Tuesday, March 06, 2007

Kematian boleh berlaku di mana-mana

Semalam berita televisyen menyiarkan kenyataan Chua Soi Lek bahawa kematian di kem-kem Latihan Khidmat Negara bukan sesuatu yang luar biasa. Kata beliau, "kematian akan berlaku di mana-mana".

Sebagai seorang Muslim yang percayakan kepada Qada' dan Qadar, saya percaya saat kematian telah ditetapkan oleh ALlah. Namun ALlah juga mengingatkan hambanya bahawa "ALlah kasih kepada kamu, maka janganlah kamu campakkan diri ke dalam kebinasaan."

Justeru manusia tidak boleh dengan sengaja mencari maut dengan alasan jika saat ajalnya belum tiba, dia tidak akan mati. Begitu juga apabila kem-kem latihan ini ternyata tidak selamat dan membahayakan nyawa, maka peserta tidak sewajarnya ke sana, pemerintah tidak boleh memaksa mereka tinggal di kem-kem tersebut dan ibu bapa bertanggungjawab menghalang anak-anak mereka daripada dihantar ke kem-kem yang bahaya itu.

Jika mengikut teori Soi Lek, maka kempen keselamatan jalanraya adalah sia-sia semata-mata. Membazirkan wang dan tenaga. Biarkan saja orang ramai berlumba-lumba di jalanraya kerana sekiranya ajal mereka belum tiba, sudah tentu mereka tidak akan mati kemalangan. Tetapi jika ajal mereka sudah tiba, mereka tidak berada di atas jalanraya pun akan mati.

Saya sebenarnya bimbang dengan teori dan pola pemikiran Soi Lek. Bagaimana seorang yang singkat akal seperti beliau dan cuba melepaskan kerajaan daripada tanggungjawab dengan meletakkan segalanya pada takdir boleh menjadi menteri? Mungkin kerana dia lebih cerdik daripada Perdana Menteri?

No comments: