Wednesday, November 29, 2006

Kenapa hanya UiTM yang dibiarkan berjaya

Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamed ketika menjawab persoalan beberapa Ahli Parlimen di dalam sidang Dewan Rakyat telah menyatakan bahawa kadar pengangguran graduan UiTM adalah lebih rendah kerana tiga perkara, iaitu graduan UiTM mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang lebih baik, mereka dipupuk dengan semangat keusahawanan dan kursus di UiTM disusun untuk memenuhi keperluan industri.

Dengan kata lain, Mustapa telah berjaya mengenalpasti faktor-faktor yang menjadikan sebuah universiti berjaya. Justeru sebagai menteri bertanggungjawab, kenapa ketiga-tiga faktor ini tidak diterapkan di semua IPT?

Saya sebenarnya kurang yakin dengan kenyataan Mustapa. Tambahan pula beliau gagal memberikan statistik dan angka sebenar. Maka kita perlu menunggu angka tersebut diumumkan.

Bagaimanapun apa yang menarik perhatian ialah ahli-ahli Dewan Rakyat yang berbahas menimbulkan persoalan yang sama dengan saya mengenai keraguan terhadap kemampuan UiTM untuk digergasikan sehingga mencecah 200,000 penuntut dalam masa 4 tahun.

Nampaknya yang bulat keyakinan mengenai perkara ini hanya Najib Razak dan Mustapa. Atau mungkinkah mereka hanya menembak dari paras pinggang? (Shooting from the hip)

No comments: