Friday, September 08, 2006
Tahniah Musa dan harapan untuk PDRM
Pertama-tama izinkan saya mengucapkan tahniah kepada Musa Hassan kerana akan dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru.
Berikutan itu tidak pelik televisyen hari ini (7 September 2006) di dalam siaran berita utama menyiarkan banyak berita berkenaan Musa. Permulaannya sudah tentu pelancaran kiosk untuk menghubungi polis dengan mudah apabila berlaku kejadian ragut. Tidak perlu menghafal atau mendail apa-apa nombor. Cuma pergi ke kiosk tersebut dan anda akan disambungkan kepada pihak polis. Bantuan dijanjikan akan segera tiba.
Saya konsisten dalam menyambut baik sebarang usaha untuk mencegah jenayah. Cuma saya tertarik untuk mengetahui berapa kos untuk menyediakan kiosk tersebut (3 setakat ini).
Kehadiran kiosk sama sekali tidak akan dapat menggantikan keberkesanan kehadiran polis secara fizikal di sesuatu kawasan. Kehadiran anggota polis yang terlatih menangani penjenayah akan meghadirkan rasa takut di dalam hati mereka yang berhasrat melakukan jenayah. Lantas jenayah akan dapat dicegah.
Sekadar memudahkan laporan dibuat tidak akan memberi makna apabila pihak polis tidak dapat mendakwa mereka yang ditahan kerana ketiadaan bahan bukti dan saksi. Lebih malang jika suspek tidak dapat dicari sekalipun.
Justeru yang utama ialah mencegah jenayah daripada berlaku, bukan menangkap penjenayah.
Saya yakin Musa sedia maklum perkara ini.
Musa dan Mat Rempit Melayu
Bakal Ketua Polis Negara juga memberitahu bahawa majoriti mat rempit adalah golongan muda Melayu.
Apakah ada di antara kita tidak tahu mengenai perkara tersebut? Kita tidak perlu diberitahu perkara yang sudah kita sedia maklum. Kita juga maklum bahawa majoriti penagih dadah adalah Melayu. Kita tahu dan kita maklum. Terima kasih Musa kerana berulang kali memberitahu.
Yang kita mahu, yang kita harapkan daripada pihak polis ialah strategi untuk mengatasi masalah ini. Bentangkan segera dan jangan hanya memberitahu ia sukar dilakukan. Saya fikir jika kerja itu senang, tidak perlu kita membayar gaji puluhan ribu ringgit. Biar saya sahaja menjadi Ketua Polis Negara. Tetapi saya sedar, saya tidak layak.
Sekadar untuk memberitahu sesuatu perkara yang sudah kita tahu berulang-ulang kali, bela saja burung kakak tua. Kos memeliharanya sudah pasti lebih rendah daripada membayar gaji pegawai yang begitu hebat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment