Kesadaran adalah matahari
Kesabaran adalah bumi
Keberanian menjadi cakerawala
Dan perjuangan
Adalah pelaksanaan kata-kata
- Rendra
Fitnah besar yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar memberi kesan terhadap beliau dan keluarga. Malah ia menjadi fitnah (cubaan) yang cukup hebat kepada rakyat dan negara ini sendiri.
Tahun 1998 memberi kesan yang amat besar kepada hampir kesemua kita rakyat Malaysia. Detik dan ketika negara dilambung ombak besar itu matahari, bumi dan cakerawala sebahagian besar daripada kita tiba-tiba menjadi nyata dan satu.
Ada yang kesedarannya sahaja menyinar, sedangkan keberaniannya tetap suram. Ada yang memilih jalan bertahap dan ada yang mahukan perubahan segera, petanda kesabarannya tipis.
Selaku anak muda di kampus yang terlibat dalam gerakan mahasiswa, keadaan yang dihadapi benar-benar mencabar. Apa yang harus dilakukan? Apakah mahu dipendam segala kata azimat yang diajarkan dan dilaungkan selama ini atau mara ke hadapan melaksanakan kata-kata itu?
Saya ketika itu mengikuti pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam. Sebagai pemimpin mahasiswa yang sealiran dengan pentadbiran institut (kerana saudara Anwar di dalam kerajaan), saya mempunyai hubungan istimewa dan mendapat layanan istimewa.
Tetapi keadaan yang berlaku mendesak saya bertindak. Saya akui bukan kerana saya seorang yang berani dan bukan pula kesedaran benar-benar menyinar di dalam saya. Saya masih muda, belum pun berumur 22 tahun, maka yang paling tipis di dalam diri saya ialah kesabaran.
Pada malam setelah Anwar dipecat, saya dan teman-teman berada di hadapan Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri. Di situ kami melihat untuk pertama kali, kebangkitan rakyat secara spontan. Ada beberapa orang yang memberikan ucapan di bahu jalan di situ, kemudiannya belot dan berpaling.
Beberapa hari kemudian saya di luar negara untuk tempoh sebulan kerana menemani kedua-dua orang tua saya (mereka tidak pernah menaiki kapal terbang sebelum itu) untuk menziarahi kakak saya yang bersalin.
Betapa saya merasa rugi tidak dapat menyertai demonstrasi dan aksi massa yang lain. Namun saya sedar saya juga punya kewajipan kepada keluarga.
Sekembalinya saya, demonstrasi pertama yang saya sertai ialah pada 10 Oktober 1998 di hadapan SOGO di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Setelah itu beberapa demonstrasi saya sertai. Ucapan pertama saya di khalayak ramai ialah pada malam 13 April 1999 menjelang hari penghakiman kes Anwar Ibrahim.
Sepanjang tempoh di ITM, saya dan teman-teman menjalankan usaha agitasi untuk membangkitkan kesedaran pelajar. Tindakan-tindakan yang saya lakukan mungkin amat kecil maknanya, tetapi cukup untuk menyebabkan saya didenda, kemudiannya digantung pengajian dua tahun dan akhirnya apabila gambar saya terpampang di muka hadapan Utusan Malaysia pada 15 April 1999, saya dipecat.
Itu jalan yang saya pilih. Bukan dipaksa dan bukan terpaksa. Dan sudah tentu tidak dibayar untuk berbuat demikian.
Setelah dipecat daripada ITM, saya mendapat pekerjaan di sebuah firma audit. Tidak lama selepas itu saya berkhidmat sepenuh masa sebagai Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan pada masa yang sama menjadi Setiausaha Majlis Pelajar Malaysia (MPM).
Setelah itu saya dipanggil untuk berkhidmat dengan Berita Keadilan oleh Saudara Khalid Jaafar yang ketika itu adalah Timbalan Ketua Penerangan keADILan. Dari beliau saya mula belajar mengenai kewartawanan dan menulis. Beliau adalah guru yang cukup hebat, meski saya sering berbeza pandangan dengan beliau. Pada masa yang sama, saya ditugaskan untuk membantu Presiden -- Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Naib Presiden -- Datuk Syeikh Azmi Ahmad di dalam bidang penulisan. Saya kemudiannya membantu Presiden untuk urusan-urusan Parlimen.
Ketika di Berita Keadilan juga saya mengenali Rustam A. Sani yang kemudiannya menjadi Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM). Beliau adalah lautan ilmu yang daripadanya dapat saya kutip setitis dua untuk bekalan hidup. Bersama beliau saya terlibat menguruskan penerbitan Suara PRM dan Berita Alternatif. Percubaan itu mengajar kami betapa perit dan payah untuk menerbitkan akhbar alternatif.
Pada tahun 2003, saya dilantik menjadi EXCO Pemuda keADILan dan sehingga kini memegang jawatan EXCO. (Kini Angkatan Muda keADILan). Pada 2004, saya dilantik oleh saudara Ezam Mohd Nor untuk membantu beliau dengan gelaran jawatan Setiausaha Politik. Sedari awal dimaklumkan, saya menyatakan kepada beliau, "Jawatan itu terlalu besar. Apa kata dinamakan Pembantu Khas sahaja."
Jawab beliau, "Takpe. Setiausaha Politik kepada seorang yang tak besar, takde la besar."
Saya kagum. Sepanjang saya menjalankan tugas membantu Ezam, sering terserlah betapa pemikirannya lebih hadapan. Tatkala parti sendiri menghadapi masalah mengendalikan cawangan yang terlalu banyak, khususnya dalam soal mesyuarat agung, Ezam ketika mesyuarat pindaan peraturan tetap Angkatan Muda keADILan mencadangkan agar dimansuhkan sahaja cawangan-cawangan. Saya ketika itu ditugaskan sebagai penulis draf peraturan tetap itu.
Saya percaya Ezam bersama-sama pemimpin-pemimpin keADILan yang lain akan dapat memberikan impak yang cuba berkesan dan berbeza bukan sahaja kepada parti, tetapi lebih penting kepada negara ini. InsyaALlah.
Apakah saya menyesali tindakan-tindakan saya?
Hari ini dapat saya katakan dengan jelas: tidak. Meski saya tidak pernah menyelesaikan pengajian saya. Apa yang saya kesalkan ialah tidak mampu menarik lebih ramai untuk bersama melaksanakan kata-kata mereka. Apa yang saya tangisi hari ini ialah kerana pengorbanan saya dan ribuan rakyat Malaysia lain masih belum cukup.
Perjuangan ini masih menuntut korban dan pengorbanan sebelum negara ini benar-benar merdeka daripada cengkaman kezaliman. Apakah Malaysia mempunyai cukup putera dan puteri untuk menjadi korban bagi menjamin kemenangan keadilan?
p/s Saya menambah catatan dalam entri ini atas permintaan beberapa teman yang mahukan pengkisahan yang lebih lengkap.
Tuesday, July 25, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
sdr Zaki,
kita tak pernah kenal mungkin banyak kali bersua.
semoga sdr kekal sihat dan istiqamah..doakan juga saya..
Salam perjuangan !
Teruskan kecekalan dan ketabahan dalam mengharungi tekanan kuasa. Kita tidak akan tunduk selagi bahang matahari masih dapat dirasai di permukaan bumi.
Moga-mogaan tuhan akan sentiasa berada di sisimu serta mengakui perjuanganmu yang suci.
salaam~
saudara ahmad zaki, andainya muawiyyah abu sufyan berada pada tempat anda, tentunya jalan lain yang dipilih... :-)
muawiyyah barangkali menamakan jalan tersebut sebagai "politik tinggi".
Post a Comment