Monday, November 27, 2006

Pembesaran UiTM hanya untuk menyalur keluar wang?

Nampaknya pemimpin Barisan Nasional seperti lazimnya bercakap dahulu merancang kemudian. Najib Razak ternyata tidak mempunyai persediaan perancangan yang rapi dan teliti ketika mengumumkan bahawa Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan digergasikan dengan jumlah 200,000 siswa.

Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamed mengumumkan bahawa matlamat ini akan dicapai bukan dengan menambah kapasiti UiTM tetapi sebaliknya ia akan diswastakan melalui sistem francais kepada kolej-kolej. Hampir separuh daripada jumlah keseluruhan akan ditempatkan di kolej francais.

Apa harapan Mustapa kepada kolej-kolej swasta ini sedangkan sebelum ini begitu banyak yang menghadapi masalah khususnya daripada segi kualiti. Malah begitu banyak yang gulung tikar.

Justeru adalah munasabah untuk kita bertanya apakah sebenarnya tujuan memperuntukkan RM3 bilion kepada UiTM ini sebenarnya adalah satu skim untuk menyalurkan wang kepada kolej-kolej swasta yang telah tenat.

Saya sudah katakan dahulu di dalam entri 'Untuk apa UiTM digergasikan?' bahawa UiTM perlu memikirkan dengan serius halatuju dan fokus mereka.

Sekadar melahirkan manusia bergelar graduan tanpa kemahiran yang diperlukan oleh industri akan hanya memparahkan masalah pengangguran di negara ini.

Apabila Mustapa memegang tanggungjawab Menteri Pengajian Tinggi, ia lebih meningkatkan kerisauan kerana Mustapa juga orang bertanggungjawab membuat eksperimen khususnya dalam bidang pengangkutan awam. Ternyata usahanya menghapuskan bas mini dan memperkenalkan sistem pengangkutan baru hanya menimbulkan lebih banyak masalah.

Bidang pendidikan bukan sesuatu yang boleh diperjudikan demi meraih keuntungan politik. Ia adalah perkara serius yang melibatkan masa depan kita.

1 comment:

Anonymous said...

sebagai siswa UiTM, saya terpanggil untuk memberi sedikit komen.
beberapa perkara yang mengusik saya mengenai pembesaran pengambilan pelajar UiTM dan juga pengisytiharan UiTM sebagai world-class university. persoalan yang timbul adakah tadbirurus UiTM sejajar dgn usaha yang gah ini? pengalaman saya,pembesaran UiTM ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa tanpa persediaan rapi samada dari kalangan akedemia mahupun tadbirurus.kebajikan mahasiswa yang sedia ada kurang diberi tumpuan lantas menyebabkan mahasiswa tidak saja ditindas kebebasan berfikir mereka tapi juga daripada sudut kehidupan seharian di kampus.yang difikirkan hanya untuk menambah pelajar dari masa ke masa tanpa memikirkan impak di masa depan.ya, memang bagus ruang diberikan kepada pelajar melayu untuk meningkatkan taraf akademik,tapi apakah matlamat ini menghalalkan penurunan gred kelayakan untuk masuk ke UiTM,yang pada hemat saya di kalangan IPT Awam di Malaysia ini UiTM adalah IPTA yang mengenakan kelayakan meyambung pelajaran yang paling rendah di kalangan orang awam.ini sedikit sebanyak menjejaskan kualiti graduan di masa akan datang kelak.sebab pada hemat saya penumpuan dari aspek kuantiti tidak sejajar dengan kualiti yang ditetapkan. dan apakah ini layak dijadikan indikator untuk mengukur keupayaan tadbirurus UiTM sebagai universiti taraf dunia?