Monday, September 04, 2006

Mujur Abdullah beri

Malam tadi (3 September 2006) saya makan malam bersama dua teman. Seorang daripadanya mempunyai Ijazah Sarjana daripada Universiti Malaya, dalam bidang Ekonomi. Sambil makan, seperti lazim, kami bersembang dan antara topik menarik yang timbul ialah mengenai Belanjawan 2007.

Teman yang mempunyai Ijazah Sarjana ini mengeluarkan kenyataan yang sangat menarik. Beliau memuji langkah Abdullah memberikan bonus dua bulan gaji kepada kakitangan sektor awam. Saya sememang tidak mempunyai masalah dengan pemberian bonus ini. Ia adalah salah satu bentuk pembahagian semula kekayaan negara, khususnya daripada keuntungan luar biasa yang diraih Petronas daripada kenaikan harga petrol di pasaran dunia.

Rakyat selaku pemegang ekuiti dalam negara ini sudah tentu berhak menerima dividen apabila untung besar diperolehi. Malang dividen itu hanya diberikan kepada kakitangan sektor awam. Bagaimana dengan kakitangan swasta dan mereka yang tidak bekerja. Mereka juga rakyat Malaysia, mereka juga memegang ekuiti dalam negara ini. Apakah mereka tidak layak menerima sebahagian daripada keuntungan besar yang diraih?

Bagaimana dengan pesara kerajaan? Saya mempersoalkan kenapa mereka hanya dibayar antara RM200 - RM400?

Dengan pantas teman saya yang mempunyai ijazah sarjana di dalam bidang ekonomi menjawab: Mujur Dollah bagi.

Hampir saya melompat mendengarnya. Harta yang dibahagi-bahagikan melalui Belanjawan adalah milik negara, adalah hak rakyat. Kerajaan ini hanya sekadar menguruskannya. Jika hujahan beliau adalah negara tidak mampu memberikan bonus kepada pesara, saya boleh terima.

Tetapi alasan yang diberikan seolah-olah menunjukkan bahawa kita, rakyat, hanya boleh mengharap dan menerima dengan diam apa sahaja cebisan yang dicampakkan oleh Menteri Kewangan melalui Belanjawan. Dan ini datangnya daripada seorang terpelajar yang mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi.

Saya sedih!

Rakyat seharusnya disedarkan mengenai siapakah pemegang ekuiti negara ini (yakni rakyat) dan fungsi Perdana Menteri dan kerajaan hanya sebagai Ahli Lembaga Pengarah yang mengendalikan perjalanan negara ini. Justeru rakyat perlu bersedia memecat Lembaga Pengarah yang tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai utama di dalam Mesyuarat Agung yang akan datang (yakni pilihanraya). Saya yakin para pesara sewajarnya mempunyai hasrat untuk melakukannya. Itupun jika mereka percaya harta negara ini milik mereka dan bukan milik Abdullah.

Jika tidak mereka akan sekadar berkata: Mujur Abdullah beri.

1 comment:

Anonymous said...

and this is from a blog that said a survey of 60 samples is bias and unruly.