Thursday, July 27, 2006

Jenayah dan Politik

Kadar jenayah yang terus-terusan meningkat dewasa ini seharusnya sudah membimbangkan sesiapa saja. Saya sekurang-kurangnya sangat bimbang apabila wanita diparang di kawasan rumahnya di hadapan dua orang anaknya. Anak-anak tersebut kemudian memapah ibu mereka dalam keadaan mereka sendiri berlumuran darah ibu ke rumah jiran untuk melihat ibu mereka rebah dan menghembuskan nafas terakhir.

Negara apakah ini? Malaysia atau Iraq sehingga pembunuhan berleluasa?

Guru dibunuh dalam perjalanan ke sekolah. Mangsa ragut diseret sehingga mati. Anak yang di bawah pengaruh dadah, membunuh ibu sendiri.

Semua ini adalah masalah jenayah yang mesti ditangani. Kerajaan-kerajaan di negara Barat dipilih antaranya berdasarkan janji untuk tegas menangani jenayah. Sakorzy di Perancis mendapat sokongan popular kerana tindakannya terhadap penjenayah. Thaksin pada peringkat awal tegas menangani masalah dadah. Walaupun akhirnya mereka bukan lagi tegas, tetapi menjadi ganas sehingga membelakangkan undang-undang.

Tetapi malang sekali, Malaysia tidak mengambilkira sikap terhadap jenayah dalam memilih kerajaan atau pemimpin. Abdullah Badawi yang lemah dan lembik tetap menjadi Perdana Menteri, malah menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Menteri harus 'buck up' dan bertindak. Cukup sudah perhatian luar biasa polis dalam mengeluarkan saman trafik dan mengutip saman tersebut melalui pelbagai operasi.

Ya, kita faham itu penting untuk 'sustain' kerajaan ini yang semakin gawat mencari sumber kewangan. Tetapi rakyat perlu menuntut Ops Banteras Jenayah diadakan segera.

Jika Abdullah tidak ada masa, lepaskan sahaja jawatan Menteri Keselamatan dan berikan kepada seorang yang mempunyai masa untuk memberi perhatian penuh kepada kerja itu dan mempunyai keazaman politik (political will) untuk melaksanakannya.
Kenapa perlu Abdullah memegang begitu banyak jawatan -- Menteri Kewangan, Menteri Keselamatan Dalam Negeri selain Perdana Menteri. Berapa gaji yang dibayar negara kepada beliau?

Sumber kewangan sewajarnya perlu diperuntukkan untuk tujuan membanteras dan mencegah jenayah. Media hari ini (27 Julai 2006) melaporkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum menyatakan bahawa kerajaan sudah berbelanja besar untuk memerangi dadah tanpa hasil yang memuaskan. Tahun ini sahaja RM154 juta diperuntukkan untuk memerangi dadah dan RM50 juta lagi untuk pemulihan penagih.

Bagus lah jika sedar kerja yang mereka lakukan tidak berkesan. Seharusnya perlu diperbaiki dan ditingkatkan usaha. Tetapi sudah tentu jumlah itu lebih berbaloi daripada memberikan setengah bilion ringgit kepada Menteri Belia dan Sukan, Azalina Othman untuk dihabiskan membina kompleks sukan yang belum tentu hasilnya di London.

Kita sangat bimbang andainya kerajaan ini tidak mempunyai keazaman politik mahupun minat atau nafsu untuk mencegah jenayah, tetapi sekadar bernafsu untuk berbelanja besar bagi projek sia-sia.

4 comments:

Fiebie said...

Saya lebih percaya pada penguatkuasaan dari hukuman, untuk mengurangkan kadar jenayah.

Masalah jenayah bukan boleh di atasi di peringkat kementerian, kerana ia adalah masalah berakar umbi unit sosial paling rendah.

Kementerian hanya bertanggungjawab menyediakan prasarana dan memberi keupayaan kepada penguatkuasa untuk menjalankan tindakan.

Saya tidak percaya dengan mengubah sistem politik, masalah manusia di parang di hadapan rumah akan berkurangan secara mendadak.

Fiebie

Fiebie said...

Mengenai pembinaan pusat latihan bertaraf tinggi, saya rasa yang lebih sesuai di lakukan, adalah pelajar atau ahli sukan yang berkemampuan dan berpotensi tinggi di pilih berdasarkan kecemerlangan akademiknya sekali. Mereka di hantar ke Universiti Luar negara melalui kemudahan biasiswa. Di sana mereka diserapkan dalam sistem latihan sukan di sana, bukan dari tempatlatihan berpusat, yang tidak akan memberi impak yang besar, samaada ia di adakan di sini, atau di mana-mana tempat dalam dunia, jika mentaliti "malaysia boleh" yang sebenarnya boleh sedikit-sedikit sahaja masih lagi sama.

kill two bird with one stone cheaper

ahmad zaki yamani said...

Komen balas: (terima kasih kerana sudi komen)

Apa beza penguatkuasaan dengan hukuman di dalam ayat pertama fish? Undang-undang di Malaysia berpaksi kepada larangan dan hukuman. Apabila dikuatkuasa undang-undang sudah barang tentu akan terlaksana hukuman.

Kerajaan dan para menteri adalah mereka yang memikul tanggungjawab memimpin dan sudah tentu sekaligus mendidik rakyat... hatta di peringkat unit sosial paling rendah.

Setuju. Jenayah tidak akan berkurangan mendadak. Tetapi apabila pemimpin negara menunjukkan kesungguhan memerangi jenayah ia akan 'strike fear in the hearts of criminal' sehingga mereka gentar untuk melakukan jenayah dan faham bahawa jenayah tidak berbaloi (crime does not pay).

Fiebie said...

Walaupun dalam sebuah negara yang authoritarian dan totalitarian sekalipun, jenayah masih ada, malahan semakin hebat. Saya tak mengatakan anda mencadangkan pemimpin yang lebih bersifat totaliter. Ini satu statement saja.