Monday, February 05, 2007

Lihat Kuasa Rakyat!

Pada 4 Februari 2007, saya ditahan di perkarangan IOI Mall, Puchong dalam perhimpunan rakyat membantah TOL. Saya ditahan, digari ke belakang dan dibawa ke Balai Polis Puchong di dalam trak polis.

Saya kira keadaan yang berlaku, ramai yang sudah maklum. Keganasan segelintir anggota polis terhadap rakyat juga sudah menjadi lumrah yang sedia diketahui.

Namun dalam perhimpunan semalam, perbezaan yang paling ketara ialah keteguhan hati rakyat untuk kekal di hadapan Balai Polis Puchong sehingga kesemua mereka yang ditahan dibebaskan kira-kira jam 8.30 malam, meskipun mereka diancam oleh Pasukan 4 FRU yang lengkap dengan meriam (water cannon) dan anjing.

Dalam perhimpunan itu juga, sebahagian besar ialah kalangan masyarakat Tionghua. Ini adalah satu perkembangan, bagi saya, yang paling menarik. Ia menunjukkan kemarahan rakyat terhadap BN semakin meningkat akibat kehidupan mereka yang semakin disempitkan.

Berbeza dengan perhimpunan di Cheras sebelum ini, kelompok kali ini jauh lebih besar. Beberapa faktor boleh dikenalpasti menjadi penyebab. Saya kira yang utama ialah usaha keADILan Selangor menggerakkan ahli dan penyokong di seluruh negeri. Kerana itu yang ditahan hampir semuanya adalah ahli dan penyokong keADILan, malah seorang daripada mereka kekal memegang bendera keADILan sehingga akhir.

Saya cenderung memikirkan bahawa leih ramai orang yang hadir kerana marah dengan keganasan tidak perlu polis di Cheras-Kajang dulu. Benarkah begitu?

Namun masih banyak yang kita perlu lakukan. Sebaran maklumat dan usaha meningkatkan kesedaran rakyat perlu digiatkan. Suatu perkara yang perlu kita tangani ialah sikap mudah kalah (defeatist) yang cuba disemai di kalangan rakyat bahawa mereka tidak mungkin melakukan perubahan.

Seperti kata Dato' Seri Anwar: Kamu boleh buat apa yang kamu mahu kerana kamu ada kuasa. Tetapi sekarang rakyat akan tunjukkan kuasa mereka." Justeru kita mesti pastikan KUASA RAKYAT ditunjukkan.

Nantikan... Akan datang perhimpunan rakyat yang lebih besar membantah tol!

No comments: