Tengahari tadi saya terserempak dengan seorang pensyarah UiTM yang memainkan peranan yang cukup penting dalam mempengaruhi perkembangan pemikiran saya khususnya dalam bidang politik. Setelah sekian lama beliau 'terbuang' ke kampus cawangan kerana penglibatan aktif beliau di dalam badan bukan kerajaan dilihat mengancam kepentingan kelompok 'the powers that be' di UiTM, beliau kembali ke Shah Alam.
Pensyarah ini dan seorang temannya, seorang Profesor di UiTM sangat prihatin dengan perkembangan keADILan dan bertanyakan pelbagai perkara kepada saya. Malah beliau berkata, "Aku pun selalu baca blog hang."
Saya terharu. Tidak saya sangka beliau memberi perhatian untuk membaca blog saya ini.
Sedari awal, pensyarah ini mempunyai pandangan bahawa kepentingan Melayu hanya dapat dipelihara melalui UMNO. Atau sekurang-kurangnya hanya UMNO yang cukup mantap untuk memainkan peranan berkesan di dalam bidang ini. Saya agak jengkel apabila sebelum-sebelum ini beliau sering bercakap seolah-olah Anwar Ibrahim dan ahli-ahli lain akan kembali kepada UMNO dan sekaligus keADILan terkubur.
Saya merasa jengkel kerana mengambilkira pengalaman dan pengetahuan politik beliau yang saya tanggap tinggi dan hebat, pandangan itu meresahkan saya. Takut-takut kata-katanya menjadi ramalan yang akhirnya menjadi hakikat.
Namun saya kemudiannya berfikir tidak mengapa sekiranya keADILan bekerjasama dan bergabung dengan mana-mana badan atau parti politik sekalipun, termasuk Barisan Nasional. Namun kerjasaman dan gabungan itu bukan semberono, tetapi sebaliknya bersyarat.
Mengambil pendirian bahawa kita menentang BN bukan kerana namanya BN dan bukan kerana nama ketuanya Abdullah Badawi, kemungkinan ini tidak boleh ditolak begitu sahaja. Penentangan kita ialah terhadap kerja-buat mereka, terhadap dasar mereka yang anti-rakyat, yang rasuah dan zalim.
Sekiranya mereka ini mahu meninggalkan semua perbuatan ini, apa salahnya kita mencari jalan untuk ruang dan bentuk kerjasama yang lebih meluas. Tambahan pula, Anwar Ibrahim dan gelombang reformasi seharusnya memimpin seluruh rakyat Malaysia ke arah perubahan dan bukan sekadar memimpin separuh atau sebahagian rakyat Malaysia semata-mata.
Justeru adalah penting untuk kita menggerakkan reformasi di kalangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO juga.
Ada pandangan lain?
Friday, March 30, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment