Saturday, October 28, 2006

Apa akan jadi dengan Zakaria Deros

Apa yang akan terjadi dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Zakaria Deros setelah beliau mengadap Sultan Selangor hari ini (28 Oktober 2006)?

Apakah akan ada pihak yang meminta semua pihak akan tidak membangkitkan lagi perkara pembinaan mahligainya hanya kerana Sultan sendiri sudah diberikan penjelasan oleh Zakaria. Seringkali berlaku sebelum ini, Raja-raja Melayu dilibatkan dalam sesuatu skandal yang dilakukan oleh pemimpin parti pemerintah sekadar untuk menghentikan perdebatan rakyat.

Pada hemat saya, tindakan bersungguh-sungguh perlu diambil terhadap Zakaria. Denda RM24,000.00 sama sekali tidak memadai memandangkan Zakaria adalah seorang jutawan yang mampu membina mahligai itu.


Kita perlu melihat aspek kesan pembinaan mahligai sebesar itu terhadap penduduk di sekitarnya. Ia sudah pasti memberikan tekanan kepada penduduk sekeliling yang keadaan rumah mereka tidak begitu elok.

Justeru pendekatan yang lebih baik saya kira ialah bukan untuk merobohkan mahligai tersebut. Sebaliknya Zakaria perlu membiayai kos untuk menaik taraf rumah-rumah yang berada di sekeliling mahligainya.

Ini akan menjadikan perbezaan taraf hidup di kawasan tersebut tidak begitu ketara. Pada saya ini adalah sesuatu yang penting kerana perbezaan yang terlalu ketara akan menimbulkan tekanan hidup kepada masyarakat.

Atas faktor yang sama pihak berkuasa tempatan seharusnya tidak memberi kebenaran kepada pemilik rumah teres di kawasan perumahan untuk mengubahsuai rumah mereka dengan keterlaluan sehingga 'menenggelamkan' rumah-rumah jiran.

Polis perlu bertindak segera

Lim Guan Eng seperti dilaporkan oleh The Star 27 Oktober mengatakan bahawa jumlah anggota polis yang melakukan tugas-tugas pencegahan jenayah tidak mencukupi. Perkara ini sudah banyak kali saya katakan sebelum ini, umpamanya dalam Langkah setapak, riuh sekampung dan Polis bail-out Proton. Cuma Guan Eng mempunyai data dan maklumat yang lebih lengkap.

Guan Eng sependapat dengan saya bahawa anggota polis perlu disusun semula tugasnya untuk menambah anggota yang terlibat secara aktif (frontline) dalam mencegah jenayah.

Saya kira sudah sampai masanya pihak polis dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengambil langkah konkrit untuk mencegah jenayah dan bukan sekadar membuat pengumuman demi pengumuman tanpa tindakan praktikal.

Saya kira berhentinya Menteri Keselamatan Dalam Negeri daripada memberi komen mengenai isu ada satu permulaan yang baik, kerana beliau tidak mempunyai tumpuan dan daya imaginasi untuk menzahirkan penyelesaian.

Atau mungkin juga beliau begitu hanya kerana disibukkan oleh 'pertempuran' dengan Mahathir Mohamad dan beriya-iya menyakinkan bahawa Malaysia bukan negara polis.

Friday, October 27, 2006

Salam

Eid Mubarak. Minal Aidil wal Faizin.

Selamat pulang daripada bercuti kepada semua yang telah dan akan kembali sedikit masa lagi.

Sudah agak lama saya tidak membuat entri baru dalam blog. Kesibukan adalah salah satu faktor. Namun sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa yang harus ditulis. Apa yang sebenarnya menarik minat pembaca dan benar-benar mengesankan.

Pada hemat saya, komen-komen dan ulasan saya mengenai isu sebelum-sebelum ini tidak begitu bermakna kerana ramai yang mengetahui keadaan sebenar isu yang dibangkitkan. Yakni, jika pun saya tidak memperkatakannya, orang ramai sudah sedia maklum.

Justeru apa seharusnya yang saya tulis? Harap diberikan idea dan cadangan. Terima kasih.

Tuesday, October 17, 2006

Kawalan atau mengawal

Alkisah sebuah cerita, Pok Leh begitu amarah akan tuduhan orang bahawa dia sudah hilang kawalan. Kata Pok Leh, "Macam mana aku boleh hilang kawalan, sedangkan dari awal aku tak pernah mampu mempunyai kawalan?"

Seloka orang perkauman


Episod yang dicetuskan oleh laporan kajian Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI) mengenai ekuiti Bumiputra di negara ini nampaknya mempunyai kesan berantai yang masih tidak mahu padam.

Pada hemat saya kenyataan-kenyataan Mohd. Najib Razak, Lim Kheng Yaik dan yang terbaru Samy Velu adalah sebagai penerusan seloka perkauman yang sudah sering mereka dendangkan sebelum ini.

Sebagai parti perkauman, komponen-komponen Barisan Nasional hanya perlu mendapatkan sokongan saku kaum semata-mata. Apabila pemimpin UMNO mendendangkan mengenai hak Melayu, DEB dan menjadikan kaum Tionghua sebagai bogeyman atau si penjahat yang sentiasa mahu merampas 'hak' Melayu maka mereka berharap akan meraih sokongan Melayu.

Parti Gerakan yang semakin terancam di Pulau Pinang pula menggunakan isu yang sama untuk mengukuhkan imej mereka sebagai juara kaum Cina. Justeru metodologi dan data kerajaan didesak Keng Yaik agar didedahkan.

Namun Samy Vellu hari ini terpaksa mengambil pendirian 'budak baik' dengan mengatakan bahawa beliau akan hanya menggunakan saluran dalaman, yakni perbincangan di dalam kabinet untuk menyelesaikan masalah dan kemelut yang dihadapi. Samy yang baru mendapat mandat besar di dalam MIC dan pada masa yang sama parti-parti masyarakat India yang lain tidak memberikan cabaran serius, tidak perlu mengapi-apikan semangat kaum India.

Pada masa yang sama, Samy tidak boleh menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu kerana tidak ada satu pun kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti India di Malaysia. Kebanyakan kerusi yang diwakili MIC adalah kawasan di mana masyarakat Melayu adalah kelompok terbesar.

Motif dan kepentingan-kepentingan ini mendasari pendekatan parti-parti komponen BN. Membela kepentingan rakyat tidak menjadi dasar mereka.

Jika parti-parti perkauman yang memegang kuasa ini serius untuk menyelesaikan masalah rakyat dan pertikaian mengenai pembahagian kekayaan negara, seharusnya mereka sudah lama mengambil tindakan-tindakan konkrit untuk memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil.

Tindakan afirmatif tidak seharusnya ditunjangi oleh faktor kaum. Setiap rakyat yang memerlukan bantuan negara perlu dibantu tanpa memandang kepada warna kulit atau apa jua faktor lain.

Namun parti-parti perkauman ini sudah terlalu lama beroperasi dengan jayanya dalam kerangka perkauman. Gerakan yang berpura-pura mambela kepentingan masyarakat Tionghua sebenarnya mahukan dasar perkauman DEB diteruskan. Ia pula menjadi bogeyman untuk menakut-nakutkan masyarakat Tionghua.

Justeru hanya rakyat yang mampu menyedarkan mereka bahawa masanya sudah tiba. Malaysia mahu berubah. Tekad baru rakyat ini harus dizahirkan bagi memastikan negara dapat maju dengan berdasarkan kejujuran antara semua entiti yang membentuk negara ini. Hanya rakyat mampu merungkai kompromi perkauman yang selama ini menyekat kemajuan dan keharmonian sebenar negara kita.

Saturday, October 14, 2006

Kerangka pemikiran polis yang terperangkap

Saya menonton berita televisyen 13 Oktober 2006. Ketua Trafik Persekutuan mengumumkan mengenai amaran kepada Mat Rempit. Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang berlumba haram.

Syabas! Memang sepatutnya tindakan diambil. Tetapi malang, beliau mengumumkan tindakan tegas itu hanya akan diambil selepas musim perayaan.

Justeru sementara itu, saya kira Mat dan Minah Rempit perlu mengambil peluang seluas-luasnya sepanjang bulan Ramadhan ini.

Seharusnya tindakan proaktif dan progresif (bukanlah pula seperti pesta rempit anjuran Putera UMNO) perlu diambil pihak polis untuk mencegah lumba haram.

Kegiatan itu bukan lagi sekadar menjadi gangguan malah sudah menjadi ancaman kepada keselamatan pengguna jalanraya. Pihak polis perlu memberi perhatian segera untuk menjamin keselamatan pengguna jalanraya.

Ancaman-ancaman bertempoh seperti ini tidak ada gunanya selain daripada PR exercise untuk meredakan kemarahan orang ramai untuk sementara waktu.


Tiada lagi pondok trafik semasa OPS Sikap
Pada majlis yang sama, beliau juga mengumumkan bahawa amalan mewujudkan pondok polis trafik di lebuhraya dan jalan-jalan utama sepanjang OPS Sikap tidak akan diteruskan tahun ini.

Katanya, ini adalah untuk mengelakkan sikap hipokrit pemandu yang hanya memperlahankan kenderaan apabila melihat pondok-pondok tersebut.

Pada hemat saya, pemikiran beliau adalah terperangkap dengan kerangka pemikiran perangkap had laju. Beliau mahu memerangkap pemandu yang memandu melebihi had.

Namun pada saya, adalah lebih utama untuk mencegah mereka daripada memandu laju atau lebih tepat secara berbahaya, khususnya di kawasan-kawasan yang tinggi risiko kemalangan. Justeru apabila ada pondok polis di kawasan-kawasan berbahaya ini, mereka akan memandu secara tertib. Bukankah itu baik untuk mengelakkan kemalangan?

Saya kira polis perlu mengenepikan nafsu untuk menangkap dan mengeluarkan saman terhadap pemandu. Elakkan kemalangan dan bukan hanya mengumumkan, "pemandu tersebut telah disaman sebelum ini." Tidak ada guna saman itu jika pemandu terlibat sudah tidak bernyawa lagi. Lebih malang jika orang yang tidak bersalah juga menjadi mangsa kemalangan tersebut.

Wednesday, October 11, 2006

Melatih generasi muda Malaysia menjadi penjenayah

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Lee Lam Thye dilaporkan oleh berita televisyen hari ini (11 Oktober 2006) sebagai begitu bersungguh-sungguh hendak mengheret mereka yang gagal hadir Program Latihan Khidmat Negara dan seterusnya menyumbat mereka ke penjara.

Katanya tidak perlu sama sekali meminda Akta Latihan Khidmat Negara bagi menyediakan peruntukan untuk hukuman khidmat sosial bagi mereka yang didapati bersalah melanggar undang-undang dengan tidak hadir di PLKN.

Pada hemat saya, pemikiran yang beranggapan bahaya menyumbat anak-anak muda Malaysia ke penjara sebagai jawapan bagi segala kesalahan adalah fikiran yang simplistik, malas dan lebih gemar mengambil jalan mudah.

Apakah penjara penyelesaian atau permulaan kepada masalah golongan muda?

Pada asalnya penjara adalah tempat untuk para tahanan dididik. Jika mereka akhirnya terdidik menjadi manusia yang lebih baik seperti Pak Rashid, maka pemenjaraan mendatangkan kesan positif.

Namun pendidikan di penjara adalah jalan dua hala (a two way street). Anak-anak muda yang dipenjarakan sering mendapat pendidikan daripada tahanan-tahanan senior atau penjenayah tegar. Bukan kita tidak pernah mendengar laporan mengenai penjenayah yang mengawal empayar jenayah mereka dari penjara.

Justeru penjara memberi kesan negatif kepada anak-anak muda tersebut dan juga masyarakat keseluruhannya. Mereka yang digiring ke penjara dengan ilmu untuk melakukan jenayah kecil-kecilan boleh keluar dari penjara dengan segulung ijazah atau diploma dalam melaksanakan jenayah berat.

Hukuman penjara juga menambahkan beban kewangan terhadap rakyat. Kos untuk memenjarakan seseorang bukan sedikit. Pada masa yang sama sistem penjara di Malaysia (malah di mana-mana negara) menghadapi masalah kesesakan.

Justeru jika ada sekalipun program untuk mendidik para tahanan, ia tidak mampu mengendalikan jumlah tahanan yang melebihi kapasiti pusat tahanan.

Pihak polis juga mempunyai kecenderungan kini untuk menggunakan Ordinan Darurat (EO) untuk menahan tanpa bicara remaja yang disyaki terlibat dalam perlakuan jenayah. Mereka ini ditahan atas kehendak Menteri Keselamatan Dalam Negeri tanpa peluang untuk membela diri. (Baca entri sebelum ini Menteri sebagai pendakwa, hakim dan penghukum).

Semua ini tidak menyelesaikan masalah. Ia hanya mengalihkan untuk sementara pelakunya. Tetapi kemudiannya mereka akan kembali dengan masalah yang jauh lebih besar.

Di England misalnya, berlaku perdebatan hangat mengenai merit Khidmat Sosial sebagai ganti kepada hukuman penjara. Ketua Hakim Negara England sendiri menyatakan secara terbuka pandangannya bahawa khidmat sosial adalah alternatif yang lebih baik. Malah beliau menyamar sebagai seorang yang melanggar undang-undang dan dihukum dengan khidmat sosial untuk membuktikan keberkesanan khidmat sosial menggantikan pemenjaraan.

Namun persoalan yang utama ialah, pertama-tamanya apakah mereka yang tidak hadir PLKN benar-benar penjenayah? Apakah patut negara memusuhi mereka? Apakah perlu kita melayan mereka sebagai penjenayah?

Mungkinkah sikap pemerintah ini sebagai untuk memenuhi ramalan sendiri (to fulfill their own prophecy) apabila anak-anak muda ini keluar daripada penjara dan benar-benar menjadi penjenayah?

Tuesday, October 10, 2006

Mega Leap dan Great Leap


Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mencadangkan suatu program yang dikatakan akan membebaskan 10,000 keluarga daripada belenggu kemiskinan. Program itu dinamakan Lonjakan Mega Luar Bandar. Saling tak tumpah dengan namanya dengan program The Great Leap Forward yang pernah dilakukan oleh Mao Dze Dong di China pada tahun 1958.

Menteri bertanggungjawab, Abdul Aziz Shamsuddin menyatakan bahawa program yang menelan belanja RM 1 bilion ini akan melibatkan pembinaan infrastruktur seperti jambatan, jalanraya, utiliti dan rumah selain pembangunan perladangan komersil, perikanan dan ternakan. Perhatian juga akan diberikan kepada pembangunan insan khususnya melalui pendidikan pra sekolah.

Pada hemat saya, semua ini adalah kemudahan-kemudahan yang memang sepatutnya sudah disediakan oleh kerajaan. Namun sekarang Abdul Aziz bercadang untuk mengambil alih peranan yang seharusnya dimainkan oleh beberapa kementerian dan mengawal peruntukan RM 100 ribu untuk setiap keluarga.

Apakah ini sebagai testimoni kegagalan kementerian-kementerian lain termasuk Kerja Raya; Pertanian dan Industri Asas Tani; Tenaga, Air dan Komunikasi; Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Atau apakah ini sebenarnya satu usaha Aziz untuk mewujudkan satu super ministry dan memperkukuhkan kedudukan beliau yang dikhabarkan semakin menghadapi masalah kerana kesetiaan yang berbelah bagi antara kepada Abdullah Badawi dan Mahathir Mohamad.

Saya kira rancangan ini perlu dibentangkan secara terperinci untuk dinilai oleh rakyat. Kenapa ia tidak dibentangkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan atau Belanjawan 2007? Apakah keperluan RM 1 bilion itu sudah diperuntukkan di dalam Belanjawan. Jika tidak bagaimana kerajaan akan mendapatkan pembiayaannya? Apakah dengan membentangkan Belanjawan Tambahan?

Saya kira perbelanjaan di luar Belanjawan sebegini perlu dihentikan. Segala-galanya perlu dirancang dengan teliti dan dibentangkan di Parlimen untuk dibahas dan diluluskan. Perlu ada ketelusan.

Sekurang-kurangnya mungkin ada yang boleh mencadangkan agar nama program ini ditukar kerana mempunyai nama yang seperti program Mao Dze Dong bukanlah sesuatu yang baik. Tambahan pula program di China itu mengakibatkan kematian berjuta rakyat China dan mengakibatkan negara tersebut bukan melonjak ke hadapan, tetapi mundur ke belakang.

Had Laju untuk kereta polis?


Televisyen 10 Oktober 2006 melaporkan mengenai seorang lelaki warga tua berusia 59 tahun di Menglembu, Perak yang terbunuh akibat dilanggar oleh sebuah kereta peronda polis. Ada laporan yang mengatakan kereta peronda jenis Proton Waja itu dipandu laju.

Laporan juga menyatakan kereta tersebut membawa seorang korporal dan seorang konstabel. Kejadian ini menimbulkan tanda tanya apakah mereka yang mengendalikan kereta peronda polis dalam keadaan laju mempunyai latihan dan pendedahan secukupnya?

Saya sendiri pernah hampir-hampir kemalangan dengan sebuah kereta peronda polis dari arah bertentangan yang membuat pusingan U secara tiba-tiba tanpa membunyikan siren kecemasan. Kejadian itu berlaku pada waktu malam dan saya tidak nampak sebarang kenderaan yang mungkin sedang dikejar mereka. Mujur saya sempat membrek kecemasan.

Saya membunyikan hon tanda protes. Ini menyebabkan mereka membunyikan siren dan memandu dengan lebih laju beredar pergi.

Sikap tidak bertanggungjawab anggota polis ini benar-benar menjadi ironi kerana mereka yang sepatutnya melindungi rakyat menjadi ancaman kepada keselamatan rakyat. Namun saya tidak pula fikir satu had laju serendah 80 kmj perlu ditetapkan untuk kereta polis. Cuma yang lebih perlu ialah latihan dan pendedahan secukupnya. Sikap bertanggungjawab juga perlu dipupuk.


10 kmj elakkan 25% kemalangan

Bagaimanapun pihak media dan mereka yang menyokong penuh cadangan mengurangkan had laju di jalan persekutuan sepanjang musim perayaan ini menyatakan bahawa pengurangan setiap 10 kmj had laju akan mengurangkan kemalangan sebanyak 25%.

Begitu yakin mereka. Justeru suka saya mencadangkan agar had laju dikurangkan sebanyak 40 kmj. Mengikut logik mereka tentu kemalangan akan dapat dihapuskan sama sekali sepanjang musim perayaan ini.

Saya secara terus terang menyatakan bahawa cadangan pengurangan had laju ini tidak mempunyai makna dan tidak akan berkesan selain daripada sekadar menjadi publicity stunt Ketua Polis Negara.

Namun demi keselamatan dan kepentingan rakyat, saya benar-benar berharap tanggapan saya ini salah dan mereka betul dalam mengambil tindakan mengurangkan had laju.

Hanya statistik kemalangan yang akan diperolehi boleh membuktikan andaian siapa yang lebih tepat.

Monday, October 02, 2006

Riuh rendah menjelang raya

The Star 2 Oktober 2006 melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Musa Hassan mengumumkan cadangan untuk menurunkan had laju di jalan-jalan persekutuan apabila orang ramai balik kampung dan kembali ke bandar sempena sambutan Aidilfitri dan Deepavali akan datang.

Setiap kali menjelang musim perayaan, akan ada pelbagai syor baru yang semuanya disandarkan kepada keinginan untuk cuba mengurangkan kadar kemalangan jalanraya.

Sudah semestinya usaha mengurangkan kemalangan, kecederaan dan kematian akibat kemalangan adalah sesuatu yang sangat mulia. Namun kadangkala cadangan yang diberikan adalah sama sekali tidak munasabah dan menjadi lelucon semata-mata.

Laporan yang sama memetik Lee Lam Thye sebagai tidak bersetuju dengan cadangan Musa. Alasannya, seperti yang mampu difikirkan oleh sesiapa juga yang memandu, apabila kenderaan dipandu perlahan dalam keadaan jutaan kenderaan berada di atas jalanraya sudah tentu akan mengakibatkan kemalangan.

Pada hemat saya, cadangan Musa ini boleh disalah anggap sebagai percubaan polis untuk mengaut lebih banyak wang hasil daripada saman yang akan dikeluarkan. Sudah tentu apabila lebih rendah had laju, lebih ramai yang akan dikenakan saman.

Saya tidak menuduh, tetapi ini boleh disalah anggap oleh orang ramai.

Pendekatan polis menyaman pemandu yang membawa laju juga sebenarnya tidak memberi sebarang kesan ke arah mengurangkan berlakunya kemalangan, tambahan pula jika polis menggunakan kamera perangkap had laju. Di dalam keadaan tertekan untuk segera sampai, sesetengah pemandu akan tidak mempedulikan ancaman perangkap had laju dan bersedia membayar saman yang akan dikenakan.

Polis perlu mencari jalan selamat untuk menghentikan pemandu yang memandu secara berbahaya dan menghalang dia daripada terus memandu. Seperti yang dikatakan oleh Lam Thye, yang penting ialah untuk pemandu cermat semasa memandu bukan semata-mata memandu perlahan.


Kereta terlalu banyak untuk jalan yang sempit

Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah pembangunan system lebuhraya dan jalanraya di Malaysia tidak selari dengan pertambahan kenderaan persendirian. Projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan menjadi tiga lorong dari Rawang ke utara misalnya masih tidak menunjukkan sebarang tanda akan dapat disiapkan segera.

Plaza tol juga menjadi satu penyebab utama kesesakan dan kelewatan perjalanan. Sistem kutipan tol yang lebih pantas perlu segera diadakan. Kawasan-kawasan seperti Sungai Besi-Jalan Duta, Ipoh Selatan-Jelapang, Juru-Sungai Dua di mana pemandu terpaksa melalui plaza tol sekalipun mahu meneruskan perjalanan perlu dipinda sistemnya agar pemandu boleh memandu terus tanpa perlu melalui begitu banyak plaza tol. Ini akan mengurangkan kesesakan.

Orang ramai juga perlu diberi insentif untuk menggunakan Touch n Go dan SmarTag. Seharusnya diskaun boleh diberikan kerana ia adalah sistem prabayar dan wang yang dikutip terlebih awal boleh digunakan oleh penyedia perkhidmatan untuk mendapatkan keuntungan. Ia seperti pengguna menyimpan wang dengan penyedia perkhidmatan Touch n Go. Tidakkah mereka layak menerima keuntungan daripadanya?

Jalanraya di Malaysia masih mempunyai banyak kawasan berbahaya dengan selekoh tajam atau terlindung. Ini yang harus diatasi.

Untuk jangka pendek, perkhidmatan bas, rel dan penerbangan tambang rendah perlu ditingkatkan untuk menampung jutaan rakyat yang akan balik kampung. Orang ramai perlu diyakinkan bahawa menggunakan pengangkutan awam adalah pilihan yang lebih selamat dan selesa.

Namun keyakinan ini ternyata akan sukar disemai apabila syarikat kereta nasional sendiri, Proton mengadakan kempen memburuk-burukkan (smear campaign) perkhidmatan pengangkutan awam menjelang musim perayaan.

Saya kira ini adalah satu taktik tidak bertanggungjawab semata-mata untuk meningkatkan jualan mereka. Pada hemat saya, bentuk kempen yang lain boleh difikirkan.

Sekolah Cina di Johor: Perkauman atau mempertahan penyelewengan?

Ternyata kini wujud penyelewengan di dalam projek pembaikan sekolah-sekolah jenis kebangsaan (Cina) di Johor. Siapa sebenarnya penjahat (culprit) yang menyebabkan negara membayar sehingga RM29 ribu untuk projek yang hanya bernilai RM3 ribu masih belum dapat dipastikan kerana siasatan Jabatan Kerja Raya belum diselesaikan.

Sekiranya Samy Vellu masih muda, sudah tentu saya yakin beliau sedang melobi untuk menjadi Menteri Dalam Negeri. Begitu banyak siasatan yang diarahkannya – Bangunan Matrade, Lebuhraya MRRII yang retak dan kini sekolah.

Namun isu yang lebih utama di dalam hal sekolah ini ialah penafian bermati-matian Hishamudin Hussein mengenai berlakunya penyelewengan dan menuduh Ong Tee Kiat sebagai bersifat perkauman hanya semata-mata kerana Tee Kiat, seorang Cina, membangkitkan mengenai penyelewengan dalam pembinaan sekolah Cina.

Mungkin Hishamudin hanya mahu mengatakan bahawa kementerian beliau dan pegawai-pegawainya maksum daripada penyelewengan. Tetapi kenapa dibangkitkan isu perkauman?

Apakah hanya itu yang bermain di benak dan fikiran beliau? Pada hemat saya kerana dirinya sendiri subur dengan sifat perkauman, maka dia nampak segala-galanya perkauman.

Ia seperti murid sekolah dalam iklan Wall’s Moo yang melihat semua bentuk bulat sebagai snek kegemarannya itu.

Langkah setapak, riuh sekampung

Saya sentiasa menyambut baik sebarang usaha untuk membasmi jenayah meskipun ia mungkin idea separuh masak. Namun oleh kerana bidang keselamatan awam (public security) ini sangat kritikal dan bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani, saya percaya sebarang idea adalah baik untuk dibahaskan.

Justeru saya mengalu-alukan kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Mohd Johari Baharom (The Star 2 Oktober 2006) bahawa pihak polis akan mengambil lebih ramai orang awam untuk melaksanakan tugas-tugas pentadbiran dan perkeranian bagi menggantikan anggota polis.

Ini dikatakan akan membolehkan 92,000 anggota polis kembali memberi fokus kepada usaha membasmi jenayah dan menjamin ketenteraman awam.

Namun saya kira mungkin wartawan tersalah petik kenyataan beliau. Apakah beliau cuba mengatakan bahawa tugas-tugas pentadbiran Polis DiRaja Malaysia bukan mempunyai matlamat untuk mencegah jenayah, meski sebagai peranan sokongan.

Saya percaya yang dimaksudkan ialah lebih ramai anggota yang terlatih melakukan tugas kepolisian dan menggunakan senjata akan dapat menjalankan tugas watak utama membasmi jenayah dan bukan sebagai watak sokongan.

Johari harus sedar, tentu ada sebab untuk menugaskan anggota-anggota polis yang sedia ada menjalankan tugas pentadbiran. Antaranya ialah kerana faktor usia dan kemampuan melakukan tugas luar. Banyak lagi faktor lain.

Justeru apakah langkah ini akan benar-benar dapat membebaskan 92,000 orang daripada watak sampingan dan terus memainkan watak utama?

Namun usaha menyusun semula tugas anggota ini adalah langkah pada arah yang betul dan telah lama saya war-warkan, terutamanya artikel saya yang bertajuk Polis bail-out Proton. Unit Simpanan Persekutuan (FRU) seharusnya boleh ditugaskan semula untuk memainkan peranan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Saya hanya berharap jangan bermain angka untuk menyedapkan hati rakyat. Jika benar 92,000 orang akan diambil untuk menjadi kakitangan kerajaan, ia juga akan membantu mengurangkan pengangguran. Ini sudah tentu sesuatu yang baik.

Jika dibiarkan kepada Menteri Kesihatan, Chua Soi Lek mungkin dia akan berkata, "Saya tak kisah. Swastakan sahaja." Mungkin swastakan bahagian pentadbiran dan perkeranian Polis DiRaja Malaysia atau swastakan terus PDRM. Mungkin Musa juga akan gembira kerana sektor swasta lazimnya menjanjikan gaji yang lebih tinggi. Pemikiran bahawa penswastaan adalah jawapan kepada semua masalah kerajaan ini saya ulas dalam Penswastaan selesaikan segala masalah?

Pada majlis lain Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tan Chai Ho juga memberikan perhatian kepada pencegahan jenayah. Saya tidak pasti mana satu kementerian yang bertanggungjawab terhadap pencegahan. Namun mungkin kerana isunya menyentuh Rela, ia di bawah tanggungjawab kementerian Chai Ho.

Namun ideanya bagus. Rela akan ditugaskan membuat rondaan dan dibayar elaun. Selain itu mereka akan diberi perlindungan insuran. Ini adalah salah satu usaha sokongan kepada pihak polis tanpa perlu melibatkan pengambilan lebih ramai orang untuk bekerja secara tetap.

Bagaimana pula dengan arahan Abdullah Badawi untuk menggerakkan kembali Rukun Tetangga? Apakah ada sebarang usaha ke arah itu atau arahan itu tidak dipedulikan? Siapa tempang, siapa itik?

Kebijaksanaan Abdullah memecat kaki pau

29 September 2006 yang lalu, Majlis Tertinggi UMNO mengambil keputusan untuk memecat keahlian Abd Zarin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO. Jawatan terakhir Abu Zarin atau Zaharin dalam UMNO ialah Setiausaha Bahagian Bandar Tun Razak.

Saya tidak mengenal Zaharin secara peribadi tetapi pernah sekali ketika makan tengahari bersama seorang bekas wartawan di Veledrom Bandar Tun Razak, Zaharin yang makan di meja bersebelahan beriya-iya memanggil rakan saya itu. Setelah bertegur sapa dan Zaharin berbisik di telinganya, teman saya itu menyeluk tangan ke poket dan menghulurkan sesuatu kepada Zaharin.

Kemudian apabila kembali ke meja, rakan saya yang sudah berusia lewat 50an dengan selamba berkata, "kaki pau dia tu." Dia kemudian bercerita mengenai Zaharin yang mampu dan boleh melakukan hampir apa sahaja asalkan ganjarannya sesuai. Rakan saya itu memang mempunyai pengalaman luas mengenai politik dan pemain-pemain politik di dalam UMNO.

Diceritakan juga dengan panjang lebar bagaimana Zaharin ini sering meng'pau' sesiapa sahaja yang sempat. Yang membuatkan saya kagum mengenai kehandalan meng'pau' Zaharin ini ialah kerana rakan saya itu menyatakan beliau hebat. Sedangkan rakan yang bercerita juga seorang 'kaki pau' yang pada hemat saya cukup handal.

Maka sudah barang tentu makan tengahari ayam kampung kami pada hari itu berakhir dengan saya membayar bilnya. Ketika hendak beredar, Zaharin datang ke meja kami dan bersalaman sambil memberikan kad nama beliau kepada saya.

Tindakan Abdullah dan UMNO memecat beliau hanya kerana blog Sang Kelembai sudah tentu bukan tindakan yang bijak. Ia akan hanya melonjakkan namanya. Sudah tentu tuan politiknya akan melihat bahawa Zaharin bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasnya dan layak mendapat ganjaran lebih banyak pau.

Namun untuk mengharapkan kebijaksanaan daripada Abdullah, pada hemat saya, adalah meminta sesuatu yang terlalu besar dan mungkin juga mustahil.

Kenapa PERKIM yang mahu diperkuda?

Media massa 1 Oktober 2006 melaporkan mengenai pemecatan beramai-beramai pemimpin kanan dan ahli Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM). Baca laporan Utusan Malaysia.

Tujuan utama PERKIM ditubuhkan adalah untuk menjaga kebajikan mereka yang memilih untuk bertukar agama menganut Islam. Bagaimanapun selama ini PERKIM dipimpin oleh ahli politik.

Pada hemat saya, tidak ada masalah untuk ahli politik memimpin pertubuhan kebajikan, belia atau persatuan sukan asalkan mereka melaksanakan amanah jawatan dengan baik dan tidak memperkudakan pertubuhan yang mereka pimpin untuk kepentingan peribadi atau politik.

Malah menjadi satu kelaziman untuk pemimpin politik memimpin persatuan. Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis sahaja memegang jawatan presiden enam persatuan sukan di negara ini.

Namun apabila sahaja mengetahui bahawa Mahathir Mohamad mengambilalih jawatan Yang DiPertua PERKIM daripada Taib Mahmud, saya tidak dapat tidak menaruh syak wasangka bahawa pertubuhan itu akan bergolak dan diwarnai oleh kepentingan yang di luar matlamat penubuhannya.

PERKIM sebelum ini sudah digunakan untuk tujuan-tujuan yang tidak serasi dengan operasinya. Sebagai contoh PERKIM pernah bertindak sebagai kontraktor melalui PERKIM Development Unit (PDU) yang dianugerahkan projek usahasama pembinaan Jalan Sungai Buloh yang sehingga hari ini belum dapat diselesaikan.

Saya merayu mereka yang memegang jawatan di dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan, khususnya yang bertujuan membimbing dan memelihara kebajikan mereka yang baru memeluk Islam agar jujur dan meletakkan kepentingan Islam sebagai satu-satunya matlamat mereka memegang jawatan.

Jika hendak menunjukkan kehandalan berdrama atau sebagai juara air mata, sertai sahaja kelab drama atau berlakon filem sahaja.

Jika hendak menunjukkan kehandalan dan taring berpolitik, hadkan kepada parti politik. Jika tidak lagi mendapat tempat di dalam parti lama mereka, tubuhkan sahaja parti baru. Kenapa pertubuhan kebajikan seperti PERKIM yang mahu diperkuda.