Thursday, December 14, 2006

Poligami: Pastikan kebajikan isteri dan anak

Cadangan seorang EXCO Kerajaan Terengganu untuk memberi ganjaran kewangan kepada lelaki yang mengambil ibu tunggal sebagai isteri kedua dan seterusnya mendapat reaksi yang bercampur-campur dan ada antaranya begitu keras menentang.

Menteri Besar segera menafikan bahawa perkara tersebut adalah keputusan Kerajaan Terengganu. Mungkin itu sekadar cadangan EXCO tersebut.

Pada asasnya saya melihat kebaikan memberikan bantuan kewangan kepada keluarga yang terlibat di dalam poligami ini. Namun ia perlu diasaskan kepada keperluan. Jika Menteri Besar yang beristeri dua, sudah tentu dia tidak layak menerimanya kerana banyak lagi sumber negeri yang boleh disapunya.

Bagaimanapun saya fikir lebih sesuai bantuan itu diberikan terus kepada isteri-isteri yang terlibat dan memerlukan. Ia mungkin akan dapat memastikan kebajikan isteri dan anak-anak.

Pada masa yang sama, sebelum seseorang mengambil isteri kedua dan seterusnya, bakal isteri mesti dimaklumkan oleh pihak berkuasa agaman mengenai status dan kemampuan kewangan bakal suaminya.

Ini untuk memastikan isteri tidak memikul beban menanggung kehidupan suami 'baru'nya.

Ketika di kampung, di Alor Setar, saya sering diceritakan mengenai seorang suami yang cukup 'handal'. Dia beristeri dua dan kedua-dua isterinya dipastikan kakitangan kerajaan, seorang guru dan seorang jururawat. Saya bertanya apa kerjanya?

Maka dijawab kerjanya berulang alik antara dua rumah (yang dimiliki oleh masing-masing isterinya) dan sekadar makan tidur. Ayat sebenar yang digunakan untuk menjelaskan perkara ini saya kira kurang enak diperturunkan di sini.

Baru-baru ini pula saya bertemu dengan seorang lelaki yang cukup tampan. Dia sedang mencari kerja setelah beberapa lama tidak bekerja. Tetapi 'handal'nya dia, dia mempunyai dua isteri. Kedua-duanya pramugari.

Mungkin bagi wanita-wanita begini, mereka tidak mengharapkan suami untuk kehidupan yang stabil dan cukup keperluannya. Mungkin mereka mampu berdikari. Atau dengan suami begini mereka mendapat kebahagiaan yang lebih penting, pada hemat mereka, daripada keperluan material yang mencukupi.

Jika begitu, tidak mengapa saya kira. Namun ramai juga wanita yang diperdaya menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat dengan harapan suami itu akan memelihara kebajikan mereka. Malang apabila sudah berkahwin, hakikatnya suami mereka tidak mampu.

Pihak berkuasa agama, saya kira, punya kewajipan untuk memastikan wanita-wanita seperti ini tidak terpedaya dan akhirnya menanggung kehidupan suami itu. Dalam kes yang sudah terlajak dan perkara ini berlaku, sudah barang tentu menjadi kewajipan pemerintah untuk memastikan kebajikan wanita-wanita ini dan anak-anak mereka terpelihara.

1 comment:

Anonymous said...

salam hormat