Nampaknya ada beberapa pihak di dalam Parti Keadilan Rakyat yang mempunyai keinginan untuk meletakkan calon di pilihanraya kecil DUN Machap atau sekurang-kurangnya mereka berhasrat untuk menampilkan suasana seolah-olah keADILan berminat untuk menyertai pertandingan tiga penjuru di kawasan yang lazimnya ditandingi oleh DAP itu.
Pada hemat saya tindakan begitu, meskipun sekadar untuk 'mengusik' atau 'mengajar' DAP yang sememangnya sering bertindak 'nakal' di dalam hubungan antara parti-parti alternatif dan pembangkang, adalah satu drama sia-sia.
keADILan seharusnya kekal teguh dengan pendirian boikot pilihanraya sekurang-kurangnya terhadap pilihanraya kecil yang sudah terbukti berulang kali sering menjadi medan penipuan dan helah Barisan Nasional (BN).
Cakap-cakap mengenai keinginan untuk bertanding sebegini sebenarnya menonjolkan citra keADILan sebagai tidak mempunyai pendirian atau bersikap 'flip-flop'. Ini yang digunakan oleh Najib Razak untuk menyerang parti pembangkang.
Sekiranya keADILan tidak mempunyai keputusan dan pendirian untuk memboikot pilihanraya yang dipenuhi penipuan sekalipun, tidak ada sebarang sebab untuk keADILan bertanding di Machap. Biarkan saja kepada DAP, kerana jika tidak DAP boleh saja menggunakan perkara tersebut sebagai alasan untuk 'mengusik' keADILan di kawasan-kawasan lain dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.
Pendirian boikot juga seharusnya diperjelaskan. Biar rakyat jelas dan pasti bahawa boikot kita hanya terhadap pilihanraya yang kotor dan dipenuhi penipuan, sehingga bagaimana sekalipun pilihan dan kehendak rakyat, yang pasti menang ialah calon yang dikehendaki oleh pemerintah.
Pilihanraya Umum tidak sebegitu buruk keadaan sebagaimana pilihanraya kecil. Justeru keADILan perlu menyatakan bahawa melainkan ada sebab-sebab yang nyata mengenai penipuan yang akan berlaku, keADILan akan meletakkan calon di dalam Pilihanraya Umum.
Friday, March 23, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment