Media massa hari ini (26 Julai 2006) melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Azalina Othman berkeras akan meneruskan dengan rancangan membina Pusat Latihan Prestasi Tinggi di Brickendonberry, London. Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet untuk Sukan juga menyokong.
Saranan separa tegas Perdana Menteri, Abdullah Badawi agar projek itu tidak diteruskan tidak diambil endah. Azalina juga bersikap bena tak bena terhadap keputusan majlis tempatan di Brickendonberry yang mewartakan kawasan institut kajian getah di situ sebagai kawasan warisan. Segalanya boleh dan akan diubah jika memerhati kepada sikap dan kenyataannya.
Cuma kosnya tidaklah sampai RM490 juta, cuma RM441 juta. Besar bezanya tu. Kalau diberi kepada seorang manusia perbezaan RM49 juta, besar kemungkinan dia tidak perlu bekerja untuk satu tempoh yang lama.
Tetapi wang yang hendak dibelanjakan bukan milik seorang individu. Bukan milik Azalina pastinya, tetapi milik rakyat Malaysia.
Mungkin penting pusat latihan sebegitu. Tetapi kenapa London?
Jika hendak menyesuaikan dengan Eropah, kenapa tidak di Eropah Tengah atau Timur yang lebih rendah kos kehidupannya dan lebih ramai atlit cemerlang yang boleh dijadikan teman latihan atau jurulatih?
Jika kerana cuaca Eropah perlu disesuaikan, bagaimana pula dengan Sukan Asia yang akan diadakan di Qatar? Perlukah kita membina pusat latihan di rantau Teluk atau di Padang Pasir? Saya kira oleh kerana Bolasepak Piala Dunia seterusnya akan diadakan di Afrika Selatan, kita bina sahaja sebuah pusat latihan di Afrika.
Mudahnya, kita bina sebuah pusat latihan di setiap rantau seluruh ceruk dunia ini.
Sekiranya Azalina dan Najib sengaja untuk tunjuk engkar terhadap Abdullah sekalipun, harap jangan diperjudikan setengah bilion duit rakyat.
Wednesday, July 26, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment