Monday, November 06, 2006

Singapura: Kerajaan perlu tegas dan berani

Saya menonton berita televisyen hari ini dengan jelek dan kesal. Jelek kerana memandang seorang Timbalan Perdana Menteri yang memberikan alasan bahawa permintaan-permintaan Singapura adalah penyebab kepada pembatalan rancangan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Apa kaitan jambatan dengan penjualan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia untuk latihan jet perang?

Saya kesal kerana manusia tanpa tulang belakang (spineless) seperti Najib dan Abdullah Badawi menjadi pemimpin utama negara ini. Kesal kerana Barisan Nasional yang lemah dan penakut menjadi pemerintah negara bertuah ini.

Saya tidak begitu bersemangat menyokong pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor. Saya sama sekali tidak menyokong pembinaan jambatan herot yang mirip hidung.

Tetapi sebagai rakyat, saya malu apabila pemimpin negara begitu lemah.

Pada hemat saya Malaysia mesti tegas terhadap Singapura. Pertamanya, kita perlu mengumumkan tempoh masa tertentu untuk menutup pintu sempadan di Tambak Johor. Kemudian suatu rancangan untuk merobohkan tambak yang berada di dalam perairan Malaysia hendaklah diumumkan.

Pada hemat saya, perkara ini adalah di dalam bidang kuasa Malaysia. Linkedua seharusnya cukup untuk menampung keperluan trafik di antara Malaysia dan Singapura.

Sebagaimana Singapura berkeras 'mengusir' KTMB daripada tanah miliknya di Singapura dan memindahkan pusat kuarantin Malaysia di sana ke Johor, Kuala Lumpur perlu tegas akan haknya untuk menutup pintu sempadan di situ mungkin atas alasan keadaan trafik yang terlalu sibuk dan menyebabkan pemeriksaan keselamatan tidak sempurna. Justeru Malaysia perlu melindungi keselamatan negara daripada ancaman 'pengganas' yang mungkin masuk ke negara ini daripada Singapura.

Tidak masuk akal?

Ugutan agar Malaysia terpaksa menjualkan pasir kepada Singapura dan membiarkan jet pejuangnya mengganggu ketenteraman dan keselamatan rakyat di Johor lebih tidak masuk akal.

Berkenaan air, Malaysia perlu menghentikan pembelian air terawat daripada Singapura. Alasan? Malaysia tidak yakin dengan kualiti pemprosesan air di Singapura, malah Malaysia bimbang ada cubaan untuk mengancam keselamatan rakyat Malaysia dengan memasukkan bahan berbahaya ke dalam air yang diproses.

Malaysia perlu mula melayan pemimpin Singapura sebagai penyangak (Malaysia should treat the Singapore leadership like the bandits they are). Bukankah itu layanan yang diberikan Singapura selama ini terhadap Malaysia?

Oh ya. Mengenai paip air sepanjang Tambak Johor yang membekalkan air mentah ke Singapura: Singapura boleh memasang paip air dasar laut merentas Selat Teberau. Itupun jika mereka masih berminat membeli air mentah daripada Malaysia.

Sebagai jiran yang baik, kita seharusnya terus menawarkan penjualan air kepada Singapura kerana itu bahan asas yang sangat diperlukan. Kita kan jiran yang baik.

p/s: Jika Scomi, ICM atau mana-mana syarikat kroni berhasrat mengaut untung dengan menjual pasir kepada Singapura, pastikan ia dijual pada harga yang tinggi. (Takpe, rakyat takkan mampu marah. Kan negara ini milik bapa?)

No comments: