Saturday, January 13, 2007

Pengurusan bencana yang compang-camping dan Kabinet tempang

Saya seperti seluruh rakyat negara ini simpati dengan keadaan yang dihadapi penduduk Johor apabila sekali lagi dilanda banjir. Parti Keadilan Rakyat seperti biasa sudah pasti akan menyalurkan bantuan semampu mungkin.

Namun pengurusan bencana alam kali ini adalah sangat lemah dan compang-camping. Saya masih ingat dulu wujud Jawatankuasa Bencara Alam Kebangsaan dan bilik-bilik gerakan yang bersiap sedia setiap kali menjelang hujung tahun khusus untuk menghadapi ancaman banjir.

Lazimnya dahulu Mohamed Rahmat, Menteri Penerangan menjadi Pengerusi Jawatankuasa ini. Tetapi kali ini kita lihat kerajaan tidak peduli. Perdana Menteri terus berada di luar negara sepanjang bencana, termasuk banjir kali kedua ini. Mungkin Abdullah terlupa bahawa dia kini Perdana Menteri dan bukan lagi Menteri Luar. Mungkin juga Abdullah tidak sabar-sabar untuk ke luar negara lagi melawat bot layar mewah setelah berehat di Bordum tatkala musim sejuk. Kata Anwar Ibrahim tidak ada orang bercuti ke Bordum yang sangat sejuk ketika musim sejuk.

Pengendalian oleh Najib Razak juga nampaknya tidak berkesan. Mungkin kerana beliau terlalu sibuk memikirkan nasib pegawai-pegawai polis UTK yang pernah mengawal keselamatan beliau tetapi kini menghadapi tuduhan membunuh.

Zainudin Maidin pula meskipun adalah Menteri Penerangan tidak dilantik mengendalikan bencana ini. Ia mencerminkan tahap kepercayaan Kabinet yang sangat rendah terhadap beliau.

Hanya Shahrizat Jalil yang bersungguh-sungguh di Johor. Shahrizat telah sangat banyak belajar meskipun ketika saya hadir dalam dialog mahasiswa dengan beliau menjelang Pilihanraya Umum 1999, beliau tidak tahu menahu mengenai penduduk termiskin di dalam kawasan Parlimen beliau, Lembah Pantai. Mungkin ketika itu dia belum menjadi menteri, sekadar Setiausaha Parlimen.

Namun beliau terus-terusan merayu NGO dan orang ramai untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa. Mungkin beliau mahu memberi peluang kepada rakyat membuat amal. Tetapi persoalannya apakah kerajaan tidak punya kemampuan untuk membantu mangsa? Ke mana pergi segala wang dan peruntukan. Saya kira jentera kerajaan perlu memainkan peranan utama dengan NGO dan orang awam hanya memainkan peranan sokongan, khususnya di dalam mengenalpasti dan menangani kes-kes terpencil.

Pada hemat saya semua ini mencerminkan tahap kecekapan Kabinet Malaysia. Mereka sama sekali tidak kompeten. Mungkin Mohamed Rahmat perlu mengendalikan kelas untuk menteri-menteri ini. Cuma jangan pula diajar benda-benda 'lain' yang nakal.

Oh Malaysiaku!

1 comment:

Anonymous said...

kan Pak Lah dah suruh Syed Hamid balik tengok banjir, sebab Syed Hamid orang Johor. Kalau banjir kat Kepala Batas baru la Pak Lah balik.