Thursday, December 28, 2006

Tol - Apa yang kita mahu?

Apa sebenarnya yang kita mahu berkenaan sistem jalanraya bertol di negara ini? Apakah kita, kelompok yang marah apabila kadar tol terus-terusan dinaikkan, mahu kadar tol diturunkan atau kita menuntut agar kutipan tol ke atas pengguna jalanraya itu sendiri dihentikan?

Persoalannya apakah dasar penswastaan negara sudah gagal?

Sistem menswastakan pembinaan dan pengendalian lebuhraya untuk satu tempoh tertentu gagal mencapai matlamatnya kerana berlaku terlalu banyak ketirisan. Terlalu banyak 'wang kopi' yang terpaksa ditanggung. Tambahan-tambahan kepada kos ini semuanya dipindahkan kepada pengguna. Kerana itu wujud kenaikan berjadual.

Saya kira kita perlu berlaku adil kepada kerajaan Barisan Nasional ini. Kita perlu menilai apa sebenarnya isi kandungan yang telah mereka tandatangani dengan pengusaha lebuhraya bertol. Hanya selepas mengetahui kandungan sebenar perjanjian kita akan tahu justifikasi kenaikan yang dituntut. Baru kita boleh tahu apakah mereka yang mengambil peranan mewakili rakyat dalam perjanjian dengan pengusaha bertol itu telah melaksanakan tugas mereka dengan baik, atau mereka gagal mewakili kepentingan kita.

Lebih parah jika mereka telah khianat dalam melaksanakan rundingan tersebut. Apa sekalipun dokumen-dokumen dan perjanjian berkaitan perlu dideklasifikasikan daripada status RAHSIA dan didedahkan sepenuhnya kepada kerajaan. Menteri berkuasa melakukan ini atau Parlimen perlu bertindak segera memansuhkan Akta Rahsia Rasmi yang melindungi dokumen yang sama sekali tidak berkaitan dengan keselamatan dan kepentingan negara sebegini.

Rakyat perlukan maklumat! Setakat ini kita menolak kenaikan kadar tol. Tetapi kita memerlukan lebih maklumat untuk menentukan samada kita menolak sama sekali penswastaan jalanraya. Hanya selepas mendapat maklumat yang dikategori rahsia ini kita akan dapat membuat keputusan.

Buat masa sekarang, saya sekurang-kurangnya telah membuat keputusan bahawa rejim Abdullah Badawi ini BUKAN kerajaan saya. Mereka samada terlalu bodoh sehingga membuat perjanjian yang merugikan rakyat, atau mereka khianat kepada rakyat sehingga sanggup membuat perjanjian itu.

Ayuh rakyat! Nyatakan pendirian anda.

No comments: