Pihak polis dengan pantas mengenal pasti orang yang disyaki bertanggungjawab menyemburkan pepper spray ke muka Ibrahim Ali sehingga mengenai bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.
Menteri Keselamatan Dalam Negeri (yang pada masa lapangnya kadangkala bekerja sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Bapa Mentua Khairy Jamaluddin) sangat berang dengan insiden yang menimpa Mahathir.
Saya kagum. Benar-benar saya kagum dengan kepantasan pihak polis bertindak. Dan orang yang bertanggungjawab (saya yakin akan dapat dipastikan tidak lama lagi) boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun. Syabas Polis DiRaja Malaysia.
Saya menunggu berapa lama masa yang akan diambil oleh pihak polis untuk menyelesaikan kes peniaga yang ditetak dan seorang pelajar kolej yang dibunuh semalam.
Saya juga terfikir-fikir apakah kepantasan yang sama akan digunakan jika yang terkena semburan hanya Ibrahim Ali dan tidak ada Mahathir Mohamad di sebelahnya.
Alangkah baiknya jika semua kita adalah seorang bekas Perdana Menteri. Tentu semua masalah jenayah akan segera selesai. Mungkin kita semua patut menukar nama kepada Mahathir Mohamad.
Kalau semua berbuat demikian, saya bimbang Jabatan Pendaftaran akan menyenaraikan hitam nama tersebut. Bukan apa bimbang terlalu ramai yang mempunyai nama yang sama.
Nama anak pun sekarang sudah ada senarai hitam. Hitam dan Putih termasuk dalam senarai hitam. (New Straits Times 30 Julai 2006)
Oh Malaysiaku tercinta.
Sunday, July 30, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment