Wednesday, January 03, 2007

Tekad baru rakyat Malaysia

Saya berhasrat menulis entri ini menjelang tahun baru 2007, namun memandangkan sambungan internet masih kurang baik dan tidak boleh begitu diharapkan, saya menagguhkannya. Tambahan pula pada malam menjelang tahun baru saya berada di rumah saudara Rustam A. Sani, untuk meraikan hari raya Aidil Adha dan melihat pertunjukan bunga api di tengah kota Kuala Lumpur.

Rumah Rustam terletak di Bukit Lela, Gombak dan dari sana dapat dilihat dengan jelas panorama Kuala Lumpur. Tambahan pula makanan yang disediakan sedap-sedap belaka. Terima kasih kepada Rustam dan Rohani sekeluarga.

Pelbagai perkara yang berlaku sepanjang 2006 kami bualkan pada malam itu. Saya kira kurang lebih sama sahaja dengan imbauan orang lain mengenai peristiwa dan perkembangan yang menarik sepanjang tahun 2006.

Justeru melalui entri ini saya ingin mengajak diri saya sendiri dan semua yang sudi membacanya agar membulatkan satu tekad bersama untuk melakukan perubahan, menzahirkan reformasi di negara kita ini.

Saya kira apa yang ingin kita capai, kita sudah sedia maklum. Jika tidak, lawati semula Deklarasi Permatang Pauh.

Namun bagaimana kita dapat memusatkan tenaga rakyat untuk menjadikan keinginan kita ini satu realiti. Saya kira wahana dan caranya begitu pelbagai. Cuma yang perlu kita lakukan ialah menyelaraskan, mengadakan kordinasi antara semua tenaga ini.

Pertama-tama saya melihat keperluan untuk satu jawatankuasa media bersama seperti yang wujud ketika awal Reformasi dulu. Jawatankuasa ini perlu menyelaraskan pendekatan kita terhadap isu-isu dan bagaimana tingkah laku kita dengan media massa. Juga perlu diberi perhatian ialah untuk merangkaikan dengan berkesan semua laman web dan blog yang pro-rakyat. Mungkin boleh diadakan satu indeks yang menyenaraikan kesemuanya bagi memudahkan pengunjung merujuknya (Tetapi tolonglah! Jangan pula laman seperti umno reform dimasukkan sekali).

Perkara-perkara seterusnya di lain waktu sahaja saya bicarakan. Pohon idea dan pandangan teman untuk mengembangkan strategi menyelaraskan tenaga pro-rakyat ini.

3 comments:

Anonymous said...

kumpulan sasar:

middle income, urban <--- laman web, blog, media

orang kampung, rural <--- ????

ahmad zaki yamani said...

Saya akui untuk khalayak di luar bandar lebih sukar untuk menyampaikan maklumat. Di pihak keADILan Selangor, kami sedang berusaha menerbitkan risalah PERCUMA untuk diedarkan.

Namun atas sifatnya PERCUMA itu, saya nantikan kesukaran yang akan dihadapi. Selain biaya untuk menerbitkannya, saya kira soal jentera pengedarannya juga akan menjadi isu penting.

Tetapi seorang teman berkata, "kalau risalah percuma korang tak mampu edar, jangan harap korang nak perintah Malaysia".

Saya gusar mendengarnya.

Wizzerd said...

Saudara Ahmad Zaki
Tidak perlu gusar.
Kemampuan untuk mengedarkan risalah percuma dan kemampuan untuk memerintah adalah dua isu yang berbeza.