Saturday, February 10, 2007

Beraja di mata, Bersultan di hati

Media massa kebelakangan ini melaporkan mengenai keadaan Malaysia yang kaya raya dan mewah. Rizab luar negara meningkat, GDP dijangka meningkat, dagangan negara mencecah RM 1 trillion.

Malah New Straits Times pergi lebih jauh mengatakan bahawa rakyat Malaysia mempunyai lebihan wang dan kerana itu aktiviti perniagaan runcit semakin meningkat. Contoh yang diberikan ialah pengunjung di gerai-gerai sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman semakin ramai.

Media Spin ini saya percaya tidak lain tidak bukan ialah untuk mengabsahkan atau meredhakan kenaikan kadar elektrik, petrol, air dan tol secara berturut-turut seperti yang menimpa rakyat khususnya di Lembah Klang baru-baru ini.

Jika rakyat Malaysia khususnya di Lembah Klang kaya raya sehingga mereka mampu berbelanja dengan lebih aktif di gerai Jalan Tuanku Abdul Rahman, apa salahnya mereka memberi lebih banyak kepada kerajaan dan syarikat-syarikat kroni.

Ketika negara mewah dan kaya raya, apa salahnya Perdana Menteri berbelanja besar membeli jet mewah dan hidup mewah dengan kapal layar yang dihadiahkan oleh seorang tokoh korporat Malaysia yang sudah tentu mendapat untung bertambah-tambah sekarang kerana perniagaan yang semakin berkembang dan menguntungkan?

Saya kira tidak lama lagi, Abdullah perlu memerintahkan rakyat untuk mempersembahkan beliau hadiah-hadiah yang mewah dan hebat sebagai tanda terima kasih mereka kepada beliau sebagaimana kapal layar mewah dihadiahkan. Baru sempurna untuk Abdullah Beraja di mata, Bersultan di Hati.

Namun, apakah benar rakyat Malaysia semakin kaya dan mewah?

Atau apakah peningkatan pengunjung ke gerai di Jalan Tuanku Abdul Rahman ialah kerana penduduk Lembah Klang kini hanya mampu berbelanja di gerai-gerai dan tidak lagi di kompleks membeli-belah?

No comments: