Saturday, October 14, 2006

Kerangka pemikiran polis yang terperangkap

Saya menonton berita televisyen 13 Oktober 2006. Ketua Trafik Persekutuan mengumumkan mengenai amaran kepada Mat Rempit. Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang berlumba haram.

Syabas! Memang sepatutnya tindakan diambil. Tetapi malang, beliau mengumumkan tindakan tegas itu hanya akan diambil selepas musim perayaan.

Justeru sementara itu, saya kira Mat dan Minah Rempit perlu mengambil peluang seluas-luasnya sepanjang bulan Ramadhan ini.

Seharusnya tindakan proaktif dan progresif (bukanlah pula seperti pesta rempit anjuran Putera UMNO) perlu diambil pihak polis untuk mencegah lumba haram.

Kegiatan itu bukan lagi sekadar menjadi gangguan malah sudah menjadi ancaman kepada keselamatan pengguna jalanraya. Pihak polis perlu memberi perhatian segera untuk menjamin keselamatan pengguna jalanraya.

Ancaman-ancaman bertempoh seperti ini tidak ada gunanya selain daripada PR exercise untuk meredakan kemarahan orang ramai untuk sementara waktu.


Tiada lagi pondok trafik semasa OPS Sikap
Pada majlis yang sama, beliau juga mengumumkan bahawa amalan mewujudkan pondok polis trafik di lebuhraya dan jalan-jalan utama sepanjang OPS Sikap tidak akan diteruskan tahun ini.

Katanya, ini adalah untuk mengelakkan sikap hipokrit pemandu yang hanya memperlahankan kenderaan apabila melihat pondok-pondok tersebut.

Pada hemat saya, pemikiran beliau adalah terperangkap dengan kerangka pemikiran perangkap had laju. Beliau mahu memerangkap pemandu yang memandu melebihi had.

Namun pada saya, adalah lebih utama untuk mencegah mereka daripada memandu laju atau lebih tepat secara berbahaya, khususnya di kawasan-kawasan yang tinggi risiko kemalangan. Justeru apabila ada pondok polis di kawasan-kawasan berbahaya ini, mereka akan memandu secara tertib. Bukankah itu baik untuk mengelakkan kemalangan?

Saya kira polis perlu mengenepikan nafsu untuk menangkap dan mengeluarkan saman terhadap pemandu. Elakkan kemalangan dan bukan hanya mengumumkan, "pemandu tersebut telah disaman sebelum ini." Tidak ada guna saman itu jika pemandu terlibat sudah tidak bernyawa lagi. Lebih malang jika orang yang tidak bersalah juga menjadi mangsa kemalangan tersebut.

1 comment:

Anonymous said...

"Lebih malang jika orang yang tidak bersalah juga menjadi mangsa"- Teringat saya tentang kejadian yang menimpa adik Muhammad Aufal Khallah Mohd Saberi,kanak-kanak yang berusia 3 tahun yang terkorban di rempuh 'mat rempit' di Jalan Sultan berhampiran Masjid Muhammadi,Kota Bharu.