Wednesday, November 29, 2006

Abdullah sudah berang

Sejak sekian lama Abdullah Badawi cuba sedaya upaya untuk mempamerkan imej Mr. Nice Guy. Namun kebelakangan ini beliau nampaknya sudah semakin hilang sabar. Justeru beliau membuat kenyataan yang menembak ke kiri dan ke kanan.

Saya fikir lebih baik beliau menumpukan kepada usaha mentadbir negara ini dengan baik dan membuktikan bahawa semua anggapan bahawa beliau lemah dan tidak mampu memerintah adalah tidak benar.

Tidak ada gunanya beliau mengancam dan mengugut orang agar jangan mengkritik. Bukankah lebih baik jika beliau menunjukkan hasil dan tidak hanya bercakap sepanjang masa.

Kerja la macha!

Kenapa hanya UiTM yang dibiarkan berjaya

Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamed ketika menjawab persoalan beberapa Ahli Parlimen di dalam sidang Dewan Rakyat telah menyatakan bahawa kadar pengangguran graduan UiTM adalah lebih rendah kerana tiga perkara, iaitu graduan UiTM mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang lebih baik, mereka dipupuk dengan semangat keusahawanan dan kursus di UiTM disusun untuk memenuhi keperluan industri.

Dengan kata lain, Mustapa telah berjaya mengenalpasti faktor-faktor yang menjadikan sebuah universiti berjaya. Justeru sebagai menteri bertanggungjawab, kenapa ketiga-tiga faktor ini tidak diterapkan di semua IPT?

Saya sebenarnya kurang yakin dengan kenyataan Mustapa. Tambahan pula beliau gagal memberikan statistik dan angka sebenar. Maka kita perlu menunggu angka tersebut diumumkan.

Bagaimanapun apa yang menarik perhatian ialah ahli-ahli Dewan Rakyat yang berbahas menimbulkan persoalan yang sama dengan saya mengenai keraguan terhadap kemampuan UiTM untuk digergasikan sehingga mencecah 200,000 penuntut dalam masa 4 tahun.

Nampaknya yang bulat keyakinan mengenai perkara ini hanya Najib Razak dan Mustapa. Atau mungkinkah mereka hanya menembak dari paras pinggang? (Shooting from the hip)

Monday, November 27, 2006

Pembesaran UiTM hanya untuk menyalur keluar wang?

Nampaknya pemimpin Barisan Nasional seperti lazimnya bercakap dahulu merancang kemudian. Najib Razak ternyata tidak mempunyai persediaan perancangan yang rapi dan teliti ketika mengumumkan bahawa Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan digergasikan dengan jumlah 200,000 siswa.

Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamed mengumumkan bahawa matlamat ini akan dicapai bukan dengan menambah kapasiti UiTM tetapi sebaliknya ia akan diswastakan melalui sistem francais kepada kolej-kolej. Hampir separuh daripada jumlah keseluruhan akan ditempatkan di kolej francais.

Apa harapan Mustapa kepada kolej-kolej swasta ini sedangkan sebelum ini begitu banyak yang menghadapi masalah khususnya daripada segi kualiti. Malah begitu banyak yang gulung tikar.

Justeru adalah munasabah untuk kita bertanya apakah sebenarnya tujuan memperuntukkan RM3 bilion kepada UiTM ini sebenarnya adalah satu skim untuk menyalurkan wang kepada kolej-kolej swasta yang telah tenat.

Saya sudah katakan dahulu di dalam entri 'Untuk apa UiTM digergasikan?' bahawa UiTM perlu memikirkan dengan serius halatuju dan fokus mereka.

Sekadar melahirkan manusia bergelar graduan tanpa kemahiran yang diperlukan oleh industri akan hanya memparahkan masalah pengangguran di negara ini.

Apabila Mustapa memegang tanggungjawab Menteri Pengajian Tinggi, ia lebih meningkatkan kerisauan kerana Mustapa juga orang bertanggungjawab membuat eksperimen khususnya dalam bidang pengangkutan awam. Ternyata usahanya menghapuskan bas mini dan memperkenalkan sistem pengangkutan baru hanya menimbulkan lebih banyak masalah.

Bidang pendidikan bukan sesuatu yang boleh diperjudikan demi meraih keuntungan politik. Ia adalah perkara serius yang melibatkan masa depan kita.

Thursday, November 23, 2006

The real sentiment within UMNO

For me the discussion about the live airing of the UMNO General Assembly is very puzzling. The main leaders are now saying some delegates are black ducklings for voicing 'unsuitable' issues. They are even threatened with legal action.

I guess it must be the fault of the Permanent Chairman and his deputy that this get out of hand.

That is if we choose to look at things from their perspective.

To me, the delegates spechees are echoing the actual thinking and sentiment of UMNO members. It is apparent that Abdullah, as President failed to feel the hearts of members when he chose to take a different stand, a politically correct one to please the leadership of the BN component parties.

By right General Meetings of all political parties should be aired live on television. This will give a chance to the Malaysian people to evaluate the stand of each party.

It is clear the people can conclude that UMNO has exposed its racist and anti-unity face recently.

But what will be very sad is that if the people who loves this multi ethnic and multi cultural country allows UMNO to hold power much longer. It is time for the people to act and defend the harmony of this country by rejecting the racial politics of UMNO-BN.

Time for change!

Kenapa mahu sekat hak asasi ahli UMNO

Perbahasan mengenai kewajaran menyiarkan Pehimpunan Agung UMNO secara langsung di kaca televisyen benar-benar membingungkan. Nampaknya pemimpin utama UMNO menganggap beberapa pemimpin sebagai itik hitam yang membahaskan topik-topik yang tidak sewajarnya. Malah mereka diugut akan dikenakan tindakan undang-undang.

Saya kira Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap yang sewajarnya memikul tanggungjawab kerana gagal menjalankan tugas mengawal perhimpunan.

Itu jika melihat perkara ini daripada sudut itu.

Namun pada hemat saya, ucapan-ucapan perwakilan adalah mewakili pemikiran, citra dan sentimen sebenar ahli-ahli UMNO. Ternyata Abdullah selaku Presiden tidak dapat menyelami isi hati ahli apabila mengambil pendirian yang berbeza. Yang politically correct untuk menjaga hati parti komponen BN.

Seharusnya semua persidangan utama parti-parti politik negara ini disiarkan secara langsung. Ini akan membolehkan rakyat menilai pendirian sebenar semua parti politik negara ini.

Namun apa yang paling malang ialah jika rakyat yang cintakan negara Malaysia yang jamak kaum dan jamak budaya terus membiarkan UMNO memegang kuasa lebih lama. Sudah sampai masanya rakyat bertindak dan mempertahankan keharmonian negara dengan menolak politik perkauman UMNO-BN.

Masa untuk berubah!

Quotas: Must we be trapped within the BN mindset?

A friend of mine, a very good friend, commented that this country is so unfair. A person who gets only 5As in SPM can get a scholarship to further his studies, whereas another guy with 7As cannot get the same chance. All because the 5As guy is a Malay. He blames it squarely on the quota system.

To put things in context, this friend of mine is a Chinese. I understand the anger of the Chinese community. I know a lot of them agrees with Lee Kuan Yew's statement that they are marginalised here.

I tried to reason with my friend (how effective it was, i do not know) that we are discussing this within the Barisan Nasional framework. We believe whatever their leaders say.

UMNO leaders would want to be seen as suppressing the other races, particularly the Chinese, so that their members will see them as heroes who would stand up to the ungrateful newcomers. MCA leaders in the mean time just love this situation, they too can play hero by standing up to UMNO to defend the Chinese community rights.

I said to my friend, the wealth of this nation should be enough to provide for every deserving and needy citizen. There is no need for quotas and special provision when there is enough for all.

One might ask how can we have enough for everybody when the country is running a deficit budget. I believe a large chunk of the resources go to waste or to support the corrupt lifestyle of the BN leaders. If we prevent all the corruption i am confident we can have so much surplus.

But that remains to be seen. It won't happen until the Barisan Rakyat gets a chance to form government. It's hard work, but we, no matter of what ethnicity, must do our utmost to make it a reality.

Malaysians deserve better. Therefore we must first eject these clowns and jesters lead by Abdullah. We owe it to ourselves and the future generation.

Sunday, November 19, 2006

Apa yang mahu dipacu?

Apa sebenarnya yang hendak dipacu oleh Najib Razak?

Apakah minda Melayu yang perlu dipacu atau keutamaan perlu diberikan kepada usaha menghentikan tindakan pemimpin-pemimpin Melayu UMNO yang memacu bangsa sendiri dengan duduk di belakang mereka sambil sarku di tangan bersedia untuk memacu mereka.

Saya kira banyak masalah yang dihadapi oleh orang Melayu negara ini adalah kerana pengkhianatan UMNO kini. Begitu banyak wang dicurahkan atas nama kepentingan dan hak Melayu, tetapi akhirnya yang mendapat keuntungan hanya beberapa kerat.

Benar minda tidak berubah secara alami. Justeru minda Melayu mesti diubah. Mesti disedarkan bahawa cakap-cakap untuk membela orang Melayu semata-mata tidak bermakna. Yang penting ialah tindakan jujur menghentikan pengkhianatan yang selama ini dilakukan, khususnya oleh pemimpin UMNO era Mahathir dan diwarisi oleh rejim Abdullah (yang sememangnya tidak ada muka baru).

Saturday, November 18, 2006

Untuk apa UiTM digergasikan?

Syabas Najib Razak!

Ramai teman-teman berbangsa Melayu yang saya temui begitu bersemangat dengan pengumuman Najib untuk menjadikan Universiti Teknologi MARA benar-benar gergasi dengan 200,000 penuntut. Peruntukan RM3 bilion diumumkan untuk menjayakan tujuan tersebut.

Saya pada dasar tidak mempunyai sebarang masalah dengan sebarang usaha untuk memperbanyakkan tempat dan peluang pengajian tinggi bagi rakyat Malaysia. Peluang pendidikan tinggi adalah perlu dan sewajarnya disediakan dengan secukupnya oleh kerajaan di dalam negara tanpa perlu menghantar mahasiswa ijazah pertama ke luar negara kecuali dalam bidang-bidang kritikal.

Namun saya juga bimbang dengan halatuju UiTM. Kerisauan itu bermula apabila UiTM mewujudkan fakulti seni persembahan dan memberikan tumpuan yang berlebihan terhadap Fakulti Sains Sukan. Saya juga khuatir melihat perancangan compang camping di Kampus Shah Alam dengan pelbagai fakulti berkongsi bangunan dan kemudahan sedangkan fakulti-fakulti berkenaan tidak berkaitan. Sebagai contoh Fakulti Pergigian ditempatkan di bangunan Fakulti Kejuruteraan.

Perancangan kursus yang ditawarkan seharusnya disesuaikan dengan keperluan tenaga kerja negara. Apa peluang pekerjaan yang menanti graduan Fakulti Seni Persembahan dan Sains Sukan?

Apakah mereka akhirnya akan mengambil diploma pendidikan dan sekadar menjadi guru pendidikan jasmani?

Saya lebih cenderung agar universiti-universiti di Malaysia memberi tumpuan kepada bidang-bidang tertentu sehingga menjadi universiti pakar. ITM pada awalnya menumpukan kepada bidang teknologi, kejuruteraan dan sains gunaan (applied science). Kemudian ia mencipta nama di dalam bidang perakauanan dan undang-undang.

Bidang kejuruteraan, pembinaan, perancangan bandar dan pengangkutan masih memerlukan begitu ramai tenaga kerja mahir. Malah penyertaan Melayu di dalam bidang-bidang profesional ini masih perlu ditingkatkan. Justeru saya kira UiTM perlu memperkasakan fakulti-fakulti berkaitan bidang ini. Jika ia benar-benar serius untuk mengembangkan bidang perubatan, pergigian dan sains kesihatan, ia perlu membina hospital (teaching hospital) yang benar-benar mantap.

Mungkin juga ada yang berhujah bahawa tidak cukup anak Melayu yang bersedia atau layak untuk mengambil kursus di dalam bidang teknikal. Malah ketika saya di UiTM ada seorang teman yang mengambil kursus Sains Sukan tetapi dia tidak pernah berminat dengan sukan. Katanya, "kursus ni saja yang aku layak masuk. minta saja la."

Ini membawa kita kepada masalah sebenar sistem pendidikan negara, yakni sekolah.

Peruntukan dan perhatian yang lebih perlu diberikan kepada melengkapkan sekolah-sekolah dengan makmal dan alatan yang secukupnya. Namun malang, seperti didedahkan oleh Hishamuddin Hussien, masih ada sekolah yang tidak mendapat bekalan eletrik tetap.

Ya, dia katakan akan diselesaikan di dalam tahun depan. Saya pernah bertekak dengan seorang Pegawai Khas Najib ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan. Kata Pegawai Khas tersebut tidak ada sekolah yang tidak ada eletrik. Namun ternyata beliau sendiri, yang masih menjadi Pegawai Khas Najib sehingga sekarang, tidak tahu keadaan sebenar sekolah-sekolah Malaysia.

Malang Najib. Pengumuman universiti gergasi ternyata sekadar untuk meraih sokongan orang Melayu. Berdasarkan pertemuan saya dengan teman-teman yang ghairah dengan idea tersebut, ternyata beliau berjaya memperdaya orang Melayu bahawa UMNO memperjuangkan orang Melayu, sedangkan beliau sendiri tidak tahu hujung pangkal apa yang dilakukan.

Wednesday, November 15, 2006

Cara singkat akal menuntut rasa hormat

Saya benar-benar merasa sedih apabila seorang yang menggenggam kuasa yang begitu besar, yakni Perdana Menteri terpaksa berulang kali menyatakan bahawa dia bukan seorang yang lemah.

Ketika mula-mula mengumumkan rancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Johor Selatan, Abdullah Badawi menegaskan bahawa idea SJER itu adalah ideanya dan bukan hasil buah fikiran orang lain. Kenapa perlu menyatakan begitu?

Barangsiapa yang tahu serba sedikit mengenai perjalanan kerajaan, atau malah mana-mana organisasi yang besar sudah barang tentu tahu bahawa ketua hanya mengambil kredit hasil usaha orang bawahan dan pekerja mereka.

Tidak ada sesiapa yang mengharapkan Abdullah untuk memikirkan perkara-perkara yang begitu besar (kita harus berlaku adil di sini). Adalah tersangat baik jika cetusan pertama, yakni idea asal adalah hasil pemikirannya sendiri. Namun jika tidak sekalipun, sekurang-kurangnya ketua perlu mampu memahami gagasan yang mahu dia masyhurkan.

Namun Abdullah ternyata menghadapi masalah inferioriy complex sehingga merasakan dirinya sentiasa menghadapi serangan dan dia perlu mempertahankan diri sepanjang masa.

Namun tidak dapat dinafikan, Abdullah sebenarnya menghadapi krisis keyakinan, malah beliau tidak mempunyai karisma dan kredibiliti yang mampu meyakinkan rakyat secara automatik, tanpa perlu disuruh atau dipaksa.

Yang terbaru Abdullah membuat ancaman dan ugutan agar jangan ada yang mencabar beliau. Saya menyeru mereka yang terlibat mengambil serius ancaman ini. Seorang yang lemah akal dan pemikirannya akan cenderung bertindak ganas dan rakus apabila terancam.

Tetapi saya menjadi marah dan benci terhadap Abdullah apabila beliau mengatakan dirinya 'bukan Perdana Menteri satu penggal'. Apakah Abdullah yakin dirinya yang menentukan perkara tersebut?

Barang perlu diingat, rakyat yang menentukan jatuh bangun pemimpin politik. Dan sudah tentu Tuhan yang menjadi penentu akhir.

Abdullah seharusnya lebih tawadhu' dan menyatakan bahawa beliau menyerahkan kepada rakyat dalam perkara ini. Dan sudah tentu lebih baik jika diakhirkan dengan InsyaALlah.

Saya yakin Abdullah tentu ingat bagaimana apabila Rasulullah menyatakan akan menjawab persoalan Quraish dalam masa tiga hari, wahyu tertahan dan tidak turun menjelaskan persoalan tersebut hanya kerana Rasulullah tidak menyatakan InsyaALlah.

Namun, seorang yang singkat fikirannya tidak kenal erti merendah diri. Dia akan menyuruh dan memaksa orang hormat kepadanya. Jika tidak dia akan mengganas dan mengamuk sehingga orang takut kepadanya. Dan ketakutan itu yang dianggapnya sebagai hormat.

Wednesday, November 08, 2006

Kematian sebagai detik permulaan

Untuk apa talqin dibacakan? Apa tujuan pidato kematian diungkapkan?

Apakah si mati akan mendengar ucapan yang disampaikan. Mampukah si mati mengikuti modul jawapan yang dibacakan?

Kita yakin bahawa hanya amalan anak adam yang dibawa ke bersama apabila melintas garis kematian. Justeru talqin dibacakan adalah untuk peringatakan kepada yang hidup. Agar kita menjadi lebih bersedia menghadapi saat kematian. Agar nanti kita akan mampu menjawab dengan skema jawapan yang betul apabila disoal di alam barzagh.

Lincoln ketika menyampaikan ucapan pendek di Gettysburg, menyeru agar kematian lebih 50,000 orang di medan perang tersebut menjadi dorongan untuk yang hidup meningkatkan dedikasi bagi menyempurnakan misi yang telah memakan korban begitu ramai manusia.

Justeru dalam setiap tradisi tamadun manusia, kematian adalah sebenarnya satu permulaan.


Pemergian Umar Tan sebagai pendorong perjuangan

Apabila diberitahu mengenai pemergian Umar Tan, saya benar-benar tergamam. Baru sehari sebelum saya berbual telefon dengan beliau. Bertanyakan khabar. Kesihatan beliau memang sudah sejak beberapa waktu kurang baik dan ketika saya bercakap dengan beliau, Umar baru pulang dari hospital.

Doktor tidak pasti dengan penyakitnya. Sangkaan awal bahawa beliau mengidap denggi ternyata meleset setelah dilakukan ujian darah.

Pemergian beliau saya yakin dirasai oleh begitu ramai teman-teman yang sama-sama mendokong perjuangan Reformasi, yang bersama-sama berdemonstrasi sejak tahun 1998. Malah ramai yang mengenal beliau sejak sebelum itu lagi, tetapi saya mula mengenal beliau di lapangan Reformasi.

Suatu yang segar di ingatan saya ialah bagaimana beliau sering memulakan percakapan dengan nada positif "Tak pa!" (Tidak apa).

Seringkali apabila bercakap mengenai kezaliman dan penindasan yang sedang dialami, beliau mengatakan "tak pa" diikuti keyakinan bahawa segala yang berlaku akan berubah. Beliau percaya kebenaran dan kebaikan akhirnya akan menang.

Justeru bagi saya semangat "tak apa" (dilihat secara positif dan bukan bermakna sambil lewa) menjadi pendorong untuk meningkatkan iltizam menjayakan perjuangan ini. InsyaALlah perjuangan rakyat akan berjaya, segala kezaliman dihapuskan dan keadilan ditegakkan.

Doa saya agar Umar dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat maghfirah dan rahmat. Perjalanan yang baru bermula untuk beliau dan kami yang masih hidup ini memikul beban amanah untuk meneruskan perjalanan dan menjayakan perjuangan.

Nota: Saya sejak beberapa hari lalu ingin menulis entri ini. Tetapi saya benar-benar tidak tahu bagaimana untuk bermula. Malah saya tidak menziarahi jenazah beliau. Saya menjadi bingung setiap kali menghadapi saat kematian. Apakah saya takut akan mati?

Ya ALlah! Janganlah Kau biarkan hambamu ini takut akan mati dan cintakan dunia. Sekalipun hidupku ini tidak banyak jasa dan kebaikan, hamba pohon daripada Mu ALlah, dengan rahmat-Mu agar kematian hamba ada gunanya untuk perjuangan agama dan keadilan.

Monday, November 06, 2006

Singapura: Kerajaan perlu tegas dan berani

Saya menonton berita televisyen hari ini dengan jelek dan kesal. Jelek kerana memandang seorang Timbalan Perdana Menteri yang memberikan alasan bahawa permintaan-permintaan Singapura adalah penyebab kepada pembatalan rancangan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Apa kaitan jambatan dengan penjualan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia untuk latihan jet perang?

Saya kesal kerana manusia tanpa tulang belakang (spineless) seperti Najib dan Abdullah Badawi menjadi pemimpin utama negara ini. Kesal kerana Barisan Nasional yang lemah dan penakut menjadi pemerintah negara bertuah ini.

Saya tidak begitu bersemangat menyokong pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor. Saya sama sekali tidak menyokong pembinaan jambatan herot yang mirip hidung.

Tetapi sebagai rakyat, saya malu apabila pemimpin negara begitu lemah.

Pada hemat saya Malaysia mesti tegas terhadap Singapura. Pertamanya, kita perlu mengumumkan tempoh masa tertentu untuk menutup pintu sempadan di Tambak Johor. Kemudian suatu rancangan untuk merobohkan tambak yang berada di dalam perairan Malaysia hendaklah diumumkan.

Pada hemat saya, perkara ini adalah di dalam bidang kuasa Malaysia. Linkedua seharusnya cukup untuk menampung keperluan trafik di antara Malaysia dan Singapura.

Sebagaimana Singapura berkeras 'mengusir' KTMB daripada tanah miliknya di Singapura dan memindahkan pusat kuarantin Malaysia di sana ke Johor, Kuala Lumpur perlu tegas akan haknya untuk menutup pintu sempadan di situ mungkin atas alasan keadaan trafik yang terlalu sibuk dan menyebabkan pemeriksaan keselamatan tidak sempurna. Justeru Malaysia perlu melindungi keselamatan negara daripada ancaman 'pengganas' yang mungkin masuk ke negara ini daripada Singapura.

Tidak masuk akal?

Ugutan agar Malaysia terpaksa menjualkan pasir kepada Singapura dan membiarkan jet pejuangnya mengganggu ketenteraman dan keselamatan rakyat di Johor lebih tidak masuk akal.

Berkenaan air, Malaysia perlu menghentikan pembelian air terawat daripada Singapura. Alasan? Malaysia tidak yakin dengan kualiti pemprosesan air di Singapura, malah Malaysia bimbang ada cubaan untuk mengancam keselamatan rakyat Malaysia dengan memasukkan bahan berbahaya ke dalam air yang diproses.

Malaysia perlu mula melayan pemimpin Singapura sebagai penyangak (Malaysia should treat the Singapore leadership like the bandits they are). Bukankah itu layanan yang diberikan Singapura selama ini terhadap Malaysia?

Oh ya. Mengenai paip air sepanjang Tambak Johor yang membekalkan air mentah ke Singapura: Singapura boleh memasang paip air dasar laut merentas Selat Teberau. Itupun jika mereka masih berminat membeli air mentah daripada Malaysia.

Sebagai jiran yang baik, kita seharusnya terus menawarkan penjualan air kepada Singapura kerana itu bahan asas yang sangat diperlukan. Kita kan jiran yang baik.

p/s: Jika Scomi, ICM atau mana-mana syarikat kroni berhasrat mengaut untung dengan menjual pasir kepada Singapura, pastikan ia dijual pada harga yang tinggi. (Takpe, rakyat takkan mampu marah. Kan negara ini milik bapa?)

Friday, November 03, 2006

Siasat Khir Toyo

Angkatan Muda keADILan Malaysia bersama-sama Pemuda Pas Selangor dan DAP hari ini (3 November 2006) telah membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Mohd Khir Toyo kerana disyaki terlibat dalam salahguna kuasa dengan meluluskan tanah kepada Zizah Ngah, isteri Zakaria Deros.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 Shah Alam.

Tanah yang dijadikan tapak Istana Zakaria di Kampung Idaman, Klang telah diberikan kepada Zizah dengan hanya membayar satu premium yang sangat rendah. The Star 31 Oktober melaporkan bahawa beliau hanya membayar RM46,000.00 untuk tanah tersebut yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta.

Malah Khir sebelum ini telah dituduh terlibat dalam pelbagai skandal pemberian tanah yang menguntungkan beberapa kerat pemimpin UMNO dan kaum keluarga mereka. Khir adalah EXCO Tanah dan Kewangan Negeri Selangor.

Laporan polis tersebut kemudian cuba diserahkan kepada Menteri Besar di Bangunan SUK berdekatan. Namun ia diterima oleh seorang pembantu Khir. Angkatan Muda keADILan diketuai oleh Pemangku Ketua, Shamsul Iskandar Md. Akin.

Di dalam kenyataan media beliau, Shamsul mendesak agar semua perlakuan rasuah dan salahguna kuasa ini disiasat dengan segera. Sekiranya pihak berkuasa terus gagal mengambil tindakan, Angkatan Muda keADILan Malaysia tidak menolak kemungkinan memulakan Pendakwaan Persendirian (Private Prosecution) terhadap Khir.

Saturday, October 28, 2006

Apa akan jadi dengan Zakaria Deros

Apa yang akan terjadi dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Zakaria Deros setelah beliau mengadap Sultan Selangor hari ini (28 Oktober 2006)?

Apakah akan ada pihak yang meminta semua pihak akan tidak membangkitkan lagi perkara pembinaan mahligainya hanya kerana Sultan sendiri sudah diberikan penjelasan oleh Zakaria. Seringkali berlaku sebelum ini, Raja-raja Melayu dilibatkan dalam sesuatu skandal yang dilakukan oleh pemimpin parti pemerintah sekadar untuk menghentikan perdebatan rakyat.

Pada hemat saya, tindakan bersungguh-sungguh perlu diambil terhadap Zakaria. Denda RM24,000.00 sama sekali tidak memadai memandangkan Zakaria adalah seorang jutawan yang mampu membina mahligai itu.


Kita perlu melihat aspek kesan pembinaan mahligai sebesar itu terhadap penduduk di sekitarnya. Ia sudah pasti memberikan tekanan kepada penduduk sekeliling yang keadaan rumah mereka tidak begitu elok.

Justeru pendekatan yang lebih baik saya kira ialah bukan untuk merobohkan mahligai tersebut. Sebaliknya Zakaria perlu membiayai kos untuk menaik taraf rumah-rumah yang berada di sekeliling mahligainya.

Ini akan menjadikan perbezaan taraf hidup di kawasan tersebut tidak begitu ketara. Pada saya ini adalah sesuatu yang penting kerana perbezaan yang terlalu ketara akan menimbulkan tekanan hidup kepada masyarakat.

Atas faktor yang sama pihak berkuasa tempatan seharusnya tidak memberi kebenaran kepada pemilik rumah teres di kawasan perumahan untuk mengubahsuai rumah mereka dengan keterlaluan sehingga 'menenggelamkan' rumah-rumah jiran.

Polis perlu bertindak segera

Lim Guan Eng seperti dilaporkan oleh The Star 27 Oktober mengatakan bahawa jumlah anggota polis yang melakukan tugas-tugas pencegahan jenayah tidak mencukupi. Perkara ini sudah banyak kali saya katakan sebelum ini, umpamanya dalam Langkah setapak, riuh sekampung dan Polis bail-out Proton. Cuma Guan Eng mempunyai data dan maklumat yang lebih lengkap.

Guan Eng sependapat dengan saya bahawa anggota polis perlu disusun semula tugasnya untuk menambah anggota yang terlibat secara aktif (frontline) dalam mencegah jenayah.

Saya kira sudah sampai masanya pihak polis dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengambil langkah konkrit untuk mencegah jenayah dan bukan sekadar membuat pengumuman demi pengumuman tanpa tindakan praktikal.

Saya kira berhentinya Menteri Keselamatan Dalam Negeri daripada memberi komen mengenai isu ada satu permulaan yang baik, kerana beliau tidak mempunyai tumpuan dan daya imaginasi untuk menzahirkan penyelesaian.

Atau mungkin juga beliau begitu hanya kerana disibukkan oleh 'pertempuran' dengan Mahathir Mohamad dan beriya-iya menyakinkan bahawa Malaysia bukan negara polis.

Friday, October 27, 2006

Salam

Eid Mubarak. Minal Aidil wal Faizin.

Selamat pulang daripada bercuti kepada semua yang telah dan akan kembali sedikit masa lagi.

Sudah agak lama saya tidak membuat entri baru dalam blog. Kesibukan adalah salah satu faktor. Namun sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa yang harus ditulis. Apa yang sebenarnya menarik minat pembaca dan benar-benar mengesankan.

Pada hemat saya, komen-komen dan ulasan saya mengenai isu sebelum-sebelum ini tidak begitu bermakna kerana ramai yang mengetahui keadaan sebenar isu yang dibangkitkan. Yakni, jika pun saya tidak memperkatakannya, orang ramai sudah sedia maklum.

Justeru apa seharusnya yang saya tulis? Harap diberikan idea dan cadangan. Terima kasih.

Tuesday, October 17, 2006

Kawalan atau mengawal

Alkisah sebuah cerita, Pok Leh begitu amarah akan tuduhan orang bahawa dia sudah hilang kawalan. Kata Pok Leh, "Macam mana aku boleh hilang kawalan, sedangkan dari awal aku tak pernah mampu mempunyai kawalan?"

Seloka orang perkauman


Episod yang dicetuskan oleh laporan kajian Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI) mengenai ekuiti Bumiputra di negara ini nampaknya mempunyai kesan berantai yang masih tidak mahu padam.

Pada hemat saya kenyataan-kenyataan Mohd. Najib Razak, Lim Kheng Yaik dan yang terbaru Samy Velu adalah sebagai penerusan seloka perkauman yang sudah sering mereka dendangkan sebelum ini.

Sebagai parti perkauman, komponen-komponen Barisan Nasional hanya perlu mendapatkan sokongan saku kaum semata-mata. Apabila pemimpin UMNO mendendangkan mengenai hak Melayu, DEB dan menjadikan kaum Tionghua sebagai bogeyman atau si penjahat yang sentiasa mahu merampas 'hak' Melayu maka mereka berharap akan meraih sokongan Melayu.

Parti Gerakan yang semakin terancam di Pulau Pinang pula menggunakan isu yang sama untuk mengukuhkan imej mereka sebagai juara kaum Cina. Justeru metodologi dan data kerajaan didesak Keng Yaik agar didedahkan.

Namun Samy Vellu hari ini terpaksa mengambil pendirian 'budak baik' dengan mengatakan bahawa beliau akan hanya menggunakan saluran dalaman, yakni perbincangan di dalam kabinet untuk menyelesaikan masalah dan kemelut yang dihadapi. Samy yang baru mendapat mandat besar di dalam MIC dan pada masa yang sama parti-parti masyarakat India yang lain tidak memberikan cabaran serius, tidak perlu mengapi-apikan semangat kaum India.

Pada masa yang sama, Samy tidak boleh menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu kerana tidak ada satu pun kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti India di Malaysia. Kebanyakan kerusi yang diwakili MIC adalah kawasan di mana masyarakat Melayu adalah kelompok terbesar.

Motif dan kepentingan-kepentingan ini mendasari pendekatan parti-parti komponen BN. Membela kepentingan rakyat tidak menjadi dasar mereka.

Jika parti-parti perkauman yang memegang kuasa ini serius untuk menyelesaikan masalah rakyat dan pertikaian mengenai pembahagian kekayaan negara, seharusnya mereka sudah lama mengambil tindakan-tindakan konkrit untuk memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil.

Tindakan afirmatif tidak seharusnya ditunjangi oleh faktor kaum. Setiap rakyat yang memerlukan bantuan negara perlu dibantu tanpa memandang kepada warna kulit atau apa jua faktor lain.

Namun parti-parti perkauman ini sudah terlalu lama beroperasi dengan jayanya dalam kerangka perkauman. Gerakan yang berpura-pura mambela kepentingan masyarakat Tionghua sebenarnya mahukan dasar perkauman DEB diteruskan. Ia pula menjadi bogeyman untuk menakut-nakutkan masyarakat Tionghua.

Justeru hanya rakyat yang mampu menyedarkan mereka bahawa masanya sudah tiba. Malaysia mahu berubah. Tekad baru rakyat ini harus dizahirkan bagi memastikan negara dapat maju dengan berdasarkan kejujuran antara semua entiti yang membentuk negara ini. Hanya rakyat mampu merungkai kompromi perkauman yang selama ini menyekat kemajuan dan keharmonian sebenar negara kita.

Saturday, October 14, 2006

Kerangka pemikiran polis yang terperangkap

Saya menonton berita televisyen 13 Oktober 2006. Ketua Trafik Persekutuan mengumumkan mengenai amaran kepada Mat Rempit. Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang berlumba haram.

Syabas! Memang sepatutnya tindakan diambil. Tetapi malang, beliau mengumumkan tindakan tegas itu hanya akan diambil selepas musim perayaan.

Justeru sementara itu, saya kira Mat dan Minah Rempit perlu mengambil peluang seluas-luasnya sepanjang bulan Ramadhan ini.

Seharusnya tindakan proaktif dan progresif (bukanlah pula seperti pesta rempit anjuran Putera UMNO) perlu diambil pihak polis untuk mencegah lumba haram.

Kegiatan itu bukan lagi sekadar menjadi gangguan malah sudah menjadi ancaman kepada keselamatan pengguna jalanraya. Pihak polis perlu memberi perhatian segera untuk menjamin keselamatan pengguna jalanraya.

Ancaman-ancaman bertempoh seperti ini tidak ada gunanya selain daripada PR exercise untuk meredakan kemarahan orang ramai untuk sementara waktu.


Tiada lagi pondok trafik semasa OPS Sikap
Pada majlis yang sama, beliau juga mengumumkan bahawa amalan mewujudkan pondok polis trafik di lebuhraya dan jalan-jalan utama sepanjang OPS Sikap tidak akan diteruskan tahun ini.

Katanya, ini adalah untuk mengelakkan sikap hipokrit pemandu yang hanya memperlahankan kenderaan apabila melihat pondok-pondok tersebut.

Pada hemat saya, pemikiran beliau adalah terperangkap dengan kerangka pemikiran perangkap had laju. Beliau mahu memerangkap pemandu yang memandu melebihi had.

Namun pada saya, adalah lebih utama untuk mencegah mereka daripada memandu laju atau lebih tepat secara berbahaya, khususnya di kawasan-kawasan yang tinggi risiko kemalangan. Justeru apabila ada pondok polis di kawasan-kawasan berbahaya ini, mereka akan memandu secara tertib. Bukankah itu baik untuk mengelakkan kemalangan?

Saya kira polis perlu mengenepikan nafsu untuk menangkap dan mengeluarkan saman terhadap pemandu. Elakkan kemalangan dan bukan hanya mengumumkan, "pemandu tersebut telah disaman sebelum ini." Tidak ada guna saman itu jika pemandu terlibat sudah tidak bernyawa lagi. Lebih malang jika orang yang tidak bersalah juga menjadi mangsa kemalangan tersebut.

Wednesday, October 11, 2006

Melatih generasi muda Malaysia menjadi penjenayah

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Lee Lam Thye dilaporkan oleh berita televisyen hari ini (11 Oktober 2006) sebagai begitu bersungguh-sungguh hendak mengheret mereka yang gagal hadir Program Latihan Khidmat Negara dan seterusnya menyumbat mereka ke penjara.

Katanya tidak perlu sama sekali meminda Akta Latihan Khidmat Negara bagi menyediakan peruntukan untuk hukuman khidmat sosial bagi mereka yang didapati bersalah melanggar undang-undang dengan tidak hadir di PLKN.

Pada hemat saya, pemikiran yang beranggapan bahaya menyumbat anak-anak muda Malaysia ke penjara sebagai jawapan bagi segala kesalahan adalah fikiran yang simplistik, malas dan lebih gemar mengambil jalan mudah.

Apakah penjara penyelesaian atau permulaan kepada masalah golongan muda?

Pada asalnya penjara adalah tempat untuk para tahanan dididik. Jika mereka akhirnya terdidik menjadi manusia yang lebih baik seperti Pak Rashid, maka pemenjaraan mendatangkan kesan positif.

Namun pendidikan di penjara adalah jalan dua hala (a two way street). Anak-anak muda yang dipenjarakan sering mendapat pendidikan daripada tahanan-tahanan senior atau penjenayah tegar. Bukan kita tidak pernah mendengar laporan mengenai penjenayah yang mengawal empayar jenayah mereka dari penjara.

Justeru penjara memberi kesan negatif kepada anak-anak muda tersebut dan juga masyarakat keseluruhannya. Mereka yang digiring ke penjara dengan ilmu untuk melakukan jenayah kecil-kecilan boleh keluar dari penjara dengan segulung ijazah atau diploma dalam melaksanakan jenayah berat.

Hukuman penjara juga menambahkan beban kewangan terhadap rakyat. Kos untuk memenjarakan seseorang bukan sedikit. Pada masa yang sama sistem penjara di Malaysia (malah di mana-mana negara) menghadapi masalah kesesakan.

Justeru jika ada sekalipun program untuk mendidik para tahanan, ia tidak mampu mengendalikan jumlah tahanan yang melebihi kapasiti pusat tahanan.

Pihak polis juga mempunyai kecenderungan kini untuk menggunakan Ordinan Darurat (EO) untuk menahan tanpa bicara remaja yang disyaki terlibat dalam perlakuan jenayah. Mereka ini ditahan atas kehendak Menteri Keselamatan Dalam Negeri tanpa peluang untuk membela diri. (Baca entri sebelum ini Menteri sebagai pendakwa, hakim dan penghukum).

Semua ini tidak menyelesaikan masalah. Ia hanya mengalihkan untuk sementara pelakunya. Tetapi kemudiannya mereka akan kembali dengan masalah yang jauh lebih besar.

Di England misalnya, berlaku perdebatan hangat mengenai merit Khidmat Sosial sebagai ganti kepada hukuman penjara. Ketua Hakim Negara England sendiri menyatakan secara terbuka pandangannya bahawa khidmat sosial adalah alternatif yang lebih baik. Malah beliau menyamar sebagai seorang yang melanggar undang-undang dan dihukum dengan khidmat sosial untuk membuktikan keberkesanan khidmat sosial menggantikan pemenjaraan.

Namun persoalan yang utama ialah, pertama-tamanya apakah mereka yang tidak hadir PLKN benar-benar penjenayah? Apakah patut negara memusuhi mereka? Apakah perlu kita melayan mereka sebagai penjenayah?

Mungkinkah sikap pemerintah ini sebagai untuk memenuhi ramalan sendiri (to fulfill their own prophecy) apabila anak-anak muda ini keluar daripada penjara dan benar-benar menjadi penjenayah?

Tuesday, October 10, 2006

Mega Leap dan Great Leap


Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mencadangkan suatu program yang dikatakan akan membebaskan 10,000 keluarga daripada belenggu kemiskinan. Program itu dinamakan Lonjakan Mega Luar Bandar. Saling tak tumpah dengan namanya dengan program The Great Leap Forward yang pernah dilakukan oleh Mao Dze Dong di China pada tahun 1958.

Menteri bertanggungjawab, Abdul Aziz Shamsuddin menyatakan bahawa program yang menelan belanja RM 1 bilion ini akan melibatkan pembinaan infrastruktur seperti jambatan, jalanraya, utiliti dan rumah selain pembangunan perladangan komersil, perikanan dan ternakan. Perhatian juga akan diberikan kepada pembangunan insan khususnya melalui pendidikan pra sekolah.

Pada hemat saya, semua ini adalah kemudahan-kemudahan yang memang sepatutnya sudah disediakan oleh kerajaan. Namun sekarang Abdul Aziz bercadang untuk mengambil alih peranan yang seharusnya dimainkan oleh beberapa kementerian dan mengawal peruntukan RM 100 ribu untuk setiap keluarga.

Apakah ini sebagai testimoni kegagalan kementerian-kementerian lain termasuk Kerja Raya; Pertanian dan Industri Asas Tani; Tenaga, Air dan Komunikasi; Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Atau apakah ini sebenarnya satu usaha Aziz untuk mewujudkan satu super ministry dan memperkukuhkan kedudukan beliau yang dikhabarkan semakin menghadapi masalah kerana kesetiaan yang berbelah bagi antara kepada Abdullah Badawi dan Mahathir Mohamad.

Saya kira rancangan ini perlu dibentangkan secara terperinci untuk dinilai oleh rakyat. Kenapa ia tidak dibentangkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan atau Belanjawan 2007? Apakah keperluan RM 1 bilion itu sudah diperuntukkan di dalam Belanjawan. Jika tidak bagaimana kerajaan akan mendapatkan pembiayaannya? Apakah dengan membentangkan Belanjawan Tambahan?

Saya kira perbelanjaan di luar Belanjawan sebegini perlu dihentikan. Segala-galanya perlu dirancang dengan teliti dan dibentangkan di Parlimen untuk dibahas dan diluluskan. Perlu ada ketelusan.

Sekurang-kurangnya mungkin ada yang boleh mencadangkan agar nama program ini ditukar kerana mempunyai nama yang seperti program Mao Dze Dong bukanlah sesuatu yang baik. Tambahan pula program di China itu mengakibatkan kematian berjuta rakyat China dan mengakibatkan negara tersebut bukan melonjak ke hadapan, tetapi mundur ke belakang.