Saya menonton televisyen malam tadi. Saya sememangnya jarang menonton televisyen sekarang. Saya melihat iklan Just Do It! oleh Nike yang memaparkan mengenai sekumpulan anak muda bermain bolasepak tidak mengira masa. Di dalam hujan tanpa mempedulikan ibunya yang memanggil dari kereta, di dalam pasaraya ketika bekerja tanpa peduli kepada penyelianya dan di gelanggang di tengah-tengah rumah pangsa pada malam hari tanpa peduli kepada jiran-jirannya yang membantah kerana bising.
Apakah yang cuba disemai ke dalam jiwa generasi muda kita?
Buat apa sahaja tanpa peduli pandangan masyarakat? Buat apa sahaja tanpa mengambil kisah masyarakat sekeliling?
Akhirnya memang ia memaparkan mengenai pemain bolasepak Malaysia yang tidak gentar kepada asakan pemain lawan (orang putih). Tetapi itu di dalam perlawanan. Memang sepatutnya bermain bersifat cekal dan kompetitif.
Saya kira iklan Nike ini sekadar menyemai sikap anti-sosial dan anti-masyarakat. Benar, ia mungkin sudah banyak berlaku di dalam masyarakat. Tetapi saya kira remaja sekarang bermain bolasepak di gelanggang simen, di malam hari lebih kerana tidak ada pilihan lain.
Tetapi iklan ini mengajar mereka bahawa berlaku kurang ajar dan tidak peduli kepada ibu, jiran dan penyelia kerja adalah cool. Just Do It! tanpa peduli.
Apakah sikap ini yang kita mahu wujud di dalam masyarakat kita?
Tuesday, January 09, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment