Apakah tujuan undang-undang semata-mata untuk menghukum?
Saya percaya wujudnya Hukum dan undang-undang adalah untuk 'moderate' kehidupan manusia. Saling tak tumpah dengan fungsi moderate comments dalam blog. Untuk mengawal dan menyeimbangkan tindakan-tindakan manusia.
Andainya manusia bertindak di dalam batas-batas norma kehidupan, maka tidak ada keperluan untuk undang-undang dikuatkuasakan ke atas mereka. Hanya apabila seseorang bertindak berlawanan dengan nilai yang dipegang oleh komuniti, maka dia akan diingatkan dengan kuatkuasa undang-undang.
Peraturan dan undang-undang terbentuk berpaksikan kepada nilai yang dipegang oleh sesuatu masyarakat. Suatu tindakan yang mungkin dianggap jenayah di negara ini, mungkin pula dianggap kebiasaan di negara lain. Justeru undang-undang boleh berbeza kerana nilai yang dipegang juga berbeza. Hanya Hukum Tuhan yang berpaksikan kepada nilai yang 'absolute'; yakni nilai dan cara hidup yang telah ditentukan oleh Pencipta.
Justeru apa sebenarnya yang sepatutnya dilakukan oleh undang-undang? Saya percaya undang-undang adalah untuk menjaga kepentingan dan keharmonian masyarakat. Justeru tidak ada tindakan harus diambil terhadap seorang yang misalnya menconteng dinding rumahnya sendiri, meski contengannya itu buruk dan menjolok mata. Tetapi pada masa yang sama, seorang yang menconteng dinding pondok menunggu bas atau mana-mana dinding awam, biar betapa artistik atau indah sekalipun, harus dikenakan tindakan.
Jika benar tujuan undang-undang ialah melindungi masyarakat, apakah yang seharusnya dilakukan olehnya? Menghukum mereka yang melanggar norma masyarakat atau memulihkan (rehabilitate) mereka?
Keputusan antara dua pilihan ini harus dibuat dengan amat berhati-hati. Ada yang percaya semua pelaku jenayah boleh dipulihkan (lantas golongan ini lazimnya menentang hukuman mati), namun tidak kurang yang percaya bahawa ada penjenayah yang tidak boleh dipulihkan dan jenayah yang dilakukannya adalah terlalu buruk (heinous) sehingga jika dibiarkan dia kembali kepada masyarakat akan hanya membawa mudarat (justeru mereka ini menyokong hukuman mati).
Saya tidak ada pendapat yang definitif antara dua pilihan ini. Namun suatu yang saya pasti ialah saya sama sekali tidak menyokong hukuman penjara yang panjang. Ia tidak mungkin memulihkan dan pada masa yang sama membazirkan sumber negara. Meski mungkin ada yang berhujah bahawa pemenjaraan penjenayah tegar akan melindungi masyarakat daripada keganasan mereka, saya percaya ada jalan lain yang lebih baik.
Selain dua perkara di atas, saya melihat satu lagi fungsi undang-undang: pencegahan. Ini yang dinyatakan dalam al-Quran, yakni Hukum Jinayah Hudud itu sebagai nakalan minaLlah (pencegahan daripada ALlah). Hukum Hudud jika dilihat sememangnya sangat berat sehingga jika terlaksana sesiapa juga akan gentar untuk melakukan jenayah. Lantas jenayah itu sendiri akan dicegah dan hanya mereka yang tegar (dan sudah tentu selayaknya) yang akan menerima hukuman.
Pada masa yang sama, proses pembuktian jenayah Hudud adalah juga sangat berat. Saya tidak mempunyai pengetahuan dan sumber yang cukup untuk memastikan, justeru harap ada pembaca yang boleh membantu untuk menjawab, "apakah ada di zaman Rasulullah dan Sahabat seorang yang melakukan jenayah yang boleh dihukum di bawah Hudud ditangkap melakukan kesalahan di dalam rumahnya dan dihukum?"
Saya tahu satu kisah Saidina Umar yang menangkap seorang yang minum arak dengan cara memanjat dan menceroboh rumah orang tersebut. Maka kes yang dibawa beliau terbatal kerana cara mendapatkan bukti dengan menceroboh adalah tertolak. Meski saya pasti perawi dan kesahihan kisah ini.
Ini menjadi asas untuk saya cenderung mengatakan bahawa Hukum dan Undang-undang adalah untuk melindungi masyarakat; dan agar jenayah tidak berleluasa menjadi kelaziman.
Friday, July 28, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Bagi saya, undang2 adalah langkah akhir mengawal manusia. udang2 untuk manusia yang tidak matang. manusia yang matang dapat mengawal dirinya sendiri. memang ada kaitannya dengan pendidikan dan akhlak. tetapi dalam pengalaman undang2, pada hemat saya, jenayah terbesar adalah penyalahgunaan undang2 oleh pengamalnya. akhirnya membawa kepada kerakusan dan kemabukan. barangkali undang2 yang terbaik adalah undang2 yang kurang mengawal rakyatnya. ada kesan psikologi yang negatif, tidak progresif kerana selagi mana manusia merasa dikongkong, ia selamanya tidak merdeka dan bebas. potentinya terbantut seperti pokok bonsai. saya sambut kelahiran blog ini. manusia malaysia juga perlukan idea, bukan semata-mata aksi tubuh dalam politik dan segenap hal.
Post a Comment