Banjir sering kita anggap sebagai bencana. Tetapi barang perlu diingat, hakikatnya banjir ialah Sunnatullah yang merupakan komponen penting sistem alam kita. Di sesetengah tempat, banjir dilihat sebagai rahmat kerana ia menyuburkan lembangan sungai untuk pertanian. Namun manusia seringkali percaya bahawa ia mampu melakukan apa sahaja.
Justeru kebijaksanaan umum agar rumah tidak dibina di lembah banjir diketepikan. Maka pihak berkuasa memberikan kebenaran untuk kawasan perumahan dibina di kawasan-kawasan rendah ini.
Kawasan yang sering banjir kilat di Shah Alam misalnya terletak di tebing Sungai Damansara yang sememangnya rendah. Kawasan Sungai Isap di Kuantan pula sememangnya kawasan rendah yang sering dilanda banjir.
Memang tabiinya kawasan ini ialah ia akan banjir. Jika dahulu ia sangat bagus untuk kesuburan tanah. Tetapi apabila manusia membuat keputusan untuk membina penempatan di kawasan rendah, banjir tidak akan takut dan pergi begitu sahaja. Ia akan kembali dan terus kembali. Kerana itu tabii kawasan tersebut.
Banjir di Pantai Timur secara meluas adalah fenomena alam yang pada skala besar. Pada hemat saya, ia tidak boleh dicegah terus. Kerana itu penduduk di sana sentiasa bersedia apabila tiba masanya. Saudara mara saya di Kota Bharu yang tinggal di tebing sungai, memang saban tahun bersedia.

Kerana itu, seorang EXCO Pahang mencadangkan satu sistem untuk menyedut keluar air yang masuk ke kawasan Sungai Isap setiap kali hujan lebat. Itu cadangan ikhtiar daripada beliau, meski saya sendiri kurang yakin dengan keberkesanannya.
Banjir di Johor baru-baru ini pula bukan kejadian rutin. Belum kita dengar Johor banjir dengan sebegini dahsyat. Penduduk memang tidak bersedia, kecuali di beberapa kawasan rendah berdekatan sungai. Namun bukan pula kejadian skala besar ini tidak diramal sama sekali. Sedari awal perkhidmatan kaji cuaca (Jabatan Meteorologi) telah memberi amaran.
Tetapi kerajaan tidak bersedia. Bilik Gerakan Kebangsaan tidak dibuka, pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam tidak dilantik. Malah jentera kerajaan sama sekali tidak digerakkan untuk bersedia menghadapi bencana. (Lihat entri saya: Pengurusan bencana yang compang camping dan kabinet tempang).
Mungkin pemimpin BN tidur, pergi melihat bot mewah yang bakal dilayari, memikirkan polis pengiring yang dituduh membunuh, atau seperti Hishamuddin Hussien sibuk melawat Raub tatkala negerinya ditenggelami air.
Oh ya! Mungkin Abdullah fikir dia masih Menteri Luar, kerana itu dia perlu selalu berada di luar negara, meski ketika negara menghadapi bencana. Mungkin juga seluruh kerajaan ini sudah nyanyuk dan tidak tahu apa nak dibuat.
No comments:
Post a Comment