Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) ditubuhkan sebagai salah satu usaha memperkasa penglibatan bumiputra dalam ekonomi Malaysia. Namun bank itu juga yang menjadi sasaran pemimpin-pemimpin UMNO untuk memperkayakan diri mereka.
Skandal demi skandal melanda bank tersebut. Bukan sahaja perompakan di siang hari, malah pernah sehingga melibatkan korban nyawa. Banyak kali juga BBMB diselamatkan oleh negara, melalui pelbagai cara dan acara.
Apabila diambilalih oleh Commerce Bank ia dipisahkan menjadi Bank Muamalat (mengambil sektor perbankan Islam dan Ibu Pejabat BBMB di Jalan Melaka) dan sebahagian yang lain dinamakan Bumiputra Commerce Bank (BCB). Meski berlaku perubahan besar dan kehilangan bangunan BBMB yang menjadi ikon yang menyaksikan jatuh bangun ramai usahawan Bumiputra, namanya Bumiputra pada bank tersebut tetap kekal.
Namun 7 September 2006 menyaksikan nama Bumiputra dalam sistem perbankan negara benar-benar menemui penghujungnya. Ia ditukar nama kepada CIMB Bank. Suatu nama yang pada hemat saya tidak ada sebarang roh dan makna.
Lebih malang perubahan paling besar ini digerakkan oleh Dato' Nazir Razak, anak kepada Perdana Menteri Kedua kita. Mungkin beliau tidak berkongsi emosi yang sama kuat terhadap konsep Bumiputra itu sendiri.
Saya sendiri tidak berniat menjadi romantic fool dalam soal ini. Namun saya percaya adalah penting untuk Bumiputra Malaysia mempunyai sebuah bank yang khusus memberi perhatian kepada keperluan dan kepentingan Bumiputra. Selain itu, bank ini akan dapat memberi peluang pekerjaan dan membantu membangunkan mereka.
Mungkin ini yang perlu lebih diperjuangkan oleh UMNO daripada berbalah mengenai pembahagian jawatan di agensi-agensi kerajaan.
Sunday, September 10, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment