Sunday, February 25, 2007

Apakah kerajaan?

Dua hari lepas Abdullah Badawi membuat kenyataan menafikan bahawa Indeks Komposit Bursa Kuala Lumpur meningkat kerana campur tangan kerajaan.

Saya yakin Abdullah percaya penuh dengan kenyataannya itu. Ini kerana pada anggapannya PNB, KWSP, Tabung Haji, KWAP, Khazanah Nasional, Menteri Kewangan diPerbadankan dan semua dana dan syarikat besar yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan tidak menjadikan mereka kerajaan.

Ini sebagaimana beliau menganggap tindakan Penerbangan Malaysia Berhad membeli pesawat mewah untuk disewakan bagi kegunaan beliau bukan bermakna kerajaan yang membeli, tetapi hanya PMB.

Mungkin pada pandangan Abdullah, kerajaan hanya bermaksud Abdullah Badawi, Kamaluddin, Nori, Khairy Jamaluddin dan isteri barunya atau bakal isteri barunya. Itu sahaja kerajaan di negara ini - keluarga Perdana Menteri yang sibuk membolot kekayaan negara.

Wednesday, February 21, 2007

Menara Tinjau Polis tidak selamat

Utusan Malaysia hari ini 21 Februari 2007 melaporkan bahawa 5 menara tinjau sepanjang jalan persekutuan untuk PDRM meninjau trafik adalah tidak selamat.

Apakah 5 ini sebahagian daripada menara yang sebelum ini dilaporkan bernilai RM70,000 sebuah? Lihat Rumah Mewah di tepi Lebuhraya.

Namun di dalam laporan Utusan ini nilainya dikatakan kurang RM100,000 sebuah. Maknanya daripada bernilai RM1 sehingga RM 99,999. Namun jika sebelum ini diletakkan RM 70 ribu, tetapi sekarang kurang RM100 ribu maka kemungkinan besar melebihi RM70 ribu sebuah.

Apa ini? Menara tinjau bagaimana yang hendak dibina? Lebih mahal daripada rumah kos sederhana.

Friday, February 16, 2007

Don't cross the line!

Daripada puing-puing kemusnahan, daripada api yang membakar bangkit jentayu.

Justeru hiruk-pikuk dan kelam kabut yang berlaku akibat perletakan jawatan Ezam Mohd Nor saya anggap sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih hebat untuk keADILan. Saya semestinya menaruh harapan besar untuk beliau menarik balik keputusan tersebut.

Sememangnya keadaan ini bisa melumpuhkan, bisa memparahkan parti kita yang masih muda. Namun jika kita bersedia, mahu dan mampu mengendalikannya dengan baik maka kita akan dapat meraih kebaikan.

Perbezaan pendapat memang sentiasa akan wujud. Percanggahan pendekatan adalah sunnah orang berorganisasi. Namun seperti kata Anwar Ibrahim kepada Angkatan Muda Keadilan semalam (15 Februari 2007), "jangan melanggar batasan. Don't cross the line."

Namun di mana garis sempadan yang terlarang dilanggar itu?

Saya kira mungkin ramai yang tidak tahu dan ramai pula yang tergoda untuk melanggar larangan dan melakukan perkara yang ditegah. Bukankah kita keturunan Adam yang termakan godaan Iblis sehingga memakan buah Khuldi yang jelas tegahannya dan natijahnya terbuang ke bumi?

Itu buah khuldi yang nyata dan terang. Sekarang kita berhadapan dengan garis sempadan yang tidak dapat dilihat dengan mata zahir.

Kata Anwar lagi, "apabila kita beristighfar, kita akan menjadi lebih merendah diri."

Monday, February 12, 2007

Syed Husin Ali untuk Timbalan Presiden

Mesyuarat Perhubungan keADILan Selangor semalam (11 Februari 2007) mengambil keputusan untuk Bahagian-bahagian di seluruh Selangor mencalonkan Anwar Ibrahim untuk jawatan Presiden dan Syed Husin Ali dicalonkan semula untuk Timbalan Presiden.

Rumah mewah di tepi lebuhraya

Media massa melaporkan kenyataan Chan Kong Choy, Menteri Pengangkutan mengenai pembinaan menara tinjau untuk polis mengawasi trafik di sepanjang lebuhraya dan jalan utama di seluruh negara.

Menara kali ini binaan kekal berbanding menara sementara sebelum ini.

Kos sebuah menara ialah RM70 ribu! Lebih hebat daripada sebuah rumah lengkap kos rendah dan sederhana. Kenapa begitu mahal sebuah menara kecil sebegitu? Apakah akan dibina lengkap dengan tandas, ruang tamu dan dapur?

Bina sahaja balai polis di tepi lebuhraya!

Negara mewah, rakyat papa

Media massa kebelakangan ini memaparkan mengenai keadaan negara kita Malaysia yang dikatakan semakin mewah dan kaya. Baca entri sebelum ini: Beraja di mata, Bersultan di hati. Namun berita TV3 semalam (11 Februari 2007) memaparkan mengenai keperitan rakyat Malaysia yang terpaksa meminjam wang daripada ah long. Antara perkara yang dibangkitkan ialah pengurangan jumlah bank daripada 38 kepada hanya 10 akibat dasar penggabungan bank dan institusi kewangan.

Perkara dasarnya ialah rakyat Malaysia kesempitan wang sehingga terpaksa meminjam daripada ah long. Berlawanan sekali dengan media spin New Straits Times sebelum ini bahawa rakyat Malaysia kaya dan berbelanja besar di gerai tepi jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Saturday, February 10, 2007

Beraja di mata, Bersultan di hati

Media massa kebelakangan ini melaporkan mengenai keadaan Malaysia yang kaya raya dan mewah. Rizab luar negara meningkat, GDP dijangka meningkat, dagangan negara mencecah RM 1 trillion.

Malah New Straits Times pergi lebih jauh mengatakan bahawa rakyat Malaysia mempunyai lebihan wang dan kerana itu aktiviti perniagaan runcit semakin meningkat. Contoh yang diberikan ialah pengunjung di gerai-gerai sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman semakin ramai.

Media Spin ini saya percaya tidak lain tidak bukan ialah untuk mengabsahkan atau meredhakan kenaikan kadar elektrik, petrol, air dan tol secara berturut-turut seperti yang menimpa rakyat khususnya di Lembah Klang baru-baru ini.

Jika rakyat Malaysia khususnya di Lembah Klang kaya raya sehingga mereka mampu berbelanja dengan lebih aktif di gerai Jalan Tuanku Abdul Rahman, apa salahnya mereka memberi lebih banyak kepada kerajaan dan syarikat-syarikat kroni.

Ketika negara mewah dan kaya raya, apa salahnya Perdana Menteri berbelanja besar membeli jet mewah dan hidup mewah dengan kapal layar yang dihadiahkan oleh seorang tokoh korporat Malaysia yang sudah tentu mendapat untung bertambah-tambah sekarang kerana perniagaan yang semakin berkembang dan menguntungkan?

Saya kira tidak lama lagi, Abdullah perlu memerintahkan rakyat untuk mempersembahkan beliau hadiah-hadiah yang mewah dan hebat sebagai tanda terima kasih mereka kepada beliau sebagaimana kapal layar mewah dihadiahkan. Baru sempurna untuk Abdullah Beraja di mata, Bersultan di Hati.

Namun, apakah benar rakyat Malaysia semakin kaya dan mewah?

Atau apakah peningkatan pengunjung ke gerai di Jalan Tuanku Abdul Rahman ialah kerana penduduk Lembah Klang kini hanya mampu berbelanja di gerai-gerai dan tidak lagi di kompleks membeli-belah?

Thursday, February 08, 2007

Gambar Protes di IOI Mall


Lau, wartawan Suara Keadilan mengirimkan saya gambar ini. Di berbaju belang terbaring di tanah setelah diasak oleh polis dalam Protes Tol di IOI Mall, Puchong 4 Februari lalu.

Saya berbaju biru, cuba menghalang polis daripada membelasah beliau. Sejurus kemudian, leher saya dipaut oleh seorang polis berpakaian preman sebelum beberapa lagi menarik saya, terus mendudukkan saya ke tanah dan menggari tangan saya ke belakang.

Berulang kali saya katakan, "Polis tidak perlu ganas!"

Tangkap boleh tangkap kerana mereka ada kuasa, tetapi kenapa perlu ganas terhadap rakyat yang tidak melawan?

Monday, February 05, 2007

Lihat Kuasa Rakyat!

Pada 4 Februari 2007, saya ditahan di perkarangan IOI Mall, Puchong dalam perhimpunan rakyat membantah TOL. Saya ditahan, digari ke belakang dan dibawa ke Balai Polis Puchong di dalam trak polis.

Saya kira keadaan yang berlaku, ramai yang sudah maklum. Keganasan segelintir anggota polis terhadap rakyat juga sudah menjadi lumrah yang sedia diketahui.

Namun dalam perhimpunan semalam, perbezaan yang paling ketara ialah keteguhan hati rakyat untuk kekal di hadapan Balai Polis Puchong sehingga kesemua mereka yang ditahan dibebaskan kira-kira jam 8.30 malam, meskipun mereka diancam oleh Pasukan 4 FRU yang lengkap dengan meriam (water cannon) dan anjing.

Dalam perhimpunan itu juga, sebahagian besar ialah kalangan masyarakat Tionghua. Ini adalah satu perkembangan, bagi saya, yang paling menarik. Ia menunjukkan kemarahan rakyat terhadap BN semakin meningkat akibat kehidupan mereka yang semakin disempitkan.

Berbeza dengan perhimpunan di Cheras sebelum ini, kelompok kali ini jauh lebih besar. Beberapa faktor boleh dikenalpasti menjadi penyebab. Saya kira yang utama ialah usaha keADILan Selangor menggerakkan ahli dan penyokong di seluruh negeri. Kerana itu yang ditahan hampir semuanya adalah ahli dan penyokong keADILan, malah seorang daripada mereka kekal memegang bendera keADILan sehingga akhir.

Saya cenderung memikirkan bahawa leih ramai orang yang hadir kerana marah dengan keganasan tidak perlu polis di Cheras-Kajang dulu. Benarkah begitu?

Namun masih banyak yang kita perlu lakukan. Sebaran maklumat dan usaha meningkatkan kesedaran rakyat perlu digiatkan. Suatu perkara yang perlu kita tangani ialah sikap mudah kalah (defeatist) yang cuba disemai di kalangan rakyat bahawa mereka tidak mungkin melakukan perubahan.

Seperti kata Dato' Seri Anwar: Kamu boleh buat apa yang kamu mahu kerana kamu ada kuasa. Tetapi sekarang rakyat akan tunjukkan kuasa mereka." Justeru kita mesti pastikan KUASA RAKYAT ditunjukkan.

Nantikan... Akan datang perhimpunan rakyat yang lebih besar membantah tol!

Sunday, February 04, 2007

Jawab jangan tak jawab!

Malam tadi (3 Februari 2007), saya hadir di Taman Medan untuk satu rapat umum yang sepatutnya diadakan di padang. Tetapi pada sebelah paginya, pihak berkuasa telah memberikan kontrak kepada sebuah syarikat untuk meletakkan penghalang konkrit di setiap pintu masuk ke padang tersebut yang sememangnya berpagar.

Anwar Ibrahim sepatutnya berceramah selepas Sivarasa, Tan Sri Khalid, Ezam, Roslan SMS. Tetapi kesemua mereka ditegah daripada menyampaikan ucapan. Ini menyebabkan orang ramai gelisah. Anwar sendiri berunding dengan OCPD yang bertegas mengatakan adalah menjadi kuasa beliau untuk memberi kebenaran atau menghalang program tersebut. Segala hujah enggan didengari beliau kerana pegawai SB di sebelahnya tetap memberi isyarat menghalang.

Akhirnya Anwar memberi kata dua, "kamu boleh buat apa yang mahu kerana kamu ada kuasa. Tetapi sekarang rakyat akan tunjukkan kuasa mereka." OCPD tergamam tidak menjawab.

Sekaligus beliau menuju ke arah lori yang dijadikan pentas ceramah. Ezam segera memulakan ucapan. Akhirnya pihak polis mengalah dengan kuasa rakyat dan memberi kebenaran 10 minit untuk Anwar seorang sahaja berucap.

Di dalam ucapannya Anwar mengatakan, "Abdullah Badawi mesti dengar. Najib mesti lebih-lebih lagi dengar. Khir Toyo... tak payahlah." (menunjukkan Khir Toyo yang terlalu sibuk dengan mekap dan mencantikkan muka tidak penting sama sekali).

Isunya ialah mengenai pembelian kapal layar mewah Cobra King dan pembelian kapal terbang termaju untuk antara lain kegunaan Abdullah. Berkenaan Najib pula ialah mengenai proksinya, Razak Baginda yang menerima lebih RM500 juta komisen untuk pembelian senjata. Selain itu isu pembunuhan kejam Altantuya yang dituduh melibatkan pegawai keselamatan Najib.

Ucapan Anwar disambut oleh desakan rakyat agar Abdullah dan Najib bukan sekadar mendengar tetapi juga menjawab semua persoalan yang dibangkitkan.

Amacam, ada berani?

Saturday, February 03, 2007

Sudah terbit! Selangor Baru

Parti Keadilan Rakyat Negeri Selangor telah menerbitkan suatu risalah berkala dengan nama SELANGOR BARU. Keluaran pertama ialah Januari 2007.

Sebanyak 10,000 naskhah telah diedarkan ke seluruh negeri Selangor. Namun jumlah ini sudah barang tentu tidak mencukupi. Kerana itu mereka yang menerimanya diharap dapat membuat salinan untuk diedarkan kepada saudara mara, jiran-jiran dan teman. Ia dalam saiz A3, satu warna yang mudah difotostat.

Di samping itu, sesiapa yang ingin mendapatkan SELANGOR BARU di dalam format pdf (saya namakan SELANGOR BARU versi Digital) sila hubungi saya di e-mel ahmadyamani@gmail.com atau tinggalkan alamat e-mel anda di ruangan comments di bawah.

Versi Digital dalam format pdf ini mudah dimuat turun dan dibaca menggunakan Acrobat Reader. Ia juga boleh dicetak. Saiz asal ialah 2 muka A3 atau 4 muka A4. Jika dicetak pada saiz A4 landscape, hanya dua mukasurat. Meskipun kecil tulisannya, ia masih boleh dibaca.

Saya pohon kerjasama semua untuk menyebarkan maklumat dengan cara ini. Semoga ia dapat memberi sumbangan ke arah membina kesedaran di kalangan rakyat dan menegakkan kerajaan Adil di negara kita.

Antara isu menarik ialah penjelasan mengenai boikot pilihanraya oleh Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khalid Ibrahim, isu OSA dan tol oleh Ezam Mohd Nor di samping berita mengenai rasuah komisen pembelian senjata dan sudah tentu kes Altantuya.

Thursday, February 01, 2007

OSA: Rakyat mesti bertindak

Tindakan polis memulakan siasatan terhadap empat orang -- Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Dr. Hatta Ramli, Ronnie Liu dan Tian Chua berikutan laporan polis mengenai 'kecurian' dokumen 'rahsia' perjanjin konsesi lebuhraya adalah sesuatu yang benar-benar memalukan Malaysia.

Tatkala beribu-ribu lagi laporan polis, khususnya yang menyentuh amalan korup pemimpin BN, tidak dipedulikan; polis mampu bertindak pantas terhadap laporan polis oleh beberapa orang yang mendakwa mewakili mahasiswa ini.

Saya kira sudah sampai masanya rakyat bertindak, terutamanya dalam menghadapi penyalahgunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Sekarang OSA sama sekali tidak melindungi keselamatan negara, malah ia mengancam kepentingan negara. OSA hanya sekadar untuk melindungi pemimpin BN dan kroni, seperti di dalam kes Ezam Mohd Nor yang mendedahkan dokumen BPR mengenai siasatan terhadap Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik.

Kita mesti mengusahakan satu gerakan aktif di seluruh negara dan peringkat antarabangsa untuk menghapuskan OSA, dan mewujudkan Akta Kebebasan Maklumat.