Friday, July 28, 2006

Idea terbabas Khairy Jamaludin

Baru tadi saya menonton siaran berita televisyen. Saya tertarik dengan laporan mengenai Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin cuba menyampaikan memorandum kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat.

Pertamanya Khairy menuntut negara-negara Islam keluar daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tuntutan ini selari dengan cita-cita AS selama ini, yakni untuk meminggirkan institusi-institusi multilateral antarabangsa dan sekaligus memudahkan mereka bertindak sendirian. Jika permintaan Khairy dimakbulkan PBB akan menjadi seperti Liga Bangsa-bangsa yang terkubur dan kemudiannya diganti oleh PBB.

Saya buntu memikirkan apa yang mungkin dicapai oleh negara-negara Islam jika mereka sepakat keluar daripada PBB?

Saya yakin Khairy tidak percaya negara-negara Islam akan mengambil peduli dengan kenyataannya itu. Penggunaan klasik retorik. Khairy menuntut perkara mustahil dan kemudiannya akan dapat mengatakan, "Tengok! Kalau mereka ikut cakap aku masalah ini tentu selesai. Tetapi Dunia Islam degil." Dan dia pun meneruskan dengan kehidupannya tatkala lebih ramai penduduk Palestin dan Lubnan terbunuh.

Khairy juga kemudiannya melabelkan Rejim Zionis sebagai pengganas. Benar! Saya (dan saya yakin majoriti penduduk dunia) bersetuju sangat bahawa rejim Zionis adalah pengganas. Pada masa yang sama saya rimas dan resah apabila Khairy menyambung hujah dengan menyamakan Osama bin Laden dan al-Qaeda dengan rejim Zionis.

Saya juga tidak bersetuju sama sekali dengan pendekatan Osama yang tidak menyelesaikan, malah menambahkan, masalah umat Islam itu. Tetapi menyamakan mereka dengan Yahudi?

Khairy dengan rambut panjang dan berselepang kotak hitam putih cuba memberi imej 'muda' kepada dirinya dan Pemuda UMNO. Syabas!

Tetapi hujahnya, bak kata orang muda, terbabas. Menggelabah la ko.

No comments: