Tuesday, September 12, 2006

BA perlukan lebih ramai Mustafa Ali


Saya membaca Harakahdaily 11 September 2006 dengan begitu senang hati. Setelah lama teman-teman PAS mabuk asmara dengan telatah Mahathir, akhirnya ada suara bijaksana yang memanggil pendukung dan seluruh kita penggerak Barisan Alternatif untuk kembali kepada dunia nyata.

Suara itu ialah suara Mustafa Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat. Beliau adalah seorang yang mempunyai pengalaman politik yang sangat panjang. Malah beliau boleh dianggap sebagai salah seorang yang paling politically savvy di kalangan pemimpin Barisan Alternatif.

Tatkala kebanyakan yang lain baru berjinak dengan politik atau malah seperti saya yang belum pun melihat cahaya dunia, Mustafa telah menjadi seorang Timbalan Menteri di dalam Kabinet Perpaduan Barisan Nasional.

Secara peribadi saya memang menghormati kebijaksanaan beliau. Saya pernah beberapa kali menghadiri mesyuarat pre council BA bagi pihak YB Permatang Pauh ketika Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Ketua Pembangkang. Seringkali cadangan terakhir yang diangkat menjadi keputusan mesyuarat ialah cadangan Mustafa.

Kebijaksanaan Mustafa terserlah di dalam ucapannya di Tasek Gelugor itu. Beliau menyebutkan dengan jelas bagaimana tindakan-tindakan Mahathir dilihat memberi manfaat kepada PAS di Kelantan. Namun beliau tegas mengingatkan agar tumpuan lebih diberikan kepada mempersiapkan jentera pilihanraya.

Kata beliau, "Ingat! Persengketaan Umno akan hilang bila tiba pilihan raya. Mereka sanggup duduk semeja untuk berhadapan dengan kita. Tugas kita mesti kemaskan yang mana belum diberikan perhatian."

Saya sendiri sebelum ini (UMNO, pilihanraya dan si pandai) menyatakan bahawa pilihanraya sentiasa mampu menjadi faktor pemersatu kepada UMNO.
Justeru BA perlu melakukan persiapan serapi mungkin. Ya! Memang betapa diusahakan sekalipun ia tidak akan sempurna. Namun bukankah tugas kita hanya berusaha sebaik mungkin?

Jika kita lalai dalam hal ini dan hanya mengharapkan kelemahan BN, sampai bila sekalipun kita tidak akan menang. Kerana perjuangan mereka berpaksikan kuasa, maka mereka tidak akan membiarkan apa sekalipun, hatta konflik peribadi, untuk menjejaskan cengkaman mereka terhadap kuasa.

Begitu juga mengharapkan kepada SPR untuk berubah dan melaksanakan pilihanraya yang bebas dan adil bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba. BN tidak akan membiarkan mereka kerana pemimpin BN tahu jika pilihanraya adil dan bebas, mereka sudah lama 'tapau'.

Untuk menang kita mesti mendapatkan sokongan rakyat yang cukup besar untuk mengatasi segala penipuan dan taktik kotor BN. Namun sebelum rakyat yang masih tidak pasti membuat keputusan, mereka akan berulangkali bertanya apakah BA mampu memerintah negara dengan lebih baik.

Jika kepemimpinan BA dibarisi oleh lebih ramai yang mempunyai kualiti Mustafa Ali, memang kita mampu. Tetapi jika kita ada ramai Mustafa Ali, sudah lama kita menang.

Tetapi hakikatnya masih ramai pemimpin BA yang tidak tahu hujung pangkal politik, apatah lagi skil memerintah. Hanya dua pilihan jalan keluar: 1) Persiapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan; atau 2) Gantikan mereka dengan pemimpin yang lebih berwibawa.

2 comments:

Aqil Fithri said...

salaam~

memang, mustafa ali merupakan pengamal "politik tinggi" --> sebaris dengan Almarhum Ustaz Fadzil dan Ustaz Abdul Halim. ini hakikat yang jangan dinafikan!

sebelum ini, mereka bertigalah yang menjadi kuasa veto dalam PAS ketika masing2 dalam Lujnah Politik. dan, ketika itu, serba-serbi orientasi PAS ditentukan oleh mereka bertiga!

namun begitu, tidak semestinya "politik tinggi" itu politik murni dan politik mulia. malah, pada keadaan2 tertentu "pAolitik tinggi" akan berdada dengan keadilan Ilahi.

jadi, di mana pilihan kita?

ahmad zaki yamani said...

Yang saya tonjolkan di sini ialah kemampuan dan keupayaan. Bukankah cemerlang itu sifat Islam?

Namun tidak saya katakan kecemerlangan mengatasi segala-galanya.

Tetapi apakah seorang yang lemah dan tidak kompoten mempunyai sebarang makna dalam perjuangan?