Dakwaan bahawa Johari Baharom menerima RM 5.5 juta sebagai rasuah untuk membebaskan tiga orang yang ditahan di bawah Ordinan Darurat adalah satu dakwaan yang sangat berat. Berat kerana dia dituduh menerima wang rasuah yang begitu besar.
Namun pendedahan beliau mengenai sebab polis menahan orang di bawah Ordinan Darurat adalah kerana tidak cukup bukti untuk mendakwa mereka di mahkamah saya kira adalah lebih berat.
Saya sendiri pernah mengetahui dengan dekat bagaimana beberapa remaja di Bandar Tun Razak ditangkap dan dihantar ke Simpang Renggam kerana dituduh terlibat dalam kegiatan ragut. Polis ternyata tidak ada bukti yang cukup untuk mendakwa mereka, lalu mengambil jalan mudah menahan mereka di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Pencegahan) tanpa bicara.
Keluarga mereka cuba mendapatkan bantuan guaman. Tetapi untuk mencabar keputusan penahanan tersebut memerlukan mereka memfailkan writ Habeas Corpus. Belanja minimum untuk itu, saya dimaklumkan ialah RM 30 ribu setiap seorang.
Akibatnya keluarga berpendapatan rendah ini terpaksa menerima hakikat bahawa mereka terpaksa menunggu sekurang-kurangnya dua tahun sebelum anak mereka bebas kembali. Itupun jika polis dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri tidak membuat keputusan menahan mereka lebih lanjut.
Sudah tiba masanya rakyat mendesak kerajaan untuk menghapuskan semua kuasa untuk menahan dan membebas seseorang tanpa bicara yang diberikan kepada menteri. Doktrin pengasingan kuasa dengan jelas memisahkan peranan antara Eksekutif dan Kehakiman.
Tetapi peruntukan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat ini merampas tanggungjawab dan kuasa mahkamah dan diberikan kepada Eksekutif, yakni Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan dikuatkuasa oleh polis. Ternyata ia bertentangan degan doktrin asas sistem bernegara kita.
Seorang mesti dibuktikan bersalah sebelum dia boleh dihukum dan dipenjara. Tetapi keadaannya sekarang seseorang itu mesti membuktikan dirinya tidak bersalah sebelum mendapat kebebasan.
Keadaan ini bukan sekadar membuktikan Malaysia negara polis, tetapi sebenarnya kerajaan Barisan Nasional yang memerintah tanpa henti sejak Merdeka ialah kerajaan zalim terhadap rakyatnya sendiri.
Monday, March 05, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment