Beberapa hari lalu, media massa melaporkan mengenai bantahan pengusaha-pengusaha teksi terhadap tindakan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang membatalkan permit teksi yang mana pemandunya didapati melakukan kesalahan.
Hujahan mereka benar. Permit adalah dimiliki oleh syarikat. Justeru kenapa syarikat yang terpaksa menerima akibat daripada kesalahan yang dilakukan oleh pemandu. Ini akan menjejaskan syarikat dan pemandu-pemandu lain di syarikat tersebut.
Bagaimanapun saya sejak sekian lama percaya, permit-permit teksi tidak seharusnya diberikan kepada syarikat. Ia perlu diberikan terus kepada pemandu. Jika ini dilakukan, sebarang kesalahan yang sangat serius dilakukan oleh pemandu sesuai dihukum (atau dihalang daripada berulang sebenarnya) dengan menarik balik permit.
Pemberian permit kepada syarikat adalah semata-mata untuk memberikan keuntungan atas angin kepada pengusaha-pengusaha syarikat tersebut. Malah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sering menggunakan saluran ini untuk mengaut kekayaan. (Ingat kes Saujana Teksi?)
Syarikat yang memperolehi permit-permit teksi, membuat keuntungan besar dengan hanya mengeluarkan modal minima.
Untuk memberikan gambaran keuntungan atas angin yang diraih:
Sebuah syarikat yang memperolehi permit membeli teksi melalui pinjaman bank dan membayar RM 400.00 sebulan (andaian yang tinggi). Teksi tersebut kemudiannya disewakan kepada pemandu pada harga RM40.00 sehari. Maka dalam sebulan sewa yang dikutip ialah RM1,200.00 atau keuntungan RM800.00 setiap teksi, setiap bulan.
Bayangkan jika syarikat tersebut memiliki 100 permit. Untung yang diperolehi ialah RM80,000.00 sebulan. Ditolak kos pengurusan (sebuah pejabat dan beberapa kakitangan) sebanyak RM10,000.00 sebulan, maka keuntungan bersih ialah RM80 ribu sebulan. Bayangkan jika mereka memiliki ratusan permit.
Apa modal dan kepakaran mereka? Sebarang kerosakan pada teksi biasanya ditanggung oleh pemandu. Sewa dikutip secara tunai setiap hari dan hanya cuti beberapa hari setahun diberikan. Apabila pemandu sakit dan tidak dapat memandu (menarik, kata pemandu teksi) sewa tetap mesti dibayar.
Kenapa tidak permit diberikan terus kepada pemandu? Mereka akan memperolehi sekurang-kurangnya RM800.00 pendapatan tambahan sebulan. Ini sudah tentu akan meningkatkan taraf hidup mereka atau penjimatan ini boleh dikembalikan kepada pengguna dengan penurunan caj sewaan.
Dengan permit individu, sudah tentu selayaknya mereka yang melanggar peraturan dilucutkan permitnya.
Kepada pengusaha syarikat teksi yang ada: Carilah perniagaan yang betul-betul menggunakan kepakaran dan modal. Cukuplah berniaga atas angin dan makan atas pemandu teksi yang rata-rata bukanlah orang kaya.
Wednesday, September 06, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment