Wednesday, August 30, 2006

Keutamaan pembangunan sistem pengangkutan

Pengumuman bahawa kerajaan berbelanja besar -- sehingga RM10 bilion -- bagi menyelesaikan masalah pengangkutan di Lembah Klang saya percaya adalah sebahagian usaha untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan serius dalam berusaha menyelesaikan salah satu masalah utama yang dihadapi oleh warga kota.

Pada hemat saya sebarang usaha melegakan atau menyelesaikan masalah kesesakan di Lembah Klang adalah sesuatu yang terpuji dan harus disegerakan. Keutamaan harus diberikan kepada pembangunan sistem rel yang bersepadu di mana pengguna dapat bertukar daripada satu laluan ke laluan lain dengan mudah. Sebaik-baiknya stesen-stesen digabungkan agar pengguna tidak perlu berjalan jauh untuk menukar laluan. Semua sistem perlu dipastikan melalui KL Sentral bagi mastikan ia menjadi hub yang benar-benar bersepadu. Sistem tiket juga perlu disatukan.

Selain itu bas perantara secukupnya perlu disediakan secara lebih kerap untuk membawa penumpang ke stesen-stesen rel.

Cadangan RAPIDKL untuk membeli 1,130 buah bas baru pada hemat saya tidak begitu praktikal jika ia digunakan untuk laluan di dalam ibu kota. Bas perlu disediakan untuk mengakut penumpang dari kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan rel ke stesen yang terdekat. Bas dari luar Kuala Lumpur seharusnya hanya sampai ke stesen rel dan pengguna seterusnya menggunakan sistem rel untuk masuk ke pusat bandar dan bergerak di dalamnya.

Namun untuk ini menjadi kejayaan, kecekapan dan kualiti pekhidmatan sistem rel perlu dipertingkatkan. Ketibaan tren perlu dicepatkan dan kapasiti mengangkut ditambah. Pada masa yang sama, pergantungan kepada sistem bas perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat.

Menambah penggunaan bas akan hanya menambahkan kesesakan dan pencemaran udara kerana bas RAPIDKL sekalipun tidak diselenggara dengan baik. Apakah RAPIDKL mempunyai kemampuan tenaga manusia dan sumber kewangan untuk mengendalikan pertambahan bas ini?

Kata seorang teman saya, "shopping memang seronok." Saya yakin membeli bas ini bukan hanya kerana seronok membeli belah atau kerana kelebihan-kelebihan sampingan yang sering diraih daripada berbelanja besar.

Rumah: Cadangan Abdullah pendek akal

Abdullah Badawi dilaporkan hari ini sebagai berkata rumah asas satu bilik sebagai penyelesaian kepada masalah perumahan golongan termiskin. Beliau mengakui konsep rumah sebegini tidak sesuai diguna pakai di Kuala Lumpur kerana masalah tanah yang terhad.

Tetapi konsep ini akan diaplikasikan di Negeri Sembilan dengan penyediaan tanah bagi membolehkan pembeli daripada golongan berpendapatan rendah menambah satu atau dua bilik dan meluaskan rumah mereka apabila ada kemampuan berbuat demikian.

Sejak sekian lama rumah satu bilik untuk keluarga adalah sama sekali tidak sesuai untuk sebuah keluarga. Malah ia menyumbang kepada masalah sosial yang sangat serius. Bayangkan sebuah keluarga yang mempunyai anak perempuan dan lelaki. Jika ibu dan bapa tidur di dalam bilik, apakah sesuai anak-anak lelaki dan perempuan (tambahan pula jika yang sedang meningkat remaja) tidur bersama di ruang tamu.

Jika anak perempuan diberikan bilik, sudah barang tentu anak-anak lelaki akan kekok tidur bersama dengan ibu dan bapa di ruang tamu. Lantas mereka mencari jalan keluar dengan menghabiskan masa berpeleseran sepanjang malam dan hanya balik menjelang pagi untuk tidur apabila ibu dan bapa mereka keluar bekerja.

Saya fikir Abdullah tidak perlu membuat andaian-andaian optimistik bahawa keluarga ini akan dapat menambah bilik dan sebagainya di masa hadapan. Alhamdulillah jika keadaan ekonomi mereka bertambah baik, maka mereka boleh meninggalkan core house itu dan berpindah ke rumah yang lebih senonoh (decent) dan tidak perlu mengubahsuai rumah untuk menambah bilik.

Pandangan pakar dan common sense dengan jelas menunjukkan bahawa rumah satu bilik sama sekali tidak praktikal. Bilik yang diperlukan sekurang-kurangnya 3 untuk sesebuah rumah. Satu untuk ibu dan bapa, satu untuk anak perempuan dan satu lagi untuk anak lelaki. Itu asas.

Meski kita tidak mampu tinggal di rumah berpuluh-puluh bilik, seperti Abdullah, sekurang-kurangnya kerajaan perlu menyediakan perumahan yang senonoh untuk rakyat. Lakukanlah apa sahaja, termasuk menyediakan tanah percuma bagi membina rumah untuk rakyat termiskin. Ini adalah salah satu cara untuk memastikan kos rumah yang rendah.

Ini saya fikir lebih utama daripada menyediakan berpuluh-puluh bilion ringgit untuk projek-projek lain atau beratus-ratus juta untuk membayar pampasan dan bail out syarikat yang tidak kesudahan.

Tuesday, August 29, 2006

Kenapa BN perlu bisukan pegawai kerajaan

Menteri Kewangan Kedua, Mohamed Yaakop dilaporkan telah mengarahkan Kastam DiRaja Malaysia agar tidak membuat kenyataan berkaitan Ahli Parlimen Jasin, Mohd Said Yusof. Kenapa arahan ini perlu dikeluarkan?

Apakah BN takut dengan kebebasan maklumat?

Saya melihat ini adalah satu langkah ke belakang dalam era globalisasi yang sedang dilalui negara kini. Tidak ada sebarang sebab untuk Ahli Parlimen takut dengan pegawai kerajaan sehingga memaksa menteri campur tangan bagi membisukan mereka.

Pada hemat saya, sekiranya ada kenyataan Kastam yang tidak benar berkenaan Mohd Said, beliau boleh mengambil tindakan undang-undang bagi menyekat kenyataan-kenyataan tersebut.

Sewajarnya kebebasan maklumat digalakkan dan sekatan-sekatan sebegini tidak lagi dijadikan amalan. Dalam konteks yang sama, negara ini amat memerlukan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) yang membolehkan sesiapa juga memohon perintah mahkamah bagi mendapatkan maklumat daripada kerajaan.

Tindakan pemimpin-pemimpin BN berselindung di sebalik arahan-arahan sebegini dan akta-akta seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk melindungi kelemahan dan penyelewengan yang dilakukan mereka, perlu segera dihentikan.

Memutarbalikkan Persyarikatan Malaysia

Penguasaan Khazanah Nasional dalam Pantai Holdings adalah langkah terbaru kerajaan mengambil bahagian aktif dalam bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah usaha menterbalikkan (reverse) dasar Persyarikatan Malaysia yang dilancarkan oleh Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Kenapa Mahathir tidak peduli dengan tindakan-tindakan kerajaan -- samada secara langsung melalui Khazanah -- atau melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambilalih syarikat-syarikat swasta?

Kerana tindakan ini dimulakan oleh Mahathir sendiri di tahun-tahun akhir pemerintahan beliau.

Saya melihat dengan bimbang pendekatan terbaru ini. Seharusnya kerajaan lebih terbuka dan memberi ruang kepada perusahaan swasta untuk berperanan aktif bagi menggerakkan ekonomi negara.

Pendekatan ini saya bimbang akan menarik (drain) sumber negara sehingga menjejaskan sektor-sektor kritikal yang tidak boleh dijalankan oleh pihak swasta seperti kepolisian, penjagaan kesihatan asas, pendidikan asas, keselamatan dan sebagainya. Pihak swasta tidak mampu dan mungkin tidak berminat untuk mengendalikan perniagaan di dalam bidang ini kerana ia tidak menguntungkan.

Tetapi dengan semangat Malaysia Boleh! apa jua perniagaan boleh menguntungkan, khususnya jika yang mengendalikannya adalah mereka yang akrab dengan pemerintahan. Kerajaan boleh sahaja menjamin keuntungan dan peningkatan keuntungan setiap tahun dengan menggunakan dana rakyat bagi membayar syarikat-syarikat yang terlibat.

Sudahlah Mahathir. Lakukan demi rakyat

Menyampah! Benar-benar saya menyampah dengan drama Mahathir-Abdullah yang masih terus berlangsung. Bukanlah saya ini menyokong Abdullah, tatapi tindakan-tindakan Mahathir benar-benar menimbulkan rasa mual di dalam diri saya.

Apa sebenarnya yang mahu didedahkan oleh Mahathir? Apa sebenarnya kepincangan yang mahu dibetulkannya?

Saya sedari awal menyeru beliau untuk mendedahkan segala penyelewengan yang diketahuinya. Biar rakyat tahu dan biar ada fakta untuk tindakan diambil, meski pihak berkuasa besar kemungkinan tidak akan mengambil tindakan terhadap pemerintah.

Beliau harus mendedahkannya demi rakyat dan bukan untuk meraih kelebihan politik.

Saya juga mencadangkan UMNO (dan kita juga) untuk sama-sama mengucapkan selamat jalan kepada beliau apabila beliau menawarkan diri untuk bertanding sebagai perwakilan Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO. Cukuplah sudah 22 tahun berucap.

Kini beliau menaikkan pertaruhan dengan pre-emp bahawa beliau tidak akan diberi peluang untuk berucap di perhimpunan yang akan datang. Kalau diberi peluang sekalipun akan dihadkan kepada 5 minit sahaja. Bermacam kenyataan yang beliau buat untuk menghalang Abdullah bertindak.

Jika UMNO melakukan apa yang telah dikatakan Mahathir terlebih awal, maka dia akan berkata "tengok. Saya dah kata. Depa ini, apa nama, mesti nak halang saya."

Sudahlah Mahathir. Tidak perlu ke Perhimpunan Agung UMNO untuk menyampaikan apa yang ingin disampaikan. Dedahkan sekarang. Jika media massa enggan menyiarkannya, tulis sahaja blog.

Sunday, August 27, 2006

Ekonomi: Apakah Melayu perlu menindas untuk maju?

Seringkali apabila membicarakan mengenai kelemahan dan kemunduran orang Melayu dalam bidang ekonomi, isu penguasaan orang Tionghua dibangkitkan. Kebanyakan khalayak yang membicarakan soal ini, khususnya yang menganut faham perkauman, melihat kemajuan ekonomi orang Tionghua sebagai penyebab kepada kegagalan Melayu untuk menguasai peratusan tertentu ekonomi Malaysia.

Justeru apa penawar (remedy) yang cuba dikemukakan golongan ini? Apakah kita perlu merampas dan mengambil daripada kaum lain dan memberikannya kepada orang Melayu semata-mata untuk meningkatkan peratusan penguasaan Melayu dalam ekonomi?

Pada hemat saya ini sama sekali tidak perlu. Malah para juara politik perkauman menggunakan pendekatan ini semata-mata untuk membakar semangat dan mengalih perhatian daripada isu sebenar.

Kekayaan negara atau Ekonomi bukan sesuatu yang statik dan tetap saiznya. Maka tidak perlu diambil daripada suatu pihak dan diberikan kepada suatu pihak yang lain. Melayu boleh maju dan meningkat kuasa ekonominya tanpa perlu menindas dan merampas.

Cuma yang perlu ialah untuk memecut penglibatan dan penguasaan orang Melayu dalam perniagaan. Hanya apabila kederasan peningkatan ini mengatasi kederasan pekembangan ekonomi orang Tionghua, maka peratusan penguasaan ekonomi Melayu akan meningkat. Yang penting ialah kita tidak harus merampas dan menindas.

Lebih malang apabila kelemahan dan kemunduran dijadikan seruan perang (battle cry) yang semata-mata untuk membangkitkan semangat bagi memenuhi tujuan politik golongan tertentu.

Mengkritik Mahathir, Menegur Abdullah

RESENSI BUKU:
Rustam A. Sani, Bercanda dengan Mahathir,
2006: Kuala Lumpur, 231 hal., RM20.00.

(Buku ini akan berada di pasaran bermula 1 September 2006 di Kongres Parti Keadilan Rakyat di Pulau Pinang)

“Perbalahan” yang kini sedang terjadi antara bekas PM Mahathir Mohamad dan PM Abdullah Badawi mempunyai implikasi yang agak besar terhadap politik negara ini. Setelah agak lama mendiamkan diri (elegant silence?), Abdullah (dan jentera kerajaannya) nampaknya sudah mulai memberikan jawapan. Beberapa dokumen yang selama ini dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi sudah mulai dideklasifikasikan “untuk mendedahkan segala-galanya” kepada rakyat.

Namun terdapat implikasi yang lebih jauh dalam perbalahan ini. Ada orang yang melihat terdapatnya “perpecahan besar” dalam kepemimpinan Umno dan wujudnya suatu konspirasi untuk menjatuhkan pemerintahan Abdullah setelah beberapa tahun sahaja memegang tampuk kuasa. Malah yang lebih menarik lagi perbalahan ini berkemungkinan pula menyebabkan perpecahan di kalangan parti-parti pembangkang – khususnya di antara pihak yang “menyokong” Mahathir dengan pihak yang menganggap perbalahan ini sebagai perbalahan dalaman Umno dan tidak perlu disertai pihak pembangkang.

Dilihat dalam konteks ini, buku terbaru Rustam ini amatlah menarik. Sebagaimana yang dijangkakan, buku ini memang merupakan sebuah kritikan yang agak keras terhadap Mahathir dan zaman pemerintahannya yang sudah berlalu itu. Pada asasnya buku ini mengandungi 33 rencana “semasa” dari zaman pemerintahan Mahathir tersebut. Sebagai seorang penulis kolum dan ahli sosiologi politik yang telah dimusnahkan peluangnya untuk berkarya dalam akhbar-akhbar “arus perdana” (baca: dikuasai pemerintah) sejak tahun 1998, maka rencana-rencana dalam buku ini semuanya dipetik daripada akhbar-akhbar pihak pembangkang dan gerakan reformasi, seperti Detik, Suara PRM, Suara Keadilan, dan Harakah.

Rencana paling baru dalam kumpulan ini dipetik daripada akhbar Siasah keluaran 22 Jun 2006. Oleh yang demikian, tulisan Rustam dalam buku ini tidaklah merupakan “sumbangan” beliau terhadap analisis perbalahan Mahathir-Abdullah yang sedang berlangsung kini, tetapi lebih merupakan kritikan Rustam yang berterusan terhadap pemerintahan Mahathir – bukan sebagai imbasan kembali tetapi sebagai ulasan semasa ketika terjadinya apa yang dinamakannya sebagai “kebobrokan” zaman pemerintahan tersebut.

Pada asasnya, Rustam melihat kebobrokan itu sebagai ciri pemerintahan Mahathir yang dianggapnya berbentuk demokrasi tempang atau iliberal democracy, yang dicirikan oleh upaya untuk menindas pelbagai bentuk kebebasan dan hak asasi yang sepatutnya dihormati dalam sebuah sistem demokrasi yang tulen. Sistem yang tidak demokratis ini, menurut Rustam, diperlukan bagi menghindarkan sebarang bentuk halangan bagi Mahathir dalam melaksanakan dasar-dasarnya yang dicirikan oleh KKN: korupsi, kronisme, dan nepotisme.

Bagi sesiapa yang berminat hanya kepada perbalahan Mahathir-Abdullah yang sedang berlaku kini, beberapa kritikan Rustam yang ditulis pada zaman pemerintahan Mahathir itu amatlah menarik. Jika kini Mahathir mendakwa bahawa pada zamannya media lebih bebas, maka kritikan semasa Rustam memperlihatkan bahawa penindasan media sesungguhnya merupakan warisan zaman Mahathir.

Jika Mahathir kini membuat pelbagai tuduhan tentang nepotisme yang melibatkan anak dan menantu Abdullah, maka beberapa rencana Rustam dalam buku ini merupakan dakwaan “semasa” terhadap kemungkaran yang sama yang telah dilakukan anak-anak (dan teman-teman karib) Mahathir sendiri pada zaman pemerintahannya. Jika Mahathir kini menuduh orang-orang yang mempertahankan Abdullah semata-mata sebagai “yes men”, maka rencana-rencana Rustam dalam buku ini memperlihatkan bahawa peranan yang sama pada zaman Mahathir itu telah dimainkan para menteri, para ahli perniagaan, para pentadbir, malah para ahli akademik juga.

Namun indictment (dakwaan) Rustam terhadap pemerintahan Mahathir ini tidaklah pula bermakna bahawa beliau menyebelahi Abdullah dalam konteks perbalahan yang sedang berlaku sekarang. Malah Rustam berpendapat bahawa Abdullah tidak mempunyai kekuatan politik maupun ketabahan moral untuk menyimpang, melakukan clean break, daripada kemungkaran dan kebobrokan Mahathir.

Sebagai seorang yang orientasi politiknya dipupuk dan berkembang di bawah Mahathir, Abdullah mungkin tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menyanggah kebobrokan yang diwarisinya. Sebaliknya beliau seperti sangat selesa dengan keadaan tersebut, malah menggunakan sistem operasi yang sama untuk memperkukuhkan kedudukannya sendiri. Ini sekaligus membuktikan penegasan Rustam bahawa pengunduran Mahathir bukanlah akhir perjuangan, sekali gus memberi makna kepada seruannya agar “institusi-institusi pemerintahan negara ini dibersihkan daripada segala kepincangannya, dan demokrasi yang tulen diberikan martabat kembali…”

Jika sekalipun kita bersangka baik terhadap Abdullah, bahawa beliau tidak mengingini keadaan yang buruk dan busuk ini tetapi tidak mampu mengubahnya, maka kita tidak ada pilihan selain menganggap Abdullah pengecut, dan sebenarnya seorang pemimpin lame duck yang tidak ada sebarang asas kekuatan politik. Sebagai seorang yang telah menerima mandat besar dalam pilihanraya yang lalu, citra Abdullah ini amatlah mengecewakan. Malah “mandat” itu sendiri boleh dipertikaikan, khususnya berdasarkan tunduhan tentang penipuan-penipuan yang dikatakan berlaku dalam pilihanraya umum tahun 2004.

Gambaran sahsiah Mahathir yang terjelma daripada buku Rustam ialah seorang pemimpin yang bersifat manipulatif, sanggup memperalatkan sesiapa sahaja, melakukan dan menyatakan apa sahaja demi mencapai kehendak politiknya sendiri. Bagi saya beberapa rencana dalam buku ini merupakan analisis yang amat menarik tentang sahsiah politik Mahathir dalam dua zaman: zaman kemerosotan pengaruh politiknya selepas pilihanraya umum tahun 1999 dan zaman setelah Mahathir mengumumkan tarikh pengundurannya.

Kebanyakan asas analisis Rustam dalam rencana-rencana dalam buku ini adalah peristiwa-peristiwa politik dari zaman berkenaan, khususnya ucapan-ucapan dan tindak-tanduk Mahathir dalam kerangka politik Umno. Selain itu, dianalisisnya juga hubungan Mahathir dengan beberapa “tokoh” seperti Mugabe, Castro, dan malah seorang yang cuba menonjolkan dirinya sendiri sebagai tokoh – Ibrahim Ali. Selain itu, saya dapati amat mengasyikkan juga analisis Rustam tentang pelbagai upaya Mahathir untuk terus-menerus merapati kepemimpinan PAS sejak selepas pilihanraya umum tahun 1999 – termasuklah pentas bersama yang sanggup diperkongsinya dengan PAS di Dewan Bahasa dan Pustaka dalam “memperjuangkan” nasib rakyat Palestin.

33 rencana dalam buku ini didahului dengan sebuah Kata Pengantar baru (30 halaman) yang bertajuk “Dampak Mahathir Terhadap Masa Depan Politik dan Masyarakat Malaysia”. Fokus Rustam dalam kata pengantar tersebut ialah tentang betapa mendalamnya kesan buruk zaman pemerintahan Mahathir yang telah berlangsung selama lebih dua dekad itu. Selain itu, Rustam menperincikan lagi pandangannya tentang Mahathir sebagai seorang ahli politik yang manipulatif – secara tidak langsung menyokong pandangan mereka yang menganggap perbalahan terbaru itu sebagai suatu persekongkolan untuk menjatuhkan Abdullah Badawi.

Sesuai dengan sifatnya sebagai seorang intelektual dan bekas ahli akademik, tulisan Rustam mungkin agak analitis sifatnya. Tetapi sesuai dengan sifat tulisan-tulisan itu sebagai rencana untuk akhbar semasa, analisisnya itu bagi saya tidaklah sukar difahami dan dinikmati.

Saturday, August 26, 2006

Polis bail-out Proton?

Saya membaca dengan lega laporan New Straits Times hari ini (26 Ogos 2006) mengenai tindakan-tindakan yang akan diambil untuk mencegah jenayah.

Pengumuman Datuk Mohd Amir, Pengarah Pengurusan Polis Persekutuan (gambar) benar-benar membina harapan.

Sedari awal saya menggesa agar semua langkah perlu diambil untuk menjamin keselamatan rakyat. Jika peruntukan yang lebih diperlukan, maka ia mesti disediakan. Jika lebih ramai tenaga kerja diperlukan, tidak ada pilihan selain menyediakannya.

Justeru pengumuman peruntukan RM260 juta dan pengambilan 3,000 konstabel polis adalah sesuatu yang amat-amat saya alu-alukan.

Tetapi malang sekali, saya melihat penyediaan peruntukan yang begitu besar tersebut sebahagian besarnya adalah seperti untuk membantu atau bail out Proton. Sebahagian besar peruntukan tersebut akan digunakan untuk membeli 2,000 kereta peronda baru. Sudah barang tentu kereta nasional yang akan menjadi pilihan.

Pemilihan kereta nasional adalah amat baik kerana kesan limpahan (spillover effects) terhadap industri automotif negara akan menguntungkan pekerja di dalam industri automotif. Tambahan pula Proton Edar dan EON masih mempunyai stok kereta tahun 2005 dan menghadapi kesukaran kerana kelembapan pasaran.

Namun apakah 2,000 kereta peronda baru benar-benar diperlukan oleh pihak polis untuk menjamin keselamatan rakyat?

Pada hemat saya, yang perlu ialah kehadiran anggota polis di lapangan. Masyarakat perlu merasakan kehadiran mereka, malah lebih penting para bakal penjenayah perlu sedar bahawa ada polis di mana-mana sahaja. Ini akan menimbulkan rasa gerun di dalam hati mereka (strike fear in their hearts) .

Justeru adalah memadai anggota polis membuat rondaan secara berjalan kaki atau bermotosikal di dalam suatu kawasan yang kecil, atau dirikan lebih banyak bit polis untuk mengawal sesuatu kawasan tertentu. Luas kawasan (radius) kawalan perlu cukup kecil dan munasabah untuk anggota polis di bit bertindak apabila terdapat sebarang kecemasan.

Kerana itu menambah bilangan anggota adalah lebih utama daripada menambah bilangan kereta yang pada jangka panjang akan melibatkan kos yang sangat besar tanpa kesan yang setimpal. Bayangkan sahaja kos petrol dan pembaikan (maintenance) yang akan diperlukan untuk 2,000 kereta tersebut.

Saya faham untuk melatih anggota polis mengambil masa. Kerana itu 3,000 konstabel baru yang akan dilantik hanya akan dapat menjalankan tugas awal tahaun hadapan. Maka kerana itu pengumuman Abdullah mengenai pembinaan sebuah lagi Pusat Latihan Polis adalah sia-sia dalam usaha mengatasi masalah jenayah yang berleluasa sekarang dengan segera.

Kerana itu saya mencadangkan agar anggota-anggota polis sedia ada di bahagian-bahagian tidak kritikal perlu disusun semula (redeploy). Tugas mengawal lalulintas ketika waktu sibuk dan kerosakan lampu isyarat sama sekali tidak memerlukan anggota polis.

Ia boleh sahaja dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mempunyai warden trafik yang hanya bertugas mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang tidak membayar caj parkir. Begitu juga Pihak Berkuasa Tempatan yang lain.

Latihannya juga saya yakin tidak perlu terlalu intensif kerana jika Menteri Pelajaran, Hishamudin Hussein boleh mengawal trafik ketika terperangkap dalam kesesakan lalulintas di Jalan Ampang kerana kerosakan lampu isyarat, seorang yang tidak mempunyai pelajaran juga mampu melakukannya.

Tugas anggota trafik yang menjadi juruiring (outrider) kenamaan juga boleh diambil alih oleh suatu unit khas yang terlatih untuk tugas tersebut. Sebagaimana pemandu rasmi kerajaan sekarang diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), unit ini boleh dikembangkan untuk mengendalikan tugas juruiring.

Anggota-anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) juga boleh dikurangkan atau dimanfaatkan untuk tugas-tugas rondaan. Ketika ini FRU hanya bertugas ketika mengawal perlawanan bolasepak, acara-acara ramai dan juga diperalatkan untuk menyerang perhimpunan rakyat.

Saya percaya ramai lagi anggota polis yang boleh ditugaskan semula untuk menjaga keselamatan rakyat. Datuk Amir seorang bijak dan berpengalaman. saya yakin jika beliau benar-benar mencari, beliau akan menemui jalan meningkatkan kecekapan dan kehadiran anggota polis di tengah-tengah masyarakat tanpa perlu berbelanja besar membeli kereta. Ini yang akan benar-benar membantu mencegah jenayah.

Datuk Amir, janganlah membina harapan rakyat semata-mata untuk memusnahkan impian.

Kemuliaan BN dan Ahli Parlimen Jasin

Kenapa Mohamed Nazri Aziz perlu melenting dengan tindakan Pengarah Pencegahan Kastam DiRaja Malaysia (KDRM), Mohamed Adnan Ariffin mendedahkan kepada media mengenai SMS 'mesra' yang dihantar oleh Ahli Parlimen Jasin, Mohd Said Yusof kepadanya?

Bukankah Said sendiri menyatakan bahawa ia hanya sekadar SMS daripada seorang rakan kepada kenalan lama. Justeru tidak ada sebarang isu yang perlu diberi komen atau ancaman oleh Nazri.

Bagaimanapun saya suka menarik perhatian kepada motif Said mendedahkan mengenai kepincangan Kastam selama ini seperti yang dapat diperhatikan daripada SMS tersebut. Media massa melaporkan Said memberitahu Adnan bahawa Kastam Melaka masih terus 'mengganggu' syarikatnya dan jika ini berterusan dia akan membangkitkan lebih banyak isu mengenai Kastam di Parlimen.

Kenapa Said perlu menjadikan 'gangguan' Kastam terhadap syarikatnya sebagai asalan?

Bukankah selaku Ahli Parlimen yang dibayar gaji oleh rakyat, Said memikul amanah untuk mendedahkan sebarang kepincangan yang berlaku? Itu adalah sebahagian tugasnya. Jika minatnya adalah terhadap isu yang melibatkan Kastam, tidak mengapa.

Yang penting ialah beliau seharusnya mendedahkan masalah dan kepincangan yang berlaku demi kepentingan rakyat. Itu perlu menjadi asas dan dasar tindakannya, bukan kepentingan peribadi.

Pada hemat saya, pendedahan SMS yang dihantar Said tersebut menyerlahkan motif beliau yang selama ini hanya memikirkan mengenai kepentingan peribadi baik dalam isu kayu-kayan yang dibawa masuk oleh syarikatnya, kereta mewah yang tidak dapat dibelinya.

Tidak ada kepentingan rakyat yang dijuarainya. Malah beliau telah berbohong kepada rakyat sejak kes pertama di mana dia menafikan bahawa syarikat yang cuba di'bantu'nya dengan meminta Kastam 'menutup sebelah mata' adalah miliknya sendiri.

Said ternyata telah hilang punca dan pertimbangan akan tugasnya yang sebenar. Justeru hanya ada satu jalan yang mulia, yakni beliau perlu meletakkan sebagai wakil rakyat dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan, tanpa sebarang kelebihan dan kekebalan Ahli Parlimen yang begitu dipertahankan oleh Nazri.

Kekebalan Ahli Parlimen tujuannya adalah untuk membela rakyat, bukan meraih keuntungan peribadi. Nazri seharusnya sedar perkara ini.

Jika Said tidak dapat atau enggan melihat jalan mulia dengan meletakkan jawatan, maka UMNO dan Barisan Nasional perlu meletakkan beliau pada jalan mulia tersebut dengan memecat beliau dan membiarkan beliau menjadi Ahli Parlimen bebas.

Jika UMNO-BN terus-terusan enggan bertindak, maka kemuliaan UMNO-BN sama sahaja dengan Said -- kemuliaan wang ringgit dan harta benda.

Thursday, August 24, 2006

Selamat Jalan, Mahathir!

Saya membaca laporan media massa mengenai hasrat Mahathir Mohamad untuk menjadi perwakilan UMNO Kubang Pasu sebagai satu perkembangan yang sangat menarik.

Menarik bagi saya bukan kerana Mahathir kelihatan terdesak (desperate) untuk mencari perhatian. Malah beliau sendiri menyuarakan hasrat untuk berucap di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang.

Menarik bagi saya bukan kerana ia adalah satu langkah (manoeuvre) yang licik oleh Mahathir. Beliau memperalatkan dengan sehabis-habisnya demokrasi untuk meletakkan Abdullah Badawi dan UMNO di dalam keadaan yang sukar. Jika cuba dinafikan, ia akan menyerlahkan sikap tidak demokratik (atau anti-demokrasi) Abdullah. Jika dibiarkan sudah pasti Mahathir akan menggunakan platform itu untuk menyerang diri Abdullah.

Menarik bagi saya ialah betapa tidak malu Mahathir mempergunakan demokrasi sedangkan beliau selama memagang kekuasaan bukan seorang yang hormat kepada demokrasi dan keadilan.

Menarik bagi saya ialah bagaimana lazimnya orang-orang UMNO yang tidak pernah tahu bila untuk bersara. Walaupun diseret ke liang lahad sekalipun, saya yakin tangan mereka masih mahu terus mencengkam kuasa dan politik.

Ini sebenarnya malapetaka bagi UMNO. Dan tindakan-tindakan sebegini akan menggagalkan usaha memudakan UMNO agar sentiasa releven dengan generasi semasa. Jika orang-orang pencen semuanya enggan mengalih perhatian kepada ibadah dan masjid, sudah tentu orang muda dan 'gagah' seperti Khairy Jamaluddin akan menghadapi kesukaran bertapak dan maju dalam politik.

Pada saya, kita seharusnya beramai-ramai mengucapkan "Selamat Jalan!" kepada Mahathir. Cukuplah sudah!

Wednesday, August 23, 2006

Jujurlah Abdullah

Abdullah Badawi memberi arahan kepada Pulau Pinang, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan agar segera menggubal undang-undang untuk menyekat penyebaran agama lain di kalangan orang Islam.

Apakah tindakan ini akan menyelesaikan masalah?

Jika semua kes keluar daripada Islam berlaku di empat negeri ini sahaja, sudah tentu tindakan tersebut akan menyelesaikan masalah. Tetapi kita sedia maklum kes-kes yang berlaku meluas di seluruh negara.

Justeru apa sebenarnya yang mahu dilakukan oleh Abdullah? Saya mahu percaya bahawa beliau benar-benar jujur untuk mencari penyelesaian kepada kemelut yang berlaku dan tidak membuat kenyataan sekadar untuk meredakan kemarahan umat Islam negara ini.

Masalah yang berlaku sebenarnya perlu diselesaikan daripada puncanya. Usaha serius dan terancang perlu dilakukan untuk mendidik umat Islam Malaysia sedari kecil lagi. Kesedaran dan kefahaman Islam yang sebenar harus disemai dan dipupuk dengan sebaiknya.

Pada masa yang sama, elemen-elemen yang boleh menjadi pengaruh negatif kepada anak-anak muda Islam perlu dikawal dan dibendung.

Bagaimanapun persoalan yang lebih besar sekarang ialah hubungan antara masyarakat di Malaysia. Umat Islam merasa terancam dengan tindakan kelompok yang menuntut kebebasan beragama atas nama hak asasi. Kelompok ini pula merasa mereka dianiaya dan dinafikan hak.

Ini juga perlu diselesaikan. Jalan yang harus dipilih ialah jalan dialog dan perundingan. Namun ia harus menjadi satu dialog yang terancang dan terkawal. Pesertanya harus pakar dalam bidang masing-masing, mereka perlu mempunyai mandat untuk mewakili kelompok masing-masing.

Para peserta juga perlu berfikiran terbuka, bersedia untuk menerima dan memberi hujah dengan rasional dan berasaskan ilmu.

Kita seharusnya jujur dalam hal ini kerana hanya kejujuran, dan bukan vested interest, yang akan mampu menyelesaikan masalah.

Tuesday, August 22, 2006

Siapa pengaruhi Amani?


Pada umur 20 tahun, Sharifah Amani atau Nani, sepertimana Yasmin Ahmad memanggil dirinya, memang muda. Sesetengah orang akan gemar mengatakan dia mentah dan tiada pengalaman.

Namun saya tidak pernah percaya umur adalah ukuran kematangan. Sebaliknya pendedahan yang diterima itu yang menentukan kematangan. Justeru Nani mungkin masih tidak berpengalaman, khususnya dalam acara umum seperti majlis menerima anugerah, kerana beliau sendiri baru berjinak-jinak dalam menerima anugerah.

Kenyataan dan tindakan Nani sudah pasti dipengaruhi oleh pendedahan yang diterimanya selama ini (betapa sedikit atau betapa banyak sekalipun). Seringkali anak muda membentuk pandangan kerana memerhatikan orang lain, lazimnya seorang yang dihormatinya.

Ada teman cuba mempertahankan Amani dengan mengatakan bahawa dia tersilap memilih perkataan 'stupid', yang dimaksudkannya ialah 'funny' -- I sound funny speaking in Malay. (Kurang lebih begitu ayat penuh sepatutnya, kata teman ini. Saya tidak pasti kerana tidak menonton rancangan tersebut.)

Ini membuatkan saya bertanya kembali, jika Amani tolol dalam Bahasa Melayu dan memilih untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris, sudah barang tentu dia lebih handal berbicara dalam Bahasa Inggeris. Tetapi dalam Bahasa Inggeris juga dia salah.

Jika Amani tolol dalam Bahasa Inggeris, apa sebenarnya bahasa yang dikuasainya. Ini benar-benar membimbangkan sebenarnya. Bagaimana keadaan sistem pendidikan kita sehingga dapat melahirkan seorang yang tolol dalam kedua-dua Bahasa Melayu dan Inggeris?

Entri saya sebelum ini Amani sebagai ikon golongan tolol membicarakan mengenai ketololan golongan yang melihat penggunaan Bahasa Inggeris melambangkan ketinggian kelas.

Namun saya teguh dengan kepercayaan saya bahawa pembentukan pendirian Amani adalah dipengaruhi oleh seseorang atau beberapa orang yang begitu dihormatinya. Yasmin (menurut catatan blognya) adalah seorang yang dihormati Amani sehingga dipanggilnya Yasmin 'Mak'.

Sedari awal Yasmin mempunyai pandangan yang tidak senada (conform) dengan pandangan umum masyarakat. Mungkin Yasmin progresif. Tetapi mungkin juga Yasmin sekadar mahu lain daripada kelaziman, meski kelainan itu tidak didasari oleh falsafah dan kesedaran. Saya tidak pasti yang mana satu menjadi asas kepada kelainan yang dicari Yasmin.

Justeru adalah menarik untuk kita tahu apa sebenarnya pendirian Yasmin dalam soal bahasa ini. Apakah benar-benar Amani tersilap (dan kita seharusnya memaafkan kesilapan), atau mungkinkah ia terpancar daripada sikap yang konsisten mereka di sekelilingnya (dan jika itu keadaannya, Amani perlu disedarkan bahawa pandangan itu silap).

Lebih malang jika Amani dipergunakan untuk menyampaikan mesej seorang lain atau satu kelompok tertentu.

Friday, August 18, 2006

Jujurlah pada dirimu, Siti

Saya merasakan respon orang ramai terhadap acara perkahwinan Siti Nurhaliza sudah semakin tidak terkawal. SMS dan emel yang menyindir, mempermainkan dan tidak kurang berbaur lucah semakin kuat merebak.

Malah hal ehwal keluarga kedua-dua pihak semakin, dan saya yakin akan terus, ditelanjangkan.

Meski saya berpendirian sambutan sebegitu sangat tidak wajar, saya dapat memahami kenapa keadaan menjadi sedemikian rupa. Tindakan Siti berahsia dan bermain kata sebelum pengumuman rasmi adalah dirangka untuk menarik perhatian orang ramai. Ia bertujuan menguja orang ramai untuk mengetahui siapa calon pilihan Siti dan bila Siti akan menamatkan zaman bujangnya.

Itu pada hemat saya adalah mainan drama yang tidak asing, bukan sahaja di kalangan artis malah di kalangan ahli politik. Namun langkah yang sangat tidak kena kemudiannya adalah apabila mereka memutuskan untuk mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan rancangan mereka. Siti hadir sama.

Apakah wajar bakal pengantin perempuan hadir untuk mengumumkan dia akan berkahwin? Bukankah menjadi kelaziman adat kita agar perkara sedemikian diserahkan sahaja kepada ibu bapa atau orang tua kedua-dua belah pihak.

Rancangan menutup jalanraya untuk memberi laluan kepada pasangan tersebut, rencana yang sama sekali tidak wajar, menyusahkan orang ramai dan menimbulkan perasaan jengkel.

Satu perkara yang saya kira sangat tidak wajar ialah pengumuman rancangan untuk mengadap semua Sultan Melayu bagi menyampaikan kad jemputan perkahwinan mereka. Hantar saja jemputan tanpa perlu riuh rendah.

Saya fikir Siti harus benar-benar menumpukan kepada usaha mendirikan rumah tangga yang bahagia daripada cuba mengambil peluang daripada perkahwinan sebagai stunt untuk meraih populariti.

Jujurlah pada dirimu Siti, apakah tujuan sebenar dirimu. Begitu ramai ahli politik yang selama ini tidak mampu untuk berlaku jujur kepada diri sendiri, kemudiannya berakhir dalam nestapa.

Thursday, August 17, 2006

Tanggungjawab kita melabur untuk masa depan

Pelaburan terbaik yang mampu dibuat oleh sesuatu tamadun ialah dalam generasi mudanya. Malah kegagalan memberi perhatian serius kepada generasi muda akan mendatangkan kesan yang sangat negatif, malah mungkin memusnahkan, di masa hadapan.

Pembangunan generasi muda adalah tugas serius yang perlu dilaksanakan dengan tekun dan penuh bertanggungjawab oleh mana-mana pemerintah.

Di Malaysia kita semakin bimbang apabila pendedahan demi pendedahan dibuat mengenai masalah yang melibatkan generasi muda. Kita tidak lagi bercakap mengenai sebahagian kecil anak-anak muda yang terjerumus dalam kancah dadah dan sebagainya.

Kita berbicara mengenai puluhan ribu anak muda yang tidak menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima. Kita digemparkan dengan berita ribuan pelajar dibuang sekolah saban tahun. Apa yang akhirnya terjadi kepada mereka jika mereka tidak menamatkan persekolahan.

Masalah sekolah-sekolah yang menghadapi kekurangan kemudahan asas sudah dibicarakan sejak sekian lama. Sekolah tanpa bekalan elektrik adalah berita lama yang sehingga kini tidak diberikan perhatian sewajarnya untuk diselesaikan.

Saya kira sudah tiba masanya kerajaan bertindak dengan memberatkan mengenai pembangunan generasi muda khususnya dalam soal pendidikan, kesihatan dan gaya hidup sihat.

Begitu banyak usaha (meski tidak sempurna) telah dilakukan di seluruh dunia untuk memastikan generasi muda dapat membangun dengan sebaiknya. Kesediaan merangka program sebegini adalah langkah pertama yang seharusnya diambil.

Antaranya ialah Sure Start di Britain, No Child Left Behind Act di Amerika Syarikat. (Penjelasan lanjut di Jabatan Pendidikan AS). Di Brazil terdapat usaha kerajaan menggalakkan pendidikan dan penjagaan kesihatan anak-anak dengan menawarkan ganjaran kewangan kepada keluarga yang memastikan anak-anak mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara tetap dan menghadiri persekolahan.

Masalah buruh bawah umur sebenarnya berlaku di Malaysia apabila ibu bapa yang mempunyai banyak anak merasakan adalah lebih baik anak mereka bekerja (di kedai makan misalnya) dan memperolehi pendapatan tunai harian daripada mereka bersekolah yang akan melibatkan perbelanjaan. Ini adalah tindakan mengaut keuntungan jangka pendek dengan mengabaikan masa depan.

Oleh yang demikian kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan segera memastikan keadaan ini tidak berterusan. Antara usaha yang sedang dilakukan untuk membasmi buruh kanak-kanak ialah di Brazil.

Selain itu terdapat begitu banyak usaha bukan kerajaan untuk memastikan anak-anak gelandangan mendapat pembelaan sewajarnya dan diletakkan pada jalan yang memberi harapan untuk mereka beroleh kejayaan. Antaranya ialah Children At Risk Foundation di Brazil.

Usaha-usaha ini adalah tugas besar yang mesti digerakkan segera. Pemerintah harus memulakannya dan pada masa yang sama mendapatkan penglibatan aktif organisasi-organisasi rakyat khususnya di peringkat yang paling kecil seperti kampung dan taman perumahan.

Kewujudan komuniti yang prihatin akan mampu membina harapan di dalam diri anak-anak dan pada masa yang sama menyedarkan ibu bapa mengenai kepentingan untuk melabur demi masa depan.

Keciciran sekolah dan Menteri Si Tukang Umum

Saya membaca laporan media massa (17 Ogos 2006) mengenai jumlah pelajar yang dibuang sekolah dan digantung pengajiandengan sangat bimbang. 7,000 ribu dibuang dan 15,000 digantung pengajian sepanjang tahun lepas!!!

Saya kagum dengan Timbalan Menteri Pelajaran, Noh Omar kerana beliau mampu menarik perhatian kepada fakta bahawa jumlah ini berkurangan kira-kira separuh untuk tahun ini. Saya kira beliau berbangga dengan keadaan ini.

Persolannya apakah memecat dan menggantung pengajian pelajar ini memberi kesan positif kepada anak-anak muda Malaysia?

Pada hemat saya, mengeluarkan mereka daripada sistem persekolahan hanya akan mempunahkan masa depan mereka. Pemecatan pelajar bukan penyelesaiannya. Jelas dan mudah.

Kementerian Pelajaran dan pemerintah seharusnya mengambil perhatian serius perkara ini dan tidak sekadar mengumumkan statistik. Mereka yang dipecat itu adalah anak-anak Malaysia, masa depan Malaysia.

Yang mahu kita dengar, setelah kementerian sedar keadaan ini, ialah bagaimana mereka bercadang mengatasi masalah ini. Bila kementerian akan mengumumkan pelan tindakan mereka dan berapa tahun masa yang mereka tetapkan untuk mencapai sasaran 'pemecatan sifar' di sekolah-sekolah.

Para menteri dan anggota pemerintahan yang lain seharusnya sedar mereka dibayar gaji untuk memimpin negara ini dan menyelesaikan masalah yang timbul, bukan sekadar menjadi tukang umum masalah-masalah tersebut.

UMNO Pulau Pinang jangan menunding jari

UMNO Pulau Pinang sering membuat kenyataan-kenyataan mengenai kemunduran Melayu Pulau Pinang seolah-olah selama ini pihak lain yang memerintah negeri tersebut dan negara ini. Hakikatnya UMNO adalah pemerintah Pulau Pinang, meski bukan wakil UMNO yang menjadi Ketua Menteri.

Wakil UMNO secara terus-terusan menjadi Timbalan Ketua Menteri, anggota EXCO Negeri, ahli-ahli Majlis PBT dan sebagainya.

UMNO jangan cuba lepas tangan dan berlagak seolah-olah hanya Parti Gerakan yang bersalah semata-mata kerana wakil parti tersebut yang menjadi Ketua Menteri.

Saya jelek dengan tindakan UMNO yang hanya semata-mata mahu mendapatkan kelebihan politik (political mileage) daripada masalah dan kemunduran yang dihadapi oleh Melayu Pulau Pinang.

Justeru pemimpin-pemimpin UMNO perlu (dengan izin) buck up dan melaksanakan amanah mereka dengan sebaiknya. Menunding jari dan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah. Mengadakan seminar dan perundingan juga sudah sekian lama diamalkan, tanpa sebarang kesan dan hasil.

Terbaru lebih banyak dialog akan diadakan, seperti dilaporkan media massa 17 Ogos 2006.

Sekiranya pemimpin UMNO Pulau Pinang merasakan keberadaan mereka di dalam kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak berkesan dan tidak menguntungkan rakyat khususnya konstiuensi mereka -- Melayu, maka mereka perlu membuat keputusan tegas dan meninggalkan perjuangan yang mereka sendiri anggap sia-sia.

Saya percaya dengan keadaan UMNO sebagai parti yang mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang paling ramai di Pulau Pinang, impaknya sangat besar. Mungkin hanya setelah itu nasib Melayu akan berubah. Sekiranya pemimpin UMNO terus tanpa iltizam politik (political will) untuk bertindak, maka mereka yang seharusnya dipersalahkan.

Rakyat harus sedar keadaan ini dan mengambil tindakan sewajarnya membela kepentingan mereka apabila wakil rakyat tidak lagi mampu membelanya.

Wednesday, August 16, 2006

Amani sebagai ikon golongan tolol

Sharifah Amani punya hak untuk memilih bertutur dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Tidak sewajarnya sesiapa jua mempersoalkan hak tersebut kecuali pihak penganjur sudah menetapkan terlebih dahulu syarat agar semua ucapan dilakukan dalam Bahasa Melayu.

Pada hemat saya, jika beliau merasakan beliau tolol dalam berbahasa Melayu, yakni tidak mempunyai kemampuan untuk berucap dan bertutur dalam bahasa Melayu maka tidak seharusnya beliau dipaksa menonjolkan ketololannya itu.

Namun tindakan dan kenyataan beliau mendedahkan sifat tololnya itu, sekaligus menelanjangkan aib dan pekungnya sendiri.

Amani bukan keseorangan dalam merasakan diri mereka tidak mampu berbahasa Melayu dengan baik. Saya percaya dan malah saya sendiri pernah bertemu dengan ramai anak muda Melayu apatah lagi daripada kalangan Tionghua, India dan sebagainya yang merupakan rakyat Malaysia tetapi tidak mampu dan fasih menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Saya setuju dengan kenyataan Amani bahawa kenapa dihebohkan mengenai dirinya sedangkan di sekolah-sekolah pemerintah mempromosikan (malah memaksakan) penggunaan Bahasa Inggeris. Keadaan yang berlaku di sekolah adalah jauh lebih serius daripada kenyataan seorang pelakon yang baru berjinak dengan dunia glamour.

Kegagalan Amani untuk menguasai Bahasa Melayu tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada genetik beliau. Kelemahan dan ketololannya itu adalah akibat daripada dasar dan sistem pendidikan kita.

Amani hanya contoh atau ikon kepada golongan yang menjadi mangsa keadaan ini. Ya, benar! Saya katakan beliau adalah mangsa keadaan yang menjadikan beliau tolol.

Petualang sebenar ialah para pemimpin negara yang memandang rendah Bahasa Melayu, yang merasakan untuk maju kita harus mengorbankan Bahasa Melayu bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

Hakikat yang telah dikemukakan oleh pakar bahawa peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris tidak terjejas, malah boleh seiring dengan penguasaan Bahasa Melayu tidak mahu dipedulikan. Mereka ini yang mengorbankan Bahasa dan Budaya Melayu, selain nilai dan adab adalah golongan yang benar-benar tolol.

Kegagalan pemerintah sekarang memperbetulkan kesilapan yang dilakukan tersebut menjadikan mereka sebahagian daripada golongan tolol tersebut.

Membetulkan jambatan herot semata-mata adalah sangat tidak memadai. Sistem nilai yang dipegang, falsafah hidup dan sikap rakyat yang seharusnya diperbetulkan segera.

Abdullah wajar bantu Khairy

Saya membaca dengan penuh risau laporan media mengenai tindakan Khairy Jamaluddin melepaskan pegangan sahamnya dalam ECM Libra. Penjualan tersebut dibuat pada harga yang lebih rendah daripada harga ketika dibeli.

Berapa kerugian yang terpaksa ditanggung Khairy termasuk jumlah faedah pinjaman yang terpaksa dibayar olehnya. Mengikut pengiraan kasar saya, jumlahnya tidak kurang RM1 juta.

Apakah Khairy yang berumur 30 tahun itu mampu menanggung hutang jutaan ringgit?

Saya merasakan ini adalah isu yang harus diselesaikan segera. Abdullah Badawi selaku bapa mentua punya kewajipan membantu menantu. Beliau memperoleh gaji yang cukup besar tanpa mempunyai sebarang tanggungan isteri mahupun anak-anak. Malah keperluan-keperluan beliau juga sudah disediakan oleh negara. Justeru tidak akan terjejas langsung jika membantu Khairy sedikit.

Untuk melihat dengan perspektif, RM100 juta juga tidak banyak pada pandangan Abdullah. Beliau sendiri mengatakannya dan disiarkan di televisyen ketika pembatalan projek jambatan herot. RM100 juta adalah pampasan yang dijangka perlu dibayar ketika itu.

Melihat kepada jumlah-jumlah yang diumumkan kemudian, barulah kita faham maksud Abdullah, "RM 100 juta saja. Tak banyak".

Saya fikir sikap pemimpin (dan bekas pemimpin) negara yang riuh rendah tidak membantu anak dan menantu sendiri sebagai sesuatu yang tidak sihat. Ia boleh menjadi ikutan yang meretakkan hubungan kekeluargaan.

Jika anak atau menantu menghadapi masalah, sudah barang tentu bapa elok memberi bantuan. Tambahan pula si bapa sememangnya lebih daripada mampu.

Kepimpinan Melalui Teladan.

Kita dan masa

Beberapa hari kebelakangan saya tidak sempat mengemaskini blog ini, lantaran hambatan tugas yang begitu mendesak. Dalam tempoh yang singkat ini begitu banyak perkembangan yang berlaku. Banyak perkara dan isu yang saya fikir perlu diberi perhatian dan dibicarakan.

Justeru beberapa entri berikut cuba untuk mengejar perkembangan dunia yang tidak pernah berhenti dan menunggu.

Saturday, August 12, 2006

Pelihara tradisi UMNO, Salamon

Saya membaca laporan semalam (11 Ogos 2006) mengenai perletakan jawatan Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Shah Alam dengan begitu menarik sekali.

Pada hemat saya mereka bertiga memang sepatutnya meletakkan jawatan. Meski sudah memegang jawatan penting dalam UMNO Bahagian mereka masih tidak menjiwai roh UMNO itu.

Sudah tentu Salamon sebagai Ketua Bahagian berhak memilih isterinya atau sesiapa yang dikehendaki sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam. Beliau Ketua Bahagian. Saudara bertiga itu siapa? Mendapat jawatan pun semuanya kerana dilantik oleh Ketua Bahagian.

Jangan pedulikan mereka Salamon. Jika prinsip asas UMNO itu sendiri mereka tidak faham, memang mereka tidak layak memegang jawatan. Salamon mesti menjaga tradisi Kronisme, Kolusi dan Nepotisme dalam UMNO.

Syabas Salamon! Mungkin selepas ini ada anak pinak atau saudara mara yang akan dilantik memegang jawatan dalam MBSB atau apa-apa organisasi lain. Itu kan hak UMNO semuanya dan melantik adalah hak Ketua Bahagian. Kata orang putih inalienable rights.

Friday, August 11, 2006

UMNO, pilihanraya dan si pandai

Saya tertarik dengan laporan Utusan Malaysia (11 Ogos 2006) mengenai gesaan Menteri Besar Perak, Mohd Tajol Rosli Ghazali agar UMNO bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya.

Pilihanraya mampu melakukan keajaiban kepada UMNO. Pilihanraya mampu menyatu padukan parti itu. Sekiranya pemimpin-pemimpin mereka sedang bersiap sedia untuk merebut jawatan, gesaan untuk menghadapi pilihanraya akan membolehkan perebutan itu ditangguhkan.

Justeru Tajol mungkin cuba menggunakan formula yang sama untuk merapatkan barisan kerana beliau tahu demi untuk terus memegang tampuk pemerintahan pemimpin UMNO akan sanggup melakukan apa saja. Kalah dalam pilihanraya adalah risiko yang terlalu besar terhadap kemandirian (survival) mereka.

Di dalam pertembungan Mahathir-Abdullah saya yakin MB Perak akan 'tenggelam atau timbul bersama UMNO', sama seperti keadaan UMNO Perak ketika Datuk Onn berhasrat meninggalkan UMNO.

Tetapi persoalannya apakah Mahathir mempunyai hasrat untuk meninggalkan UMNO? Atau apakah mungkin beliau sedang bersiap sedia untuk bertempur bagi merebut ruang tengah dalam UMNO.

Mungkinkah kerana merasakan bahang tersebut, Abdullah mengeluarkan projek demi projek (termasuk pembinaan jambatan kedua di Pulau Pinang kepada UEM yang rapat dengan UMNO tanpa melalui proses tender). Mungkin juga panas dalaman UMNO kini bagai api dalam sekam sehingga mendorong Abdullah bercerita mengenai Iblis.

Abdullah mengatakan asas utama ALlah memilih Adam sebagai Khalifah adalah kerana kepandaiannya. .

Jika yang pandai mendapat kelebihan, Abdullah seharusnya bimbang. Selama ini beliau tidak pernah terkenal kerana ciri itu.

Menteri sebagai pendakwa, hakim dan penghukum

Seorang teman menghubungi saya mengenai pos saya yang terdahulu. Isunya mengenai lima orang yang ditangkap kerana disyaki membunuh pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman dan melakukan pelbagai jenayah lain di sekitar Wangsa Maju dan kawasan sekitarnya.

Apakah penangkapan mereka ini menyelesaikan kes-kes tersebut dan menjadikan Wangsa Maju selamat?

Saya menjawab itu kita tidak pasti. Kerana selagi belum terbukti mereka yang ditangkap adalah penjenayah sebenar, kes ini tidak boleh dianggap selesai. Innocent until proven quilty.

Meski beliau mencadangkan mungkin polis menahan sesiapa sahaja kerana tekanan yang hebat untuk menyelesaikan kes ini, saya cuba meyakinkan beliau bahawa saya percaya pihak polis melakukan siasatan dengan terperinci dan tidak menahan mereka semberono.

Tetapi kemudian timbul kebimbangan di hati saya. Apakah mereka ini akan mampu untuk mendapatkan khidmat guaman yang cukup baik untuk mempertahankan diri atau sekurang-kurangnya untuk mengharungi proses mahkamah nanti?

Sedikit masa lalu saya mendapat tahu mengenai kes beberapa anak remaja di Bandar Tun Razak yang ditahan polis kerana disyaki aktif dalam kegiatan jenayah khususnya ragut. Mereka ini tidak pernah ada peluang membela diri kerana Menteri Dalam Negeri telah memutuskan mereka Guilty until proven innocent.

Mereka ditahan untuk tempoh dua tahun di bawah Ordinan Darurat (EO). Tanpa melalui proses perbicaraan dan pembuktian. Benar penahanan di bawah EO boleh dicabar melalui writ Habeas Corpus. Tetapi apabila disemak dengan teman-teman peguam, belanja untuk memulakan proses tersebut sahaja memerlukan sekurang-kurangnya RM 30 ribu. Beberapa keluarga anak remaja ini mahu mencuba, tetapi kekangan kewangan menghalang.

Akibatnya mereka ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam untuk tempoh dua tahun.

Meski saya mempunyai pendirian kita mesti tegas terhadap jenayah dan penjenayah, namun due process mestilah dipatuhi. Di kala kita mahu masyarakat bebas daripada jenayah, kita juga mahu rakyat negara ini bebas daripada penahanan tanpa bicara.

Mahkamah adalah pelindung kepada hak masyarakat. Pengimbang kepada cabang eksekutif. Tetapi melalui undang-undang drakonian, cabang eksekutif bertindak sebagai pendakwa, hakim dan penghukum.

One death too many

I applaud the Royal Malaysian Police for its speedy work in bringing to book the suspects in the murder case of the Tunku Abdul Rahman College student. Indeed this is the standard we Malaysian should expect from the Police. Nothing less.

But what does it take for us to get such quality service?

Are those experts in crime fighting only reserved for high profile cases -- such as this when the victim was a student of a college administered by a member of the ruling coalition? Or was the police prompted to act because the President of MCA brought the issue up in the Cabinet meeting?

If they acted with speed only because the victim died, I would have to say it is one death too many. If the same speed and diligence were employed earlier, lives could have been saved.

I do hope all these assumptions are wrong. I want to believe that the Police force are doing all they can, to the best of their effort, to solve each and every case.

But there are so many unsolved cases. The public is feeling unsafe in their own neighbourhood. Perhaps the Police lack the necessary resources to ensure the safety of the people. Perhaps the Minister-in-charge is too busy doing other things. If that is so, perhaps he should relinquish his post and appoint a minister who has got the time and energy to do his work properly. Appointing someone able would be too much to ask from this government.

If funds (or the lack of it) is the problem, the political masters should take note and allocate the necessary funds. Cutting down on fighter jets and missiles purchases should be a good idea, especially if you go shop for missiles that won't hit the target or fail to explode. We need patrol boats to secure the safety of our waterways. Buying outdated fighter jets is a waste of money and a hazard to our pilots.

I'm sure the government can find the resources, if they have the will to do it.

Why not let the police keep the billions of ringgit from traffic summons they collect. Then maybe the offenders will be more motivated to pay the summons.

Do whatever is nedeed. Just make us safe. Is that not what a government is supposed to do?

Guru dari China

Saya memandang laporan media hari ini (11 Ogos) mengenai rancangan Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussen untuk mendapatkan guru-guru dari China bagi mengajar Bahasa Mandarin di Sekolah-sekolah Kebangsaan.

Ini berikutan kekurangan guru bahasa tersebut setelah Sekolah Jenis Kebangsaan enggan membenarkan guru-gurunya mengajar di SK.

Saya berharap Hishammuddin akan memikirkan masak-masak mengenai cadangan ini. Meski China kini mempunyai ekonomi yang sangat terbuka (malah mungkin lebih terbuka daripada Malaysia) dan dinamik, ideologinya masih komunis.

Penghantaran guru secara rasmi oleh kerajaan China akan mempunyai impak yang besar ke atas anak-anak Malaysia khususnya mengenai semangat keCHINAan yang melampau. Malah apabila krisis antara China dan Taiwan menjadi serius sedikit masa lalu, Cina di Malaysia menyuarakan bantahan terhadap Taiwan.

Pada hemat saya, kita perlu memberi sokongan kepada Taiwan kerana ia negara demokratik. Meski kita tidak dapat mengiktiraf Taiwan secara rasmi kerana bantahan China, Malaysia seharusnya menunjukkan komitmennya kepada demokrasi. Mengenai isu penyatuan Taiwan-China, seharusnya diserahkan kepada rakyat Taiwan.

Saya kira kebimbangan saya mengenai pengaruh China terhadap Cina Malaysia ada asasnya. Sebagaimana lama dahulu Persekutuan Tanah Melayu menghentikan pengambilan guru dan penggunaan buku teks daripada China kerana kebimbangan yang sama.

Thursday, August 10, 2006

Jangan kecewakan saya, Mahathir

Mahathir Mohamad dilaporkan mengancam akan mendedahkan mengenai kes rasuah yang melibatkan seorang menteri yang memegang jawatan sejak rejim Mahathir lagi.

Saya gesa beliau untuk segerakan pendedahan tersebut. Kenapa perlu dilengahkan? Soal rasuah adalah soal penting. Ia menyentuh kepentingan negara dan rakyat. Tambahan pula apabila melibatkan seorang menteri.

Mahathir juga menzahirkan kekecewaan kerana pihak berkuasa tidak mengambil tindakan sewajarnya sejak dahulu lagi. Maknanya sejak beliau menjadi Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas polis, maknanya ketika beliau adalah Perdana Menteri yang mengawal Badan Pencegah Rasuah. Tanpa berfikir terlalu mendalam sekalipun, kita boleh tahu bahawa kenyataan itu adalah umpama "menembak kaki sendiri".

Saya berharap Mahathir akan mengetuk pintu dhamirnya dan bertanya apakah tujuan ancamannya itu. Apakah kerana kesedaran akan bahaya rasuah atau semata-mata untuk tujuan politik. Di usia itu, dengan pengalaman yang beliau telah kutip, saya yakin beliau akan mampu membuat keputusan yang paling tepat. Asalkan beliau jujur kepada suara hatinya.

Saya amat bimbang sekiranya kenyataan itu dibuat hanya sebagai ugutan kepada menteri berkenaan yang mungkin sudah tidak lagi menunjukkan sokongan kepada beliau.

Saya benar-benar berharap bukan itu sebabnya beliau membuat ancaman itu. Telah banyak kali saya dikecewakan oleh Mahathir. Kali ini saya pohon jangan dikecewakan lagi. Lupakan sementara politik dan persaingan kuasa. Utamakan rakyat.

Muhammad: Konflik Mahathir - Abdullah Peribadi

Saya selama ini memikirkan betapa dangkal dan ceteknya asas pertembungan antara Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi. Hari ini (10 Ogos 2006) media massa melaporkan bahawa Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sependapat dengan saya.

Bukanlah laporannya "Tan Sri Muhammad sependapat dengan Ahmad Zaki Yamani". Tidaklah begitu. Justeru sia-sia sahaja jika cuba mencari akhbar yang bertajuk begitu.

Tetapi Muhammad menyatakan bahawa tindakan Mahathir adalah kerana hasutan pihak tertentu mengenai peribadi Abdullah. Itu sangkaan saya selama ini. Isunya adalah isu peribadi. Dasarnya ialah keuntungan peribadi. Soalnya ialah anak siapa atau menantu siapa dapat apa dan berapa banyak.

Isunya bukan kepentingan negara. Isunya bukan rakyat. Justeru saya harap semua pihak jangan memberi perhatian yang tidak sewajarnya kepada soal ini. Pada sesetengah pihak KKN (Korupsi, Kolusi dan Nepotisme) adalah satu cara hidup. Ketika hidup dan berkuasa dia mengamalkannya dan sehingga ke liang lahad mahu diteruskannya.

Saya berdoa agar kepemimpinan negara segera dipegang oleh mereka yang meletakkan rakyat sebagai lebih utama daripada peribadi dan keluarga; mereka yang mengimani bahawa jawatan itu suatu amanah, bukan suatu kemegahan.

Wednesday, August 09, 2006

Pembangunan compang camping

Lama dahulu saya menggunakan pengangkutan awam secara tetap. Putra LRT adalah pilihan utama kerana saya pada masa itu tinggal di Gombak. Saya akui tren tersebut boleh diharapkan walaupun pada kebanyakan masa saya menggunakannya (pergi dan balik kerja) ia terlalu sesak dan terpaksa berhimpit-himpit. Begitu agaknya adat tren bandar.

Dari Gombak ke Bangsar saya anggarkan sekitar 20 minit perjalanannya. Tetapi saya terpaksa menghabiskan sekurang-kurangnya satu jam setengah untuk sampai atau pulang ke tempat kerja. Justeru kerana saya mula bekerja jam 8, sebaik selesai mengerjakan solat Subuh, saya sudah setia menanti di hentian bas. Masalah utama dengan perkhidmatan tren bandar ialah kekerapan dan kecekapan bas penghubung. Seringkali tidak boleh diharapkan.

Pada masa yang sama hubungan antara satu sistem dengan sistem yang lain begitu lemah. Jarak antara stesyen satu sistem dengan yang lain begitu jauh. Saya pernah menggunakan tube di London. Sebuah stesyen dikongsi oleh beberapa laluan (line) tren. Untuk bertukar antara laluan, hanya perlu menggunakan eskalator tanpa perlu keluar dari stesyen.

Pembangunan sistem pengangkutan tren di Malaysia perlu memberi perhatian kepada isu ini. Perancangan perlu dibuat dengan teliti untuk jangka panjang dan bukan tampal-tampalan. Jika tidak hasilnya seperti sistem di Kuala Lumpur. Compang camping.

Pada masa yang sama, saya percaya pertambahan penduduk memberi kesan yang sangat negatif kepada kesejahteraan bandar dan kualiti hidup masyarakat. Pemerintah mungkin boleh memikirkan untuk meletakkan had kepadatan penduduk di sesuatu kawasan.

Pembinaan bangunan baru di kawasan yang sedia padat seharusnya tidak dibenarkan dan pembinaan flat (termasuk la apartment, kondominium dan sebagainya) tidak seharusnya begitu digalakkan. Kan tanah di Malaysia masih luas, biar perniagaan baru dan penduduk berkembang di kawasan-kawasan baru.

Tuesday, August 08, 2006

Laporan bercanggah Utusan Malaysia

Hari ini saya membaca Utusan Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia saya minta Utusan Malaysia menarik balik artikel-artikelnya mengenai wawancara Perdana Menteri malam tadi dan meminta maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Abdullah. Jika tidak, sewajarnya permit penerbitan Utusan Malaysia seharusnya digantung oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (menteri berkenaan harap mengambil perhatian).

Abdullah menegaskan bahawa anaknya Kamaluddin tidak terlibat dalam syarikat tempatan. Jelas dan tegas.

Tetapi di muka 2, ditulis pula Abdullah sebagai berkata hampir 80% perniagaan Kamaluddin adalah di luar negara dan selebihnya adalah kontrak Petronas.

Kenapa ini Utusan? Apa tujuannya? Apakah untuk mempermain-mainkan PM atau ada niat jahat dan agenda tersembunyi menyokong pihak lain?

Apabila PM telah mengatakan 'tidak terlibat dalam syarikat tempatan' sudah jelas dan nyata. TIDAK TERLIBAT. Petronas adalah syarikat tempatan. Petronas dikuasai oleh kerajaan Malaysia. Justeru tidak mungkin Kamaluddin terlibat dalam Petronas. Itu kata Perdana Menteri.

Saya hanya menonton sedikit wawancara itu malam tadi. Jadi saya hanya mengharapkan laporan akhbar. Tetapi saya tidak percaya PM membuat kenyataan-kenyataan bercanggah sebegini. Dia Perdana Menteri. Justeru saya menuntut pihak-pihak yang terlibat memfitnah PM ini segera dipecat. Ingat amaran PM terhadap pihak yang sengaja memburuk-burukkan kerajaan. Harus bersedia menerima padahnya.

Seperkara lagi, jurusolek PM semalam juga seharusnya dikenakan tindakan. Kenapa diletakkan bedak yang terlalu banyak di atas kelopak mata PM? Jangan nakal ya! Nanti terima akibatnya.

Monday, August 07, 2006

Akademi Politika

Entri kali ini adalah serius. Harap dibaca dengan serius.

Saya dan beberapa teman mempunyai cadangan untuk mewujudkan Akademi Politika -- suatu program yang saling tak tumpah dengan Akademi Fantasia. Cuma fokus rancangan ini ialah untuk mencungkil bakat politik di kalangan rakyat Malaysia.

Tindakan pertama ialah untuk mencari guru-guru yang berkelayakan dan menunjukkan bakat yang terserlah dan luar biasa. Setakat ini kami hanya memikirkan mengenai pemilihan guru drama.

Antara calon-calonnya ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz dan yang terbaru menyerlahkan bakatnya -- Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Tuan-tuan,
Jangan sekali-sekali memandang remeh betapa pentingnya kebolehan berdrama dalam berpolitik. Justeru kami berharap calon-calon yang tersenarai (mungkin akan ada lebih ramai calon tidak lama lagi) akan sedia memberi kerjasama dan menimbangkan tawaran kami untuk menjadi tenaga pengajar Akademi Politika.

Seorang teman berkata, "jadi guru tentu lebih baik daripada menjadi mamak roti."

Khairy dan air mata

Saya benar-benar ingin simpati dengan Khairy Jamaluddin yang sehingga menitiskan air mata ketika menjawab tuduhan-tuduhan terhadapnya.

Sungguh saya ingin simpati.

Tetapi hakikatnya beliau adalah ahli politik, beliau memilih jalan ini dan tidak pernah dipaksa menceburi bidang ini.

Beliau juga dalam usaha untuk meningkat naik sudah barang tentu pernah melukakan hati orang lain, sekalipun jika beliau tidak pernah memijak kepala orang untuk naik.

Saya sama sekali tidak bersetuju dengan amalan fitnah memfitnah -- dalam politik mahupun dalam apa jua perkara.

Setuju! Khairy punya hak, malah tanggungjawab untuk mempertahankan diri dan menjawab semua tuduhan itu. Tetapi menangis? Come on man! Tambahan pula tidak lama selepas beliau menunjukkan sikap gagah berani 'merempuh' sekatan polis di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) semasa bantahan terhadap serangan Israel ke atas Lubnan.

Sunday, August 06, 2006

Projek Mega, Mahathir dan Abdullah

Projek, projek, projek. Sejak melancarkan pelan pambangunan bagi Selatan Johor, Perdana Menteri Abdullah terus-terusan mengumumkan satu demi satu projek pembangunan fizikal. Universiti Darul Iman di Terengganu, monorail dan jambatan kedua di Pulau Pinang antaranya dan media hari ini (6 Ogos) melaporkan bahawa tidak lama lagi PM akan melancarkan Pelan Urbanisasi Nasional (NUP). Pada hemat saya semua ini saling tak tumpah projek mega.

Saya adalah antara yang menyokong sebarang usaha memajukan negara ini. Cuma seperkara yang menimbulkan kerisauan kepada saya -- apakah Malaysia mempunyai keupayaan kewangan untuk membiayai semua projek yang akan dijalankan ini?

Benar, pendekatan baru yang inovatif -- Inisiatif Pembiayaan Persendirian (PFI) akan digunakan untuk membiayai projek-projek ini. Namun jika PFI bermakna dana KWSP, KWAP dan lain-lain dana awam digunakan, ia sama sekali tidak inovatif. Malah rejim Mahathir dulu lebih handal dalam soal memperalatkan sumber kewangan awam begini.

Dalam pada manfaat daripada projek-projek ini dan kemampuan menyempurnakannya belum pasti, dana rakyat sudah menghadapi risiko. Apa yang akan terjadi kepada wang KWSP dan KWAP jika syarikat-syarikat pemaju dan kontraktor menghadapi masalah?

Pada saya inisiatif NUP ini benar-benar menarik minat. Ia menjanjikan kualiti hidup yang lebih baik bagi penduduk bandar. Aspek utama ialah berkenaan pengangkutan. Begitu banyak perubahan dan eksperimen dilakukan sebelum ini berkenaan sistem pengangkutan khususnya di Kuala Lumpur.

Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamed adalah antara pemimpin UMNO yang sangat berminat dalam soal pengangkutan awam ini. Ketika menjadi Menteri Pembangunan Usahawan, beliau menghapuskan bas mini Kuala Lumpur dan menggantikannya dengan Intrakota. Alasannya untuk memberi perkhidmatan yang lebih cekap. Saya setuju bas mini dahulu tidak selamat, malah meletakkan penumpang dalam bahaya setiap hari. Tetapi suatu aspek positif berkenaan bas mini ialah ia cepat dan cekap; boleh diharapkan untuk memastikan penumpang sampai ke destinasi pada masanya. Mungkin dorongan keuntungan (profit motive) yang mendesak pemandu dan pembantunya cekap.

Intrakota pada awalnya menggunakan bas serba baru (beri sahaja wang kepada pengusaha bas mini, tentu mereka menggunakan bas baru). Tetapi tidak lama kemudian, perkhidmatan merosot dengan begitu teruk dan keadaan bas tidak terjaga. Saya sendiri pernah menaiki bas intrakota yang tiba-tiba terbakar enjinnya dan asap memenuhi bas.

Justeru Mustapa kemudiannya mengusahakan RapidKL yang menggabungkan perkhidmatan bas dan rail di Kuala Lumpur. Meski saya kini tidak lagi menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam secara tetap, pada umumnya saya melihat tidak ada peningkatan ketara pada kualiti mahupun kecekapan.

Harap-harap pelan baru ini akan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan benar-benar memberikan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia. Jika sekadar pelannya cantik, pelaksanaannya compang-camping, tidak ada maknanya.

Nota: Selepas ini saya akan menulis lebih lanjut mengenai pembaikan sistem pengangkutan awam dan pembangunan bandar.

Saturday, August 05, 2006

Akademi Fantasia vs Bintang Radio

Fenomena realiti tv, khususnya Akademi Fantasia, meski semakin merosot tetap menjadi kegilaan jutaan rakyat Malaysia. Pada hemat saya, meski ujian utama rancangan ini ialah nyanyian, fokus utama sebenarnya bukan kepada bakat menyanyi peserta.

Ini dapat dilihat bagaimana kebolehan berdrama adalah lebih utama untuk meraih undian dan mengelakkan kecaman pengkritik.

Fokus utama terhadap salah seorang peserta musim empat ini, Haziq, misalnya sering berkenaan tangan dan badannya yang terketar-ketar ketika membuat persembahan. Faizal pula sering mengambil peluang untuk menonjolkan bahawa dia adalah dari sebuah keluarga yang bukanlah senang dan malah kekampungan. Barangkali ini dikutip daripada formula berjaya Mawi.

Saya ingin mencadangkan agar satu usaha dilakukan untuk mencari bakat menyanyi yang betul-betul hebat. Singing talent and a great singing voice. Untuk itu saya fikir sesuai diadakan rancangan bintang radio tanpa drama dan tanpa menonjolkan wajah peserta. Justeru wajah yang tidak menarik tidak akan menjadi penyebab bakatnya dinafikan.

Saya fikir negara perlukan lebih banyak bakat tulen selain daripada bakat berdrama. Terlalu ramai yang mempunyai bakat berdrama, tambahan pula di kalangan ahli politik.

Berdialoglah al-Albar

Adapun dilaporkan bahawa Duta Israel ke Singapura mencadangkan agar dialog diadakan antara negaranya dengan Malaysia dan beberapa negara Islam lain. Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula dengan segera menolak cadangan tersebut. TV3 kemudiannya sebentar tadi melaporkan bahawa 85% responden tinjauan pendapat melalui SMS mempunyai pandangan yang sama.

Meski saya setuju bahawa Israel adalah sebuah entiti pengganas yang menindas dan menzalimi masyarakat di sekelilingnya, meski saya sedar rejim Tel Aviv sudah sedia maklum akan pendirian masyarakat dunia yang menentang kezalimannya; saya tetap berpandangan Malaysia seharusnya mengadakan dialog dengan Tel Aviv.

Di dalam keadaan dunia buntu kerana Amerika Syarikat dan Britain menyokong dan menghalalkan segala tindakan Israel, tambahan pula sistem antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu tidak dapat berfungsi kerana pendirian dua negara kuasa besar itu apakah cukup untuk negara-negara Islam hanya duduk sesama sendiri membincangkan kemusnahan dan kematian di Lubnan dan Palestin.

Saya melihat dialog dengan Israel sebagai satu ikhtiar yang seharusnya dicuba.

Ya benar! Isu yang akan timbul ialah apabila kita bertemu dan berdialog dengan wakil Israel bererti kita mengiktiraf kewujudan Israel sedangkan Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel.

Biarlah saya tamsilkan keadaan Israel ini sebagai sama dengan penjenayah yang sedang menahan tebusan. Apakah tindakan pihak berkuasa berdialog dalam usaha membebaskan tebusan dianggap mengiktiraf mereka?

Hakikatnya Israel wujud, kejahatan dan kekejamannya cukup real meski kita tidak merasakannya secara fizikal di sini. Justeru jika hanya dialog pilihan yang ada buat masa ini, apa salahnya mencuba?

Bukankah dakwah paling utama kepada mereka yang engkar? Mudah-mudahan dengan niat ikhlas kepemimpinan Malaysia dan kata-kata yang halus perutusan Malaysia akan menjadi asbab perubahan hati kepemimpinan Israel dan perubahan keadaan di Asia Barat.

Cubalah wahai al-Albar. Sampaikan dan biar ALlah menentukan.

Thursday, August 03, 2006

Datuk Seri -- Lebih baik diam

Saya membaca dengan penuh bersemangat laporan media hari ini (3 Ogos) bahawa "Perdana Menteri mahu kejadian samun ditangani segera". Besar harapan saya akhirnya rakyat akan dilindungi dan penjenayah akan diajar bahawa jenayah adalah tidak berbaloi (crime does not pay).

Laporan tersebut memetik Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Radzi Sheikh Ahmad sebagai memaklumkan bahawa Perdana Menteri sangat prihatin mengenai masalah ini, khususnya samun dan bunuh pelajar Kolej TAR di Wangsa Maju baru-baru ini.

Beliau selanjutnya menggariskan inisiatif yang telah dimulakan iaitu meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman yang lebih berat dan memudahkan laporan polis dibuat.

Datuk Seri,

Kalau sekadar itu inisiatif Barisan Nasional, izinkan saya yang tidak berpendidikan ini mencadangkan agar ditutup sahaja Polis DiRaja Malaysia (kecuali Bahagian Trafik untuk memastikan dapat terus mengaut hasil daripada rakyat melalui saman). Tadbir sahaja negara dari bangunan Parlimen.

Isunya bukan undang-undang ringan atau berat. Isunya adalah pendidikan agar rakyat Malaysia mendaulatkan undang-undang. Isu yang lebih utama dan perlu disegerakan ialah meningkatkan kehadiran polis di dalam masyarakat dengan cara yang menakutkan penjenayah dan meyakinkan orang ramai.

Jika polis ada upaya dan tenaga manusia untuk memburu 'pesalah' trafik dari rumah ke rumah hingga jauh malam, tidak ada alasan polis tidak mampu meningkatkan rondaan dan kehadiran bagi menjamin keselamatan dan mencegah jenayah.

Ya saya faham, Datuk Seri hanya ditugaskan untuk mengetuai Jawatankuasa Pindan Akta berkenaan sahaja. Dan Datuk Seri bukanlah Menteri bertanggungjawab. Namun oleh kerana Menteri bertanggungjawab terlalu sibuk dengan urusan lain (justeru menunjukkan taraf keutamaan atau priority masalah ini di pihak kerajaan), biarlah timbalan beliau memberi penjelasan strategi pemerintah menghadapi isu ini dan melindungi rakyat.

Saya tahu Datuk Seri tidak punya jawapan-jawapan selain soal kad pengenalan (meski kes kad pengenalan palsu di Sabah belum diselesaikan), paspot, imigresen dan sebagainya.

Justeru ingatlah pesan Nabi "Jika kamu tidak ada perkara baik yang hendak dicakapkan, lebih baik kamu diam". Beri peluang kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri sedar akan tugasnya -- menjamin keselamatan rakyat. Saya hanya mampu berdoa kepada ALlah dan mengharap kepada Khairy Jamaludin agar dapat menyedarkan beliau bahawa itu amanah yang mesti dilaksanakan.

p.s. Jangan pula ada yang menuduh saya syirik kerana meletakkan ALlah dan Khairy Jamaludin dalam ayat yang sama. Bukankah selepas ALlah, Khairy yang paling berkuasa di negara ini? Saya terima jika ada pandangan berbeza.

Yang ringan dan yang dekat

Adapun namanya umat Melayu Malaysia ini lazimnya dikaitkan dengan sikap gemarkan yang dekat dan yang mudah. Jika begitu sudah barang tentu benci kepada yang rumit dan jauh perjalanannya.

Maka kita ada yang ringkas pemikirannya dalam menolak mentah-mentah cadangan agar diambil tindakan boikot terhadap Amerika Syarikat dan Britain yang membantu Israel bermaharajalela membunuh rakyat Palestin dan Lubnan. Alasan kerana akan memberi kesan negatif pada jangka panjang dan lagi pula AS adalah rakan perdagangan nombor satu negara.

Lama dahulu Malaysia pernah melaksanakan 'Buy British Last' sebagai tanda bantahan terhadap Britain. Malaysia tidak pula lumpuh ekonominya sedangkan pada ketika itu ekonomi Malaysia sangat rapat dengan Britain.

Pada praktikalnya memang kita tidak akan menghentikan terus hubungan perdagangan dengan kedua-dua negara tersebut. Apakah ada sebarang negara di dunia ini yang tidak mempunyai hubungan dagangan dengan mereka?

Tetapi tindakan-tindakan tegas (atau sekurang-kurangnya dilihat tegas) harus diambil. Menghadkan hubungan dagang adalah satu daripadanya. Mungkin juga Malaysia boleh mempertimbangkan untuk memanggil balik duta ke AS, Britain dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan pada masa yang sama mengisytiharkan duta AS dan Britain di Kuala Lumpur sebagai persona non grata sekaligus menurunkan taraf kedutaan-kedutaan tersebut.

Tetapi ringkasnya permikiran yang empunya kuasa sudah tentu akan mengatakan tindakan itu tidak menguntungkan Malaysia. Ya, mungkin benar. Apa gunanya mempedulikan kematian dan kemusnahan di Lubnan, atau lebih tepat genocide oleh Israel itu. Apa kepentingannya kepada Malaysia?

Oh Tuhan, selamatkan kami daripada orang begini.

Adapun saya melihat orang sebegini sama la pekerti dan hati budinya dengan manusia-manusia yang menghabiskan masa dan ribuan ringgit tergila-gilakan program realiti tv.

Mudah dan ringkas.

Tuesday, August 01, 2006

Doa untuk umat

Tragedi di Palestin dan Lubnan adalah malapetaka bukan hanya kepada penduduk di sana. Ia adalah fitnah cubaan kepada seluruh umat Islam dan semua manusia yang cintakan kedamaian.

Oh Qana! Engkau menjadi mangsa. Sengketa sesama manusia yang punya kekuatan sedangkan engkau tidak punya daya mempertahankan diri. Sementara dunia terus mencari-cari arah, orang awam yang bukan punca krisis ini menjadi mangsa.

Ya ALlah! Ya Rahim! Ya Rahman!
Kami tahu kemusnahan di muka bumi dan lautan
adalah kerana tangan-tangan manusia
Persengkataan dan pembunuhan
kemusnahan dan kebinasaan
adalah kerana kami lalai akan perintahMu

Ya Rabb!
Didiklah kami
Berilah hidayah dan taufik agar kami kembali kepada jalanMu
Jadikanlah kami hambamu yang bertaqwa
yang takut dan gementar apabila disebutkan namaMu
bertambah iman apabila dibacakan ayat-ayatMu

Ya Samad! Ya Malik!
KepadaMu kami berserah diri
dalam segala hal
KepadaMu kami bertawakal
Cukuplah Engkau membantu kami

Ya Halim! Ya Latiff!
Andai bencana ini adalah bala kepada kami
jadikanlah ia sebagai penghapus dosa
Andai Kau takdirkan ia sebagai cubaan kepada kami
jadikanlah kami berjaya mengharunginya dengan sabar
tambahkanlah bagi kami iman dan darjat kemuliaan

Ya Jabbar! Ya Aziz!
Selamatkanlah kami daripada kekejaman ini
Berikan kekuatan kepada kami
agar kami hentikan kezaliman mereka
yang memusuhi kami
yang memusuhi keamanan dan kedamaian
dan yang memusuhi agamaMu
Hancurkan kekuatan mereka
agar mereka tidak lagi berlaku zalim
Dan bantulah kami agar jangan kami melakukan kezaliman

Ya ALlah! Ya Khaliq!
Engkau yang menciptakan kami
Engkau yang memiliki diri ini
Engkau yang memiliki hati ini
maka satukanlah hati hati kami
agar kami tidak bertingkah sesama kami
dan kami tumpukan segala usaha dan ikhtiar untuk kedamaian

Ya Alim!
Tunjukkan kami jalannya
agar dapat kami segera
menamatkan sengketa ini
dan menyelamatkan jiwa yang tidak bersalah.

Amin ya Rabal aalamin.