Perkara penukaran agama atau khususnya keluar daripada Islam dan memeluk agama lain, semakin hari semakin menjadi isu yang semakin besar di kalangan masyarakat Melayu-Muslim negara ini.
Bagaimana seharusnya kita menangani masalah ini?
Apakah dengan memenjarakan mereka atau menghukum mati (sebagaimana yang ada dicadangkan beberapa pihak). Namun hukuman mati untuk riddah dihujahkan oleh sesetengah pihak bukan kerana mereka menukar agama, tetapi kerana murtad yang mengancam keselamatan dan kestabilan Daulah Islam ketika itu. Justeru hukuman itu sebenarnya kerana bughah. Debat ini belum selesai dan akan mengambil masa yang sangat panjang. Apa pun medan ini bukan gelanggang yang sesuai untuk membahaskannya.
Pada hemat saya, di dalam keadaan yang ada sekarang, pihak berwajib berkenaan urusan Islam di negara ini perlu memainkan peranan yang lebih berkesan mendidik umat Islam khususnya generasi muda.
Organisasi seperti ABIM, YADIM, Pusat Zakat dan sebagainya perlu ikut sama memainkan peranan. Individu Islam, khususnya yang menghadapi masalah perlu didekati dan diwujudkan jaringan sosial untuk memberi sokongan kepada mereka. Jika masalahnya ialah teman hidup, maka perlu diusahakan untuknya seorang teman yang beriman dan berakhlak mulia. Jika masalahnya kewangan maka seharusnya dibantu sehingga cukup dan bukan sekadar bantuan RM50 sebagai mengambil syarat sahaja.
Saya mengatakan perkara ini perlu diberi perhatian kerana saya percaya kebanyakan mereka yang mahu keluar daripada Islam bukan kerana mereka mendapat pencerahan (enlightenment) secara tiba-tiba.
Lazimnya kerana mengikut pasangan hidup atau kerana usaha mubaligh yang tekun dan berterusan memujuk mereka untuk menukar agama.
Justeru Islam perlu, dengan memanfaatkan dana zakat, mengambil tindakan balas dengan membantu mana-mana umat Islam yang memerlukan. Kita mesti sekat usaha mubaligh asing yang mahu mendekati umat Islam yang menghadapi masalah dengan umat Islam sendiri mendekati mereka.
Bukankah kita pernah diingatkan, "Domba (biri-biri) yang bersendirian akan mudah dimakan serigala"?
Saya kira cukup sudah bangunan-bangunan serba moden yang dibina oleh pihak berkuasa zakat di negara. Cukup sudah memperjudikan wang zakat, seperti yang dilakukan oleh seorang pemimpin UMNO tidak lama dahulu ketika beliau menjadi menteri, di pasaran saham.
Fungsi zakat mudah. Kutip daripada yang mempunyai harta berlebihan dan berikan kepada yang memerlukan. Saya cukup jelek dengan pengumuman di hujung tahun kewangan bahawa sesuatu pusat zakat berjaya menyimpan puluhan juta wang.
Untuk apa? Apakah sudah habis asnaf di dalam kawasan pentadbiran mereka sehingga bantuan zakat tidak diperlukan?
Pada masa yang sama organisasi Islam juga perlu memberi perhatian serius kepada mereka yang baru mendapat hidayah dan membuat keputusan untuk memeluk Islam. Kenapa dibiarkan mereka sehingga akhirnya kembali kepada menagih bantuan keluarga dan akhirnya kembali kepada agama asal?
Mereka yang baru memeluk Islam boleh dikategorikan sebagai asnaf yang layak menerima zakat. Umat Islam perlu mengambil inisiatif untuk memberi sokongan kepada mereka dan tidak hanya menunggu mereka meninggal dunia dan berebut jenazah untuk dikebumikan.
Lebih malang apabila pihak berkuasa agama menghabiskan wang ratusan ribu ringgit untuk kos guaman bagi tujuan tersebut, semata-mata kerana selama ini mereka yang baru memeluk Islam dibiarkan sehingga hanyut kembali kepada keluarga mereka yang belum memeluk Islam. Akhirnya mereka mati dalam pelukan keluarga dan bukan Islam.
Saya yakin di dalam keadaan sekarang, undang-undang bukan penyelesaian masalah ini.