Monday, October 02, 2006

Riuh rendah menjelang raya

The Star 2 Oktober 2006 melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Musa Hassan mengumumkan cadangan untuk menurunkan had laju di jalan-jalan persekutuan apabila orang ramai balik kampung dan kembali ke bandar sempena sambutan Aidilfitri dan Deepavali akan datang.

Setiap kali menjelang musim perayaan, akan ada pelbagai syor baru yang semuanya disandarkan kepada keinginan untuk cuba mengurangkan kadar kemalangan jalanraya.

Sudah semestinya usaha mengurangkan kemalangan, kecederaan dan kematian akibat kemalangan adalah sesuatu yang sangat mulia. Namun kadangkala cadangan yang diberikan adalah sama sekali tidak munasabah dan menjadi lelucon semata-mata.

Laporan yang sama memetik Lee Lam Thye sebagai tidak bersetuju dengan cadangan Musa. Alasannya, seperti yang mampu difikirkan oleh sesiapa juga yang memandu, apabila kenderaan dipandu perlahan dalam keadaan jutaan kenderaan berada di atas jalanraya sudah tentu akan mengakibatkan kemalangan.

Pada hemat saya, cadangan Musa ini boleh disalah anggap sebagai percubaan polis untuk mengaut lebih banyak wang hasil daripada saman yang akan dikeluarkan. Sudah tentu apabila lebih rendah had laju, lebih ramai yang akan dikenakan saman.

Saya tidak menuduh, tetapi ini boleh disalah anggap oleh orang ramai.

Pendekatan polis menyaman pemandu yang membawa laju juga sebenarnya tidak memberi sebarang kesan ke arah mengurangkan berlakunya kemalangan, tambahan pula jika polis menggunakan kamera perangkap had laju. Di dalam keadaan tertekan untuk segera sampai, sesetengah pemandu akan tidak mempedulikan ancaman perangkap had laju dan bersedia membayar saman yang akan dikenakan.

Polis perlu mencari jalan selamat untuk menghentikan pemandu yang memandu secara berbahaya dan menghalang dia daripada terus memandu. Seperti yang dikatakan oleh Lam Thye, yang penting ialah untuk pemandu cermat semasa memandu bukan semata-mata memandu perlahan.


Kereta terlalu banyak untuk jalan yang sempit

Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah pembangunan system lebuhraya dan jalanraya di Malaysia tidak selari dengan pertambahan kenderaan persendirian. Projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan menjadi tiga lorong dari Rawang ke utara misalnya masih tidak menunjukkan sebarang tanda akan dapat disiapkan segera.

Plaza tol juga menjadi satu penyebab utama kesesakan dan kelewatan perjalanan. Sistem kutipan tol yang lebih pantas perlu segera diadakan. Kawasan-kawasan seperti Sungai Besi-Jalan Duta, Ipoh Selatan-Jelapang, Juru-Sungai Dua di mana pemandu terpaksa melalui plaza tol sekalipun mahu meneruskan perjalanan perlu dipinda sistemnya agar pemandu boleh memandu terus tanpa perlu melalui begitu banyak plaza tol. Ini akan mengurangkan kesesakan.

Orang ramai juga perlu diberi insentif untuk menggunakan Touch n Go dan SmarTag. Seharusnya diskaun boleh diberikan kerana ia adalah sistem prabayar dan wang yang dikutip terlebih awal boleh digunakan oleh penyedia perkhidmatan untuk mendapatkan keuntungan. Ia seperti pengguna menyimpan wang dengan penyedia perkhidmatan Touch n Go. Tidakkah mereka layak menerima keuntungan daripadanya?

Jalanraya di Malaysia masih mempunyai banyak kawasan berbahaya dengan selekoh tajam atau terlindung. Ini yang harus diatasi.

Untuk jangka pendek, perkhidmatan bas, rel dan penerbangan tambang rendah perlu ditingkatkan untuk menampung jutaan rakyat yang akan balik kampung. Orang ramai perlu diyakinkan bahawa menggunakan pengangkutan awam adalah pilihan yang lebih selamat dan selesa.

Namun keyakinan ini ternyata akan sukar disemai apabila syarikat kereta nasional sendiri, Proton mengadakan kempen memburuk-burukkan (smear campaign) perkhidmatan pengangkutan awam menjelang musim perayaan.

Saya kira ini adalah satu taktik tidak bertanggungjawab semata-mata untuk meningkatkan jualan mereka. Pada hemat saya, bentuk kempen yang lain boleh difikirkan.

3 comments:

Anonymous said...

Apapun alasan yang diutarakan, usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalanraya adalah satu usaha yang murni...tak perlu digembar-gemburkan...

Anonymous said...

suadara zaki,
walaupun pada dasarnya saudara agak ralat untuk bersetuju dengan apa yang diusulkan...tetapi saya pasti usaha sebegini TAK ADA UDANG DISEBALIK BATU...diharap saudara berhati-hati di jalan raya...

Anonymous said...

Memang tidak dapat dinafikan bahawa usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalanraya adalah satu usaha yang murni.Namun begitu masalah ini hanya akan dapat diselesaikan jika ada kesedaran daripada pengguna-pengguna jalanraya betapa pentingnya memandu dengan berhemat.