lumut. Isu yang beliau minta diketengahkan ialah mengenai mat rempit.
Saya tidak pasti sejauh mana ketengahnya sesuatu isu jika sekadar dibangkitkan di dalam blog saya yang tidak seberapa ini.
Kata teman ini, masalah lumba haram di Lumut berlaku dengan berleluasa. Tidak ada tindakan konkrit yang diambil untuk mencegahnya bagi menjaga keselamatan orang ramai.
Malah tindakan Putera UMNO yang mengadakan ekspedisi mat rempit (atau mat apa jua yang cuba dijenamakan semula) ke Lumut hanya mendatangkan masalah yang lebih kepada penduduk di sana.
Menurut beliau, tidak ada sebarang program yang jelas untuk kebaikan mereka yang menyertai ekspedisi tetapi sebaliknya ia menjadi satu program merempit besar-besaran dengan mendapat lesen besar daripada UMNO.
Pada hemat saya, pendekatan UMNO tersebut adalah untuk kepentingan parti tersebut. Anak-anak muda yang dilabelkan sebagai mat rempit ini pada umumnya tidak berminat dengan politik. Justeru mereka besar kemungkinan tidak pernah mengundi meski telah cukup umur 21, atau malah tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengundi jika mereka belum berumur 21.
UMNO cuba mendekati golongan ini sebagaimana ia sebelum ini mendekati kelompok-kelompok lain yang biasanya apolitical. Pendekatan mesra sebegini akan membina imej UMNO yang baik dan sekaligus memudahkan parti tersebut menyusun program yang paling penting: memastikan kesemua mereka yang selama ini tidak mengundi untuk membuang undi apabila tiba pilihanraya. Besar kemungkinan dengan strategi yang tersusun dan 'gula-gula' undi itu akan pergi kepada UMNO.
Jika parti lain menzahirkan pandangan yang cuba berlainan, yang cuba membawa perubahan dan memberi manfaat kepada anak-anak muda tersebut, ia akan digambarkan sebagai pendekatan tidak mesra terhadap 'mat rempit'. Ini sudah tentu baik bagi UMNO.
Hanya satu yang penting kepada UMNO: KUASA. Biar negara porak peranda, anak-anak muda musnah masa depannya, asalkan mereka dapat terus meraih undi dan memegang kuasa.
Jika UMNO-BN serius untuk memperbaiki keadaan, sudah tentu mereka yang memegang tampuk kuasa melaksanakan sesuatu yang lebih konkrit dan serius.
Saya yakin mereka telah mengambil perkiraan bahawa kemarahan penduduk Lumut 'tidak apa' jika dibandingkan dengan keuntungan yang akan mereka perolehi. Atau apakah mungkin mereka yang menganjurkan program ini sengaja mahu penduduk Lumut marah?
Kasihan orang UMNO di Lumut!
Tuesday, September 12, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment