Syabas Najib Razak!
Ramai teman-teman berbangsa Melayu yang saya temui begitu bersemangat dengan pengumuman Najib untuk menjadikan Universiti Teknologi MARA benar-benar gergasi dengan 200,000 penuntut. Peruntukan RM3 bilion diumumkan untuk menjayakan tujuan tersebut.
Saya pada dasar tidak mempunyai sebarang masalah dengan sebarang usaha untuk memperbanyakkan tempat dan peluang pengajian tinggi bagi rakyat Malaysia. Peluang pendidikan tinggi adalah perlu dan sewajarnya disediakan dengan secukupnya oleh kerajaan di dalam negara tanpa perlu menghantar mahasiswa ijazah pertama ke luar negara kecuali dalam bidang-bidang kritikal.
Namun saya juga bimbang dengan halatuju UiTM. Kerisauan itu bermula apabila UiTM mewujudkan fakulti seni persembahan dan memberikan tumpuan yang berlebihan terhadap Fakulti Sains Sukan. Saya juga khuatir melihat perancangan compang camping di Kampus Shah Alam dengan pelbagai fakulti berkongsi bangunan dan kemudahan sedangkan fakulti-fakulti berkenaan tidak berkaitan. Sebagai contoh Fakulti Pergigian ditempatkan di bangunan Fakulti Kejuruteraan.
Perancangan kursus yang ditawarkan seharusnya disesuaikan dengan keperluan tenaga kerja negara. Apa peluang pekerjaan yang menanti graduan Fakulti Seni Persembahan dan Sains Sukan?
Apakah mereka akhirnya akan mengambil diploma pendidikan dan sekadar menjadi guru pendidikan jasmani?
Saya lebih cenderung agar universiti-universiti di Malaysia memberi tumpuan kepada bidang-bidang tertentu sehingga menjadi universiti pakar. ITM pada awalnya menumpukan kepada bidang teknologi, kejuruteraan dan sains gunaan (applied science). Kemudian ia mencipta nama di dalam bidang perakauanan dan undang-undang.
Bidang kejuruteraan, pembinaan, perancangan bandar dan pengangkutan masih memerlukan begitu ramai tenaga kerja mahir. Malah penyertaan Melayu di dalam bidang-bidang profesional ini masih perlu ditingkatkan. Justeru saya kira UiTM perlu memperkasakan fakulti-fakulti berkaitan bidang ini. Jika ia benar-benar serius untuk mengembangkan bidang perubatan, pergigian dan sains kesihatan, ia perlu membina hospital (teaching hospital) yang benar-benar mantap.
Mungkin juga ada yang berhujah bahawa tidak cukup anak Melayu yang bersedia atau layak untuk mengambil kursus di dalam bidang teknikal. Malah ketika saya di UiTM ada seorang teman yang mengambil kursus Sains Sukan tetapi dia tidak pernah berminat dengan sukan. Katanya, "kursus ni saja yang aku layak masuk. minta saja la."
Ini membawa kita kepada masalah sebenar sistem pendidikan negara, yakni sekolah.
Peruntukan dan perhatian yang lebih perlu diberikan kepada melengkapkan sekolah-sekolah dengan makmal dan alatan yang secukupnya. Namun malang, seperti didedahkan oleh Hishamuddin Hussien, masih ada sekolah yang tidak mendapat bekalan eletrik tetap.
Ya, dia katakan akan diselesaikan di dalam tahun depan. Saya pernah bertekak dengan seorang Pegawai Khas Najib ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan. Kata Pegawai Khas tersebut tidak ada sekolah yang tidak ada eletrik. Namun ternyata beliau sendiri, yang masih menjadi Pegawai Khas Najib sehingga sekarang, tidak tahu keadaan sebenar sekolah-sekolah Malaysia.
Malang Najib. Pengumuman universiti gergasi ternyata sekadar untuk meraih sokongan orang Melayu. Berdasarkan pertemuan saya dengan teman-teman yang ghairah dengan idea tersebut, ternyata beliau berjaya memperdaya orang Melayu bahawa UMNO memperjuangkan orang Melayu, sedangkan beliau sendiri tidak tahu hujung pangkal apa yang dilakukan.
Saturday, November 18, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment