Saya benar-benar merasa sedih apabila seorang yang menggenggam kuasa yang begitu besar, yakni Perdana Menteri terpaksa berulang kali menyatakan bahawa dia bukan seorang yang lemah.
Ketika mula-mula mengumumkan rancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Johor Selatan, Abdullah Badawi menegaskan bahawa idea SJER itu adalah ideanya dan bukan hasil buah fikiran orang lain. Kenapa perlu menyatakan begitu?
Barangsiapa yang tahu serba sedikit mengenai perjalanan kerajaan, atau malah mana-mana organisasi yang besar sudah barang tentu tahu bahawa ketua hanya mengambil kredit hasil usaha orang bawahan dan pekerja mereka.
Tidak ada sesiapa yang mengharapkan Abdullah untuk memikirkan perkara-perkara yang begitu besar (kita harus berlaku adil di sini). Adalah tersangat baik jika cetusan pertama, yakni idea asal adalah hasil pemikirannya sendiri. Namun jika tidak sekalipun, sekurang-kurangnya ketua perlu mampu memahami gagasan yang mahu dia masyhurkan.
Namun Abdullah ternyata menghadapi masalah inferioriy complex sehingga merasakan dirinya sentiasa menghadapi serangan dan dia perlu mempertahankan diri sepanjang masa.
Namun tidak dapat dinafikan, Abdullah sebenarnya menghadapi krisis keyakinan, malah beliau tidak mempunyai karisma dan kredibiliti yang mampu meyakinkan rakyat secara automatik, tanpa perlu disuruh atau dipaksa.
Yang terbaru Abdullah membuat ancaman dan ugutan agar jangan ada yang mencabar beliau. Saya menyeru mereka yang terlibat mengambil serius ancaman ini. Seorang yang lemah akal dan pemikirannya akan cenderung bertindak ganas dan rakus apabila terancam.
Tetapi saya menjadi marah dan benci terhadap Abdullah apabila beliau mengatakan dirinya 'bukan Perdana Menteri satu penggal'. Apakah Abdullah yakin dirinya yang menentukan perkara tersebut?
Barang perlu diingat, rakyat yang menentukan jatuh bangun pemimpin politik. Dan sudah tentu Tuhan yang menjadi penentu akhir.
Abdullah seharusnya lebih tawadhu' dan menyatakan bahawa beliau menyerahkan kepada rakyat dalam perkara ini. Dan sudah tentu lebih baik jika diakhirkan dengan InsyaALlah.
Saya yakin Abdullah tentu ingat bagaimana apabila Rasulullah menyatakan akan menjawab persoalan Quraish dalam masa tiga hari, wahyu tertahan dan tidak turun menjelaskan persoalan tersebut hanya kerana Rasulullah tidak menyatakan InsyaALlah.
Namun, seorang yang singkat fikirannya tidak kenal erti merendah diri. Dia akan menyuruh dan memaksa orang hormat kepadanya. Jika tidak dia akan mengganas dan mengamuk sehingga orang takut kepadanya. Dan ketakutan itu yang dianggapnya sebagai hormat.
Wednesday, November 15, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment