Wednesday, November 08, 2006

Kematian sebagai detik permulaan

Untuk apa talqin dibacakan? Apa tujuan pidato kematian diungkapkan?

Apakah si mati akan mendengar ucapan yang disampaikan. Mampukah si mati mengikuti modul jawapan yang dibacakan?

Kita yakin bahawa hanya amalan anak adam yang dibawa ke bersama apabila melintas garis kematian. Justeru talqin dibacakan adalah untuk peringatakan kepada yang hidup. Agar kita menjadi lebih bersedia menghadapi saat kematian. Agar nanti kita akan mampu menjawab dengan skema jawapan yang betul apabila disoal di alam barzagh.

Lincoln ketika menyampaikan ucapan pendek di Gettysburg, menyeru agar kematian lebih 50,000 orang di medan perang tersebut menjadi dorongan untuk yang hidup meningkatkan dedikasi bagi menyempurnakan misi yang telah memakan korban begitu ramai manusia.

Justeru dalam setiap tradisi tamadun manusia, kematian adalah sebenarnya satu permulaan.


Pemergian Umar Tan sebagai pendorong perjuangan

Apabila diberitahu mengenai pemergian Umar Tan, saya benar-benar tergamam. Baru sehari sebelum saya berbual telefon dengan beliau. Bertanyakan khabar. Kesihatan beliau memang sudah sejak beberapa waktu kurang baik dan ketika saya bercakap dengan beliau, Umar baru pulang dari hospital.

Doktor tidak pasti dengan penyakitnya. Sangkaan awal bahawa beliau mengidap denggi ternyata meleset setelah dilakukan ujian darah.

Pemergian beliau saya yakin dirasai oleh begitu ramai teman-teman yang sama-sama mendokong perjuangan Reformasi, yang bersama-sama berdemonstrasi sejak tahun 1998. Malah ramai yang mengenal beliau sejak sebelum itu lagi, tetapi saya mula mengenal beliau di lapangan Reformasi.

Suatu yang segar di ingatan saya ialah bagaimana beliau sering memulakan percakapan dengan nada positif "Tak pa!" (Tidak apa).

Seringkali apabila bercakap mengenai kezaliman dan penindasan yang sedang dialami, beliau mengatakan "tak pa" diikuti keyakinan bahawa segala yang berlaku akan berubah. Beliau percaya kebenaran dan kebaikan akhirnya akan menang.

Justeru bagi saya semangat "tak apa" (dilihat secara positif dan bukan bermakna sambil lewa) menjadi pendorong untuk meningkatkan iltizam menjayakan perjuangan ini. InsyaALlah perjuangan rakyat akan berjaya, segala kezaliman dihapuskan dan keadilan ditegakkan.

Doa saya agar Umar dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat maghfirah dan rahmat. Perjalanan yang baru bermula untuk beliau dan kami yang masih hidup ini memikul beban amanah untuk meneruskan perjalanan dan menjayakan perjuangan.

Nota: Saya sejak beberapa hari lalu ingin menulis entri ini. Tetapi saya benar-benar tidak tahu bagaimana untuk bermula. Malah saya tidak menziarahi jenazah beliau. Saya menjadi bingung setiap kali menghadapi saat kematian. Apakah saya takut akan mati?

Ya ALlah! Janganlah Kau biarkan hambamu ini takut akan mati dan cintakan dunia. Sekalipun hidupku ini tidak banyak jasa dan kebaikan, hamba pohon daripada Mu ALlah, dengan rahmat-Mu agar kematian hamba ada gunanya untuk perjuangan agama dan keadilan.

3 comments:

Anonymous said...

Bertaubatlah.

Amin Ahmad said...

salam.

sdr zaki,

mati itu pasti. dan pidato lincoln itu relevan kerana lama dahulu Rasulullah s.a.w. telah berpesan tentang kiamat..lebih kurang maksud - jika kita lakukan pekerjaan, teruskan meski saat itu kiamat (saya tak hafal betul bunyi hadis tersebut, takut salah tulis).

maka, teruskanlah..ketakutan kita untuk mati mungkin atas sedar bahawa malu berdepan dengan Rab kerana janji roh tidak langsai.

Amin Ahmad said...

salam.

sdr zaki,

mati itu pasti. kita yang hidup meski terus berbuat sesuatu meski kiamat tiba.

rasa takut itu mungkin kerana malunya roh akibat janji yang tidak langsai.