Thursday, January 11, 2007

BOIKOT!

Malam tadi (10 Januari 2006) saya berada di Batu Talam untuk pengisytiharan bahawa Barisan Alternatif sepakat untuk tidak meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Batu Talam nanti.

Keputusan ini bukan mencerminkan tindakan memboikot pilihanraya dan sistem demokrasi. Cuma yang ditolak dan diboikot ialah pelaksanaan pilihanraya yang kotor dan dipenuhi penipuan.

Ia keputusan berprinsip menolak kepincangan dan penipuan di dalam pengendalian pilihanraya di Malaysia. Ia sebagai mempertahankan hak dan maruah rakyat Malaysia yang tidak mahu lagi diperdaya dan dinafikan pilihan mereka pada hari mengundi.

Keberanian yang ditunjukkan ini telah membawa politik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dengan mengutamakan prinsip mengatasi kepentingan jangka pendek.

BA mengambil keputusan memboikot pilihanraya ini di kala populariti rejim Abdullah Badawi berada pada tahap yang paling rendah. Barisan Nasional sekarang dilanda pelbagai pendedahan skandal rasuah, pembunuhan, pembelian bot mewah dan perbalahan dalaman di setiap peringkat, termasuk yang melibatkan UMNO Raub sendiri. Malah pelbagai keputusan rejim Abdullah yang menekan dan anti-rakyat seperti kenaikan harga petrol, kadar tol dan kos sara hidup yang semakin menyempitkan kehidupan rakyat semakin menambahkan kemarahan rakyat.

Ini sebenarnya adalah akibat daripada kepemimpinan lemah dan tidak berkesan Abdullah sendiri. Malah beliau dilihat tidak peduli dengan kesengsaraan hidup rakyat apabila memilih untuk meneruskan percutian di negara asing tatkala negara menghadapi bencana.

Meskipun populariti parti-parti alternatif yang bersih dan pro-rakyat semakin meningkat berbanding BN, kedua-dua parti – PAS dan keADILan mencapai persetujuan bersama kerana berpegang kepada prinsip menolak pilihanraya yang korup dan menipu rakyat.

Bagaimanapun boikot ini menafikan peluang untuk mengukur impak faktor Abdullah dan segala masalah yang menyelubungi pemimpin BN khususnya Najib Razak terhadap populariti BN dan penerimaan rakyat terhadapnya.

Justeru apakah ada kemungkinan BN akan memastikan ada calon bebas untuk membolehkan pilihanraya tetap diadakan? Ini bukan sesuatu yang sukar jika mengambilkira kemampuan kewangan BN. Jika undi yang diterima BN kekal atau meningkat, mereka akan boleh mendabik dada bahawa rakyat tetap menerima mereka. Yang tidak keluar mengundi hanya pengundi BA. Ini perlu kita perhatikan nanti.


Fron Sosialis dan boikot pilihanraya

Boikot ini sama sekali berbeza dengan tindakan Fron Sosialis untuk memboikot Pilihanraya Umum dulu. Bezanya kerana Fron Sosialis tidak mempunyai pilihan selain melancarkan boikot apabila begitu ramai pemimpin-pemimpinnya telah ditangkap tanpa bicara oleh pemerintah.

Tetapi BA pada hari ini bertekad melancarkan boikot dalam keadaan kekuatannya dan penerimaan rakyat terhadapnya sedang meningkat.

Politik prinsip seperti ini akan membawa perubahan yang jelas di dalam senario politik negara ini. Justeru kita perlu memberikan komitmen padu untuk membawa mesej menuntut pilihanraya yang benar-benar bebas dan bersih kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh pelusuk tanahair.

Rakyat tidak lagi boleh membiarkan mereka ditipu di peti undi dan pilihan mereka dinafikan, kerana itu ini adalah permulaan tindakan tegas rakyat menentangnya.


Tindakan susulan

Cuma kini kita perlu perhatikan dan usahakan tindakan susulan. BA dan NGO perlu aktif menghebahkan rasional tindakan ini kepada rakyat di seluruh pelusuk negara. Kita perlu gerakkan rakyat untuk memahami, menerima dan melaksanakan politik era baru ini.

Pada masa yang sama kita perlu perhatikan tindakan balas BN. Apakah mereka mempunyai keyakinan untuk menghadapi pilihanraya yang benar-benar bersih dan adil?

Jika ya, mereka perlu sama-sama berusaha membersihkan sistem dan proses pilihanraya di Malaysia yang dipenuhi masalah dan kepincangan, termasuk yang disebutkan oleh Pengerusi SPR sendiri.

No comments: